
Pasti anda terfikir begitu beraninya pencuri tersebut kerana kereta yang dicuri itu milik bukan calang-calang orang, malah dicuri di waktu siang hari. Ya, ini menunjukkan golongan penjenayah tidak mengenal atau memilih mangsa kerana sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa mereka.
Harus diingat bahawa pencuri kereta tidak menyasarkan mangsa tetapi sasaran mereka adalah kenderaan itu sendiri.
Kita berpotensi jadi mangsa
Minggu ini Modus Operandi sekali lagi akan mendedahkan taktik digunakan pencuri kereta dan tips-tips berguna untuk sama-sama kita elakkan daripada kita menjadi mangsa seterusnya.
Masyarakat perlu sedar bahawa semua orang berpotensi untuk menjadi mangsa kegiatan jenayah.
Jangan sesekali kita berfikir bahawa kita tidak akan menjadi mangsa tetapi orang lain yang akan jadi mangsa.
Kadangkala disebabkan sikap kita sendiri, jenayah itu berlaku dan bila ia berlaku baru hendak menyesal namun tiada gunanya kerana bak kata pepatah nasi sudah menjadi bubur.
Faktor menarik perhatian
Pencuri tidak memilih mangsa namun menyasarkan jenis kenderaan yang ingin dicuri berdasarkan kemampuan dan pengetahuannya dalam mengatasi sistem kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kereta tempatan menjadi pilihan pencuri berbanding kereta mewah.
Ini disebabkan oleh kepakaran mereka dalam mengatasi sistem keselamatan yang wujud pada kereta tempatan lebih mudah berbanding kereta mewah yang agak sukar kerana dilengkapi pelbagai ciri-ciri keselamatan yang utuh.
Jadi pencuri biasanya memilih kereta tempatan antaranya disebabkan faktor-faktor sistem penggera yang mudah dimatikan.
Kebiasaannya mereka sudah mengetahui bagaimana cara-cara untuk mengatasi sistem tersebut sehinggakan ada yang dapat melarikan kenderaan tanpa mengambil masa yang lama iaitu hanya lima hingga 10 minit.
Jenis kereta yang kerap jadi pilihan pencuri:
Wira Iswara
Waja Satria
Kes kecurian kereta sentiasa berlaku kerana terdapat permintaan dari masyarakat dan sikap orang ramai yang memandang rendah mengenai aspek keselamatan.
Selagi ada permintaan dari orang ramai maka selagi itulah kes ini akan berulang. Ini kerana kesediaan masyarakat itu sendiri untuk membeli barang-barang alat ganti kenderaan curi kononnya harga murah. Bukan itu sahaja, ada juga pencuri yang menjual kenderaan tersebut tanpa perlu meleraikan alat gantinya, dan bagi pembeli yang tidak berkemampuan untuk memiliki kereta yang mahal, sanggup mengambil risiko membeli kenderaan tersebut.
Masyarakat kadangkala menjadi buta apabila ditawarkan harga murah yang tidak masuk dek akal.
Bagi kereta mewah pula, pencuri mempunyai rangkaian sindiket yang meluas di luar negara.
Sindiket ini berjaya memalsukan dokumen Jabatan Kastam Diraja Malaysia hingga berjaya bolos dan mengaburi pihak berkuasa untuk mengeksport kereta-kereta tersebut ke luar negara.
Kereta yang dicuri biasanya untuk tujuan:
Dileraikan dan dijadikan sebagai barang-barang alat ganti.
Dieksport ke luar negara (kereta mewah).
Dijual terus dengan harga murah.
Turut dijual sebagai besi buruk.
Digunakan untuk tujuan jenayah.
Pencuri kereta juga seperti penjenayah lain kerana mereka mempunyai modus operandi tersendiri iaitu bergerak secara berkumpulan seramai tiga hingga lima orang yang mempunyai peranan masing-masing ketika ‘bekerja’.
Boleh dikatakan masing-masing mempunyai kepakaran dan dibahagikan tugas-tugas tertentu bagi melancarkan segala proses mencuri.
Bagaimanapun pencuri jarang memecahkan tingkap kereta kerana tindakan tersebut boleh menjerat diri sendiri. Sudah tentu ia menarik perhatian orang awam.
Selain itu, pencuri biasanya memilih waktu di antara jam 6 petang sehingga 6 pagi untuk melakukan ‘kerja’ kerana waktu ini dianggap paling sesuai untuk bertindak.
Selalunya pemilik kereta meninggalkan kereta di tempat letak kereta bagi tempoh yang lama.
Sebagai contoh, selepas pulang dari kerja kereta akan diparkir di tempat letak kereta dan apabila hendak ke kerja keesokannya pada ketika itulah baru pemilik akan menyedari kereta telah lesap.
Lokasi pilihan pencuri
Tempat letak kereta awam.
Kompleks membeli-belah.
Di depan rumah.
Di tepi jalan raya dan.
Tempat letak kereta di hotel.
Bagaimanapun pencuri akan memastikan terlebih dahulu sama ada kesemua lokasi tersebut mempunyai jalan masuk dan keluar yang mudah.
Ini kerana penjenayah ingin memastikan dapat melepaskan diri dengan mudah selepas mencuri kereta terbabit.
Untuk pengetahuan, penjenayah sering akan berfikir ‘how to escape’ sebelum melakukan apa sahaja kegiatan jenayah bagi mengelakkan ditangkap.
Tips elak menjadi mangsa:
Pastikan kereta dipasang dengan alat penggera yang baik.
Memasang kunci tambahan untuk stereng, gear, roda dan klac.
Pastikan juga kereta sentiasa dikunci.
Sentiasa letak kereta di tempat yang mudah dilihat dan pada waktu malam letak di tempat yang terang/berlampu.
Jangan serah kunci kepada ‘jockey’ kereta.
Mengukir nombor pendaftaran di cermin kereta (Sand Blasting).
Akhir kata, masyarakat perlu lebih bertanggung jawab dalam menjaga harta benda sendiri dan perlu wujudkan kesedaran terhadap kecurian yang boleh menimpa. Kelalaian kita dalam menjaga kereta mungkin menyebabkan kita menjadi mangsa kerana penjenayah sering mengambil peluang jika wujudnya ruang.
Sumber: www.rmp.gov.my
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: