Tuesday, August 24, 2010

Cabaran kumpul segunung kertas


JAMBATAN manusia, antara aktiviti menyeronokkan pada saingan akhir cabaran tersebut.


ANDAINYA benar 24 batang pokok dapat menghasilkan sejumlah 1,000 kilogram (kg) kertas surat khabar, maka tentunya kempen kitar semula baru-baru ini mungkin telah menyelamatkan sebanyak 1,000 batang pokok daripada ditumbangkan.

Ini berikutan kejayaan pelajar sekolah seluruh Malaysia yang mengumpul lebih 40,000 kg kertas terpakai untuk dikitar semula dalam tempoh sebulan.

Didorong keinginan untuk membantu mengurangkan permasalahan alam sekitar, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpul sebanyak mungkin surat khabar terpakai bagi melayakkan sekolah mereka ke pertandingan i-Challenge.

Pertandingan tersebut merupakan salah satu daripada pertandingan bertemakan 'hijau' yang menawarkan hadiah-hadiah hebat anjuran Kumpulan Pendidikan INTI untuk semua pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia.

Setiap sekolah yang menyertai pertandingan ini perlu mengumpul sebanyak 1,000 kg kertas terpakai untuk melayakkan kumpulan mereka mara ke peringkat akhir.

"Semua hasil kutipan daripada jualan kertas terpakai berjumlah RM10,000 telah disumbangkan kepada Persatuan Alam Semulajadi Malaysia.

"Ia bertujuan menyokong kempen peringkat kebangsaan Selamatkan Hutan Belum-Temenggor," kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pertandingan i-Challenge 2010, Eddy Choo.

Selain itu, tambahnya, INTI juga dapat mengumpul ribuan tandatangan pelajar sebagai tanda sokongan terhadap kempen yang sama.

Sejumlah 100 kumpulan daripada 65 buah sekolah menengah seluruh Malaysia layak ke peringkat akhir pertandingan i-Challenge 2010 di INTI International University di Putra Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.


JAMBATAN manusia, antara aktiviti menyeronokkan pada saingan akhir cabaran tersebut.


Pelbagai permainan menarik turut diadakan bagi menguji pengetahuan peserta mengenai inisiatif-inisiatif memulihara alam sekitar.

Lapan kumpulan terbaik kemudian beradu untuk memenangi tiga tempat teratas dengan membuktikan kepintaran dan kemahiran mereka menukarkan barangan terpakai kepada sesuatu yang boleh digunakan.

Hadiah-hadiah bernilai lebih daripada RM100,000 disampaikan kepada para pemenang, guru-guru dan juga sekolah, termasuk biasiswa, wang tunai dan barangan.

Pada saingan akhir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Berang, Melaka dinobatkan sebagai juara diikuti SMJK Yu Hua, Kajang, Selangor selaku tempat kedua dan SMK Alor Akar, Pahang pemenang tempat ketiga.

Tiga hadiah saguhati pula menjadi milik Sekolah Menengah Stella Maris, Kota Kinabalu, Sabah; SMJK Union, Pulau Pinang dan SMK Sri Tebrau, Johor.

Pertandingan i-Challenge yang ditaja The Body Shop dengan kerjasama Persatuan Alam Semulajadi Malaysia mula dianjurkan INTI sejak tahun 2005.

Ia bertujuan menggalak dan menerapkan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar sekolah sekali gus memberi mereka peluang untuk menyumbang ke arah kebaikan masyarakat dan alam sekitar.

Malah, pertandingan itu turut menjadi platform untuk mereka belajar cara-cara berfikir dan bertindak dengan lebih berkesan. Para peserta dikehendaki menunjukkan sikap positif, berinovatif dan kreatif sambil berseronok dalam pertandingan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: