Tuesday, August 17, 2010

Cabaran Kulinari Taylor's


SITI MUNIRAH (depan kanan) dan Yoges (kiri) muncul juara Cabaran Kulinari Kebangsaan Taylor's 2010 sekali gus menewaskan 20 pesaing yang lain.


SENTUHAN kemahiran dan kehalusan seni masakan Siti Munirah Abdul Zakariah dan Yoges Thambirajah membolehkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist, Pulau Pinang itu muncul juara Cabaran Kulinari Kebangsaan Taylor's 2010.

Kejayaan mereka dalam pertandingan memasak yang dianjurkan buat kali ketiga itu sekali gus menewaskan 20 pesaing lain.

Kemenangan itu juga membolehkan Siti Munirah dan Yoges menerima hadiah lawatan ke Perancis dengan semua perbelanjaan ditanggung bernilai RM12,000. Selain itu, mereka juga membawa pulang RM1,000, piala pusingan, pingat dan sijil untuk pihak sekolah.

"Pertandingan memasak ini betul-betul hebat dan ini merupakan pengalaman pertama kami. Pusingan akhir paling mencabar tetapi meninggalkan kenangan manis, kerana kami terpaksa memasak dalam keadaan tertekan.


KEMAHIRAN memasak peserta diadili oleh pengadil profesional.


"Melalui pertandingan sebegini, kami berpeluang mengasah kemahiran komunikasi dan belajar bekerja secara berpasukan dan menjalin hubungan dengan pelajar daripada sekolah yang berlainan," kata Siti Munirah.

Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Sekolah Menengah Persendirian yang dianggotai oleh Lin Man Foo, 18, dan Vincent Choong Yuen Yew, 19.

Dua pelajar tersebut membawa pulang RM300, kursus Pensijilan Antarabangsa dalam Pastri Perancis bernilai RM3,300, pingat, sijil dan RM500 untuk sekolah mereka.

Tempat ketiga menjadi milik Sekolah Tinggi Foon Yew, Kulai, Johor yang diwakili oleh Boo Ching Long dan Chin Jin, 18. Mereka memenangi RM100, kursus Pensijilan Antarabangsa dalam pembuatan Roti bernilai RM1,000, pingat, sijil dan RM300 untuk pihak sekolah.

Dianjurkan oleh Pusat Pengajian Hospitaliti, Pelancongan dan Seni Kulinari Taylor's (TCHT), Cabaran Kulinari memasuki peringkat kebangsaan tahun ini untuk menarik penyertaan dari negeri seperti Pulau Pinang dan Johor.

Sajian utama

Pada mulanya, 62 pasukan mengambil bahagian dalam Pusingan Akhir Wilayah yang diadakan di Pulau Pinang (utara), Johor (selatan) dan Lembah Klang (tengah).


PERTANDINGAN Cabaran Kulinari Kebangsaan Taylor's 2010 mengasah pelajar bekerja secara berpasukan.


Peserta dikehendaki menyediakan sajian utama untuk dua orang dalam tempoh 90 minit. Sajian harus lengkap yang terdiri daripada kentang dan sayuran di samping ayam sebagai ramuan utama.

Kemahiran memasak peserta dinilai oleh pengadil daripada profesional industri termasuk Master Chef Rossham Rusli; Naib Presiden Persatuan Chef Malaysia, Chef Arasu Karuppiah; Ketua Chef Masakan Barat, Bankers Club; dan Chef Raja Kamaroszaman, Chef Eksekutif The Royale Bintang, Kuala Lumpur.

Markah diberikan untuk persembahan, gaya dan kemahiran, rasa masakan, penggunaan ramuan, kebersihan serta keupayaan untuk menyiapkan sajian dalam masa yang ditetapkan.

Ketua Pengadil Master Chef Rossham berkata, beliau kagum dengan kualiti masakan yang dihasilkan oleh peserta-peserta.

"Sajian tiga pasukan terbaik benar-benar menakjubkan. Saya dapati mereka telah melakukan tugas dengan baik, bersemangat dan penuh kreativiti.

"Pelajar ini memang berpotensi untuk menyerlah dalam industri kulinari. Sehubungan itu, saya galakkan mereka supaya berusaha menambah pengetahuan dan pengalaman untuk membaiki keupayaan masing-masing," ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai TCHT dan program yang ditawarkan, sila hubungi talian 03-5629 5000 atau layari laman www.taylors.edu.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: