
FAISAL Islam termangu di tengah-tengah lebuh raya di barat laut Pakistan. Satu-satunya kawasan yang tidak ditenggelami banjir untuk beliau berteduh.
Beliau juga kecewa kerana setelah hampir seminggu bandar itu dilanda banjir teruk, kerajaan masih gagal untuk menyalurkan bantuan dengan secukupnya.
Sebenarnya pihak kerajaan telah mengerahkan beribu-ribu askar dan penyelamat awam untuk menyelamatkan hampir 28,000 penduduk yang terperangkap akibat bencana itu.
Penyaluran makanan dan proses memungut lebih 1,100 mayat mangsa korban banjir masih giat dijalankan sehingga kini.
Skala bencana yang berlaku itu sebenarnya terlalu besar. Ramai rakyat merungut dan menyatakan bahawa kerajaan tidak melakukan apa-apa. Kemarahan itu sebenarnya boleh mengancam kerajaan di wilayah yang mempunya pengaruh Taliban yang kuat.
"Hanya sehelai baju ini yang saya ada. Semuanya musnah," kata Faisal yang dikelilingi oleh beratus-ratus orang di tempat berteduh yang dibina menggunakan bahan- bahan yang terhad.
Penduduk Pakistan di wilayah barat laut Khyber-Pakhtoonkhwa berkhemah di tengah-tengah lebuh raya di perkampungan Kamp Koroona di daerah Nowshera (salah satu wilayah yang terjejas teruk akibat banjir) sambil berusaha meredah air untuk menyelamatkan harta-benda mereka yang masih tersisa.
"Kami perlukan khemah. Tengok sajalah keadaan kami," kata Faisal.
Banjir terburuk itu sebenarnya melanda ketika kerajaan Pakistan sedang berusaha memulihkan ekonomi. Negara itu juga sedang menentang serangan tentera militan Taliban yang telah membunuh beribu-ribu rakyat di situ sejak beberapa tahun lepas.
Pengurusan rasmi di Khyber-Pakhtoonkhawa mengeluarkan amaran bahwa jumlah kematian mungkin akan melebihi 1,100 orang setelah angka rasmi bertambah dari 870 orang seperti yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri.
Sekutu antarabangsa Pakistan juga berusaha untuk menyokong tindakan kerajaan dengan menawarkan berjuta-juta dolar melalui bantuan kecemasan.
Hulur bantuan
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan bahawa mereka masing-masing akan menyediakan sebanyak AS$10 juta (RM32 juta) bagi tujuan bantuan kecemasan ke Pakistan.

AS turut menyediakan bot penyelamat, unit-unit penapis air dan jambatan besi. Dengan kerjasama tentera Pakistan, beribu-ribu paket hidangan makanan turut dicampakkan dari helikopter kepada mangsa-mangsa yang terperangkap di kawasan bencana.
"Rakyat Pakistan adalah sahabat kami dan AS akan bersama mereka ketika berdepan dengan bencana," ujar Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton dalam sebuah kenyataan.
Sebelum ini, AS telahpun menghantar bantuan ketika Pakistan berdepan dengan gempa bumi buruk pada 2005 yang telah mengorbankan hampir 80,000 penduduk. Bantuan tersebut telah meningkatkan sokongan rakyat di negara yang tinggi sentimen anti-Amerika itu.
Menurut bancian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Pew, walaupun perasaan rakyat negara itu berubah, sebenarnya hanya 17 peratus daripada mereka yang menunjukkan penerimaan baik terhadap AS.
AS sebenarnya sedang memenangi hati masyarakat Pakistan melalui bantuan itu dan turut berharap akan mendapat sokongan yang sama seperti misi terdahulu. Namun, mereka perlu berusaha keras ke arah itu kerana disaingi kumpulan militan Islam yang turut menghulur bantuan kepada mangsa.
Para sukarelawan kumpulan militan Lashkar e-Taiba dilaporkan mengagihkan makanan dan menawarkan perkhidmatan perubatan pada hari Ahad kepada mangsa-mangsa di bandar Charsada.
"Kami menemui mereka di depan muka pintu dan juga di jalanan, terutama wanita dan kanak-kanak yang terperangkap di rumah masing-masing," kata seorang aktivis yang hanya mahu dikenali sebagai Saqib.
Disyaki mempunyai hubungan dengan al-Qaeda, Lashkar e-Taiba pernah dipersalahkan atas serangan di Mumbai, India pada 2008 yang telah meragut 166 nyawa. Tentera AS turut mendakwa kumpulan itu telah meningkatkan aktivitinya di Afghanistan.
PBB menganggarkan seramai satu juta penduduk telah terjejas akibat banjir sementara kerajaan Pakistan mengeluarkan kenyataan bahawa sekurang-kurangnya 500,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di barat laut negara itu.
![]() |
| SEORANG kanak-kanak mengisi perut dengan nasi di Nowshera, Pakistan. |
Kerajaan Pakistan turut menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya seramai 30,000 tentera telah dikerahkan dalam misi untuk menyelamatkan lebih 28,000 mangsa.
Bagaimanapun beratus-ratus orang masih terperangkap dan pihak berkuasa telahpun menghantar 43 buah helikopter tentera dan 100 buah bot bagi menyelamatkan mangsa.
Kesan buruk dan kesusahan kerana banjir besar itu lebih jelas terlihat di Lembah Swat. Ketika penduduknya sedang berusaha memulihkan keadaan akibat pertempuran dengan tentera Taliban pada musim bunga lalu, malang bagaikan datang bertimpa apabila hampir dua juta penduduk terpaksa berpindah dari situ.
Menurut Fazal Maula, penduduk di perkampungan bernama Imam Dheri, banjir besar telah memusnahkan banyak kawasan perkampungan, kediaman penduduk, kedai, kenderaan dan tanaman di Swat.
Dia menambah bahawa pihak kerajaan tidak menyalurkan sebarang bantuan ke kawasan itu dan terdapat mangsa yang terpaksa meredah air banjir untuk menyelamatkan diri kerana tiada kelengkapan bot.
"Kami pernah melihat kemusnahan semasa tiga tahun diperintah pihak Taliban dan kemudiannya pertempuran mereka dengan tentera kerajaan.
"Tetapi kemusnahan yang kami saksikan sejak tiga hari lepas adalah jauh lebih teruk," kata Maula.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: