AKTRES ini sering menjadi perhatian ramai, bukan saja kerana kecantikan semula jadi yang dimiliki, malah turut dihambat kontroversi sehingga meninggalkan kesan pada diri sendiri dan dunia hiburan.
Di kala rakan artis lain merehatkan diri bersama insan tersayang mahupun berniaga kuih raya dan lauk pauk untuk berbuka, Nora pula sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Putera Katak untuk slot Lagenda TV3 sepanjang Ramadan ini.
Mungkin cuba untuk melupakan kisah silam, Nora Danish lebih gemar bercakap pasal kerjaya lakonan yang menjadi fokus utama di samping membesarkan anak tunggalnya, Putera Rayqal Rizal Ashram Ramli, 3 tahun.
“Penggambaran Putera Katak mengambil masa hampir seluruh Ramadan dan memang sedikit terkilan sebab tidak dapat melakukan solat Tarawih seperti tahun-tahun lalu.
“Saya terpaksa menerima kerja kerana itulah punca pendapatan untuk menampung kehidupan saya dan anak. Memegang status sebagai ibu tunggal juga bermakna saya perlu bekerja lebih kuat,” katanya ketika ditemui sewaktu penggambaran program raya istimewa, I-Glam yang akan ke udara pada Hari Raya kedua di TV9.
Bercakap mengenai kemunculan yang kerap dalam drama berunsur legenda dan dongeng, Nora berkata, kisah dongeng rakyat sentiasa dekat di hatinya, malah sejak kecil dia sering mendengar cerita sebegitu sehingga pernah bermimpi menjadi sebahagian daripada kisah itu.
Selain Putera Katak, kelibat wanita berketurunan Yangon, Kemboja ini dilihat dalam drama bersiri Sumpah Bunian dan Arjuna yang masih bersiaran di TV3.
Walaupun seronok, Nora akui jauh di sudut hati kecilnya timbul rasa sedih dan kecewa kerana terpaksa berpisah dengan Rayqal untuk satu jangka masa berikutan jadual penggambaran yang tidak menentu.
Malah menurutnya, jika dihitung, masa bersama Rayqal juga terhad kerana dalam seminggu sekurang-kurangnya selama empat atau lima hari putera kesayangannya akan bersama Daddy dan Mummy (ibu bapa bekas suami).
Menyedari hakikat kesibukan yang terpaksa dilalui sepanjang Ramadan ini, Nora sempat meluangkan masa bercuti bersama anak kesayangannya dan keluarga ke Pulau Redang seminggu sebelum umat Islam menyambut bulan mulia ini.
Tiba-tiba mata wanita ini bagai bercahaya apabila bercerita mengenai sambutan Aidilfitri kali ini yang dianggap sungguh istimewa, anugerah Syawal yang dimaksudkannya ialah apabila Rayqal mula pandai berkata-kata, malah memanggilnya ‘mummy’ sempena sambutan Hari Ibu pada Mei lalu.
“Raya kali ini saya hanya membuat persiapan ala kadar tapi melebihkan persiapan untuk Rayqal. Untuk anak lelaki saya tu, saya menempah empat pasang baju rekaan Ezwan Ismail,” katanya.
Selain persiapan raya yang sederhana pada tahun ini, Nora berkongsi kisah kuih badam yang menjadi ‘kegilaannya’ setiap kali Syawal menjelma.
Sambil ketawa katanya, kuih badam buatan ‘Auntie’ Arafiah (ibu saudaranya) bagai sinonim dengan sambutan raya dan ia menjadi kemestian keluarganya hinggakan sesiapa yang merasa kuih itu akan jatuh cinta.
Tidak seperti anak kecil lain, Nora akui dia tidak pernah bermain mercun atau bunga api kerana tidak pernah diasuh untuk berbuat begitu, mungkin kerana statusnya sebagai anak bongsu, setiap perlakuan Nora diawasi ahli keluarga supaya tidak ditimpa kecelakaan.
Bergelar pelakon dan model jelita tidak menjamin kestabilan untuk terus kekal di persada seni tanah air kerana ia ada pasang surut dan disebabkan itu Nora merancang menjalankan perniagaan berasaskan bunga awal tahun depan.
Pun begitu, ia tidak bermakna Nora akan meletak titik noktah pada karier seni yang menjadi sebahagian daripada nadi dan jantungnya, selain kehadiran Rayqal yang turut menjadi nyawa dan semangatnya untuk terus bekerja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: