Friday, August 20, 2010

Akma AF3 Berpisah Cara Baik

Akma ketika pelancaran filem Hooperz di ibu kota baru-baru ini.

BINTANG kelahiran Akademi Fantasia 3, Akma, 25, mengesahkan sudah berpisah dengan kekasihnya seperti yang disebarkan dalam beberapa portal hiburan.

Menurutnya, lelaki berkenaan bukan lagi kekasihnya kerana mereka telah berpisah selepas bercinta beberapa bulan pada tahun ini.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai lelaki itu kerana ia telah berlalu. Lagipun, dia bimbang sekiranya kenyataan yang akan keluar selepas ini bakal mengguris hati lelaki tersebut.

“Buat masa sekarang, saya solo dan belum berpunya. Nak buat bagaimana, jodoh kami tidak panjang.

“Orang kata, cinta ada pasang surutnya tetapi saya terima apa jua keadaan kerana ia bukan jodoh saya. Kami sama-sama membuat keputusan untuk memutuskan hubungan ini,” ujarnya kepada mStar Online.

Biarpun berasa sedih sepertimana pengalaman yang dilalui oleh orang lain, Akma tetap menjalani aktiviti harian dan kerjanya seperti biasa.

“Saya mengambil langkah untuk tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu. Yang penting saya senang nak buat kerja dan tumpukan kepada kerjaya.

"Lagi pun semasa bercinta dengannya, kami jarang berjumpa dan berhubung secara jarak jauh,” katanya lagi.

Sengaja diduga sama ada dia akan berhenti sementara daripada memikirkan tentang lelaki dan cinta selepas ini, pelakon filem Hooperz itu hanya berserah.

Bagaimanapun dia bukanlah seorang yang tidak boleh hidup tanpa cinta kerana kasih sayang daripada keluarga banyak membantunya untuk meneruskan kerjaya.

Menyentuh tentang karier seninya, Akma selesa bekerja di belakang tabir sebagai penulis skrip yang mana dia mula berjinak-jinak sejak pada tahun ini.

“Minat untuk menulis skrip dah lama ada cuma baru tahun ini saya dapat realisasikannya. Sebelum ini, saya pernah berpengalaman menulis lirik lagu sendiri berjudul Tetap Menanti. Mungkin saya akan buat skrip drama berkisahkan cinta.

“Selain itu, bidang nyanyian masih menjadi keutamaan dan saya bernaung di bawah syarikat sendiri iaitu Akma Konnichiwa Entertainment yang ditubuhkan dua tahun lalu,” ceritanya.

Sepanjang bulan Ramadan ini, Akma terlibat dengan Marhaban Desa di Astro pada setiap hujung minggu.

Minggu lalu, dia telah menjayakan program itu di Kuala Terengganu, seterusnya pada 20 Ogos ke Alor Setar, 28 Ogos (Muar) dan 4 September (Temerloh).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: