Friday, August 20, 2010
“Ada usaha berdamai”
“Pada bulan yang suci ini saya mengharapkan yang terbaik dalam rumah tangga saya dan saya mohon agar Tuhan kembalikan semula kegembiraan dan kebahagiaan antara saya dan suami seperti mana kami mula berkahwin dulu,” kata Raja Azura,38, yang kini sedang berdepan dengan kemelut rumah tangga.
Menurut bekas pengacara Melodi ini, dia terlalu sayangkan rumah tangganya dan akan sedaya upaya menyelamatkan perkahwinannya dengan suami, Adzmin Tan Sri Osman, 37, yang sudah terbina 10 tahun lamanya.
“Memang kami nak berdamai dan sekarang pun kami masing-masing cuba perbaiki kelemahan diri.
“Dalam situasi ini, saya perlu banyak bersabar demi anak-anak dan saya sudah pun meletakkan diri saya di paling bawah.
“Apa pun saya hanya mampu berserah dan reda dengan apa juga yang akan ditakdirkan ke atas rumah tangga kami,” katanya yang kini sedang menjalani proses kaunseling di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam.
Ketika diminta mengulas tentang hubungannya dan suami, setelah menjalani sesi kaunseling itu, Raja Azura memberitahu, masih terlalu awal untuk mentafsirkannya.
“Saya masih layan suami seperti biasa. Makan, minumnya masih di jaga dan dia pula nampak macam tak ada apa-apa yang berlaku.
“Tapi apa yang boleh saya katakan proses kaunseling ini ada inisiatif untuk ke arah perubahan diri,” katanya yang ditemui di majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran The Curve, baru-baru ini.
Tanpa menghiraukan statusnya sebagai selebriti, Jelas Raja Azura, dia tidak berasa malu untuk mencari jalan penyelesaian di mahkamah kerana menyifatkan cara itu adalah yang paling tepat bagi pasangan suami isteri merujuk sebarang masalah.
“Ramai orang menanggap bila masalah rumah tangga di bawa ke mahkamah, itu adalah jalan yang terakhir.
“Tapi pada saya tidak. Inilah cara yang betul kerana ia dapat mengingatkan semula tanggungjawab suami dan isteri.
“Maklumlah bila dah lama berkahwin, ramai yang dah lupa tanggungjawab masing-masing.
"Jadi dengan cara ini (mahkamah) ia dapat mengingatkan semula pasangan kita supaya kembali ke pangkal jalan,” ujarnya yang enggan mendedahkan punca sebenar masalah rumah tangganya itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: