BANTING: Sasaran rompakan mereka ialah wang tunai RM100,000, namun yang diperoleh tidak sampai RM6,000. Lebih malang, dua daripada tiga penjenayah terbabit mati ditembak polis sejurus selesai melakukan kerja jahat mereka.
RAMPAS...Khalid (tengah) menunjukkan dua pucuk pistol yang digunakan dalam rompakan.
Bertindak atas maklumat, 20 minit kemudian sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor mengesan Proton Waja dipandu suspek yang melarikan diri melalui Jalan Kunci Air menuju Kampung Sungai Lang, kira-kira dua kilometer dari tempat rompakan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, dalam usaha memboloskan diri daripada pihak berkuasa, kereta dipandu suspek terbabas ke dalam longkang menyebabkan ketiga-tiga penjenayah melepaskan beberapa tembakan untuk meloloskan diri.
“Polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri menyebabkan dua daripada mereka terkena tembakan itu dan mati di tempat kejadian. Bagaimanapun, seorang lagi dapat meloloskan diri ke dalam ladang kelapa sawit berhampiran dan gagal dikesan.
“Pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui dua pucuk revolver .38 dan phyton .22, sebilah parang panjang serta wang hasil samun RM5,929,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Banting, semalam.Beliau berkata, geng terbabit dianggap penjenayah berbahaya kerana sering mencederakan mangsa setiap kali melakukan rompakan.
“Suspek yang ditembak mati mempunyai pelbagai rekod jenayah serta pernah ditahan beberapa kali di Pusat Tahanan Simpang Renggam. Selain itu, kumpulan penjenayah sama dipercayai melakukan samun kargo bulan lalu.“Dipercayai kumpulan ini menyasarkan wang kutipan yang banyak di syarikat pengangkutan itu kerana syarikat itu pernah dirompak hingga kerugian hampir RM100,000 tahun lalu,” katanya.
Siasatan mendapati suspek yang ditembak mati itu berusia 41 dan 43 tahun dan berasal dari utara tanah air serta mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencuri, merompak dan mencederakan orang. Kereta yang digunakan pula dilaporkan dicuri di Klang sekitar Mei lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai kes bunuh seorang wanita guru tadika yang ditikam dalam cubaan ragut di Bandar Sunway kelmarin, Khalid berkata, saksi tidak dapat membantu polis menyediakan fotofit.
“Saksi hanya mengejar dari belakang dan gagal mengecam wajah suspek. Bagaimanapun, polis akan cuba mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup yang dipasang pada bangunan sekitar tempat kejadian,” katanya.
Dalam kejadian itu, Leong Lai Yoong, 57, mati ditikam ketika bergelut dengan lelaki yang cuba merompaknya di jejantas Subang Utama berhampiran Sunway Pyramid.
Suspek dipercayai berusia 20-an menikam rusuk kiri mangsa sebelum melarikan diri. Senjata itu kemudian ditemui di longkang berhampiran dan pihak polis sedang mengesan cap jari bagi mengetahui identiti suspek.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: