|
|
Sejak berita tentang keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin dipaparkan, hampir setiap hari masyarakat Malaysia cuba membantu mengurangkan beban mangsa-mangsa perang itu.
Tidak kiralah dari segi dana kewangan, sumbangan ubat-ubatan, penghantaran sukarelawan ke Gaza, solat hajat, serta laungan suara bantahan kekejaman Israel, semua itu, menunjukkan betapa prihatinnya rakyat terhadap mereka.
Sabtu lalu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut tidak ketinggalan dalam memberikan kata-kata semangat kepada rakyat Palestin melalui sebuah program Siaran Langsung Konsert Unplugged Prihatin Palestin di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri menerusi saluran TV2.
"Suatu luahan rasa kasih sayang terhadap kedamaian dunia dan kemanusiaan," demikian kata Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek, selain menganggap konsert ini adalah satu sumbangan keprihatinan yang lahir dalam diri anak-anak seni.
|
|
Menariknya, gabungan mantap antara penyanyi veteran dan anak-anak muda 'indie' berkongsi pentas dengan mempersembahkan nyanyian masing-masing.
Tidak pernah dikenali di arus dunia hiburan, Pete Teo, Rendra Zawawi, Azyml Yunor, Tony Leo Selvaraj, Izzy Mohd, The Snow Symphony, Najwa Mahiaddin dan Mili'z memberikan satu jiwa muzik yang baru.
Kemudian digabungkan pula dengan penyanyi-penyanyi yang sentiasa bercakap tentang tema kemanusiaan melalui lagu-lagu mereka, M. Nasir, Khadijah Ibrahim, Hattan dan Kopratasa, cukup menampakkan satu konsert yang unik berbanding konsert-konsert yang lain.
Konsert ini juga turut membawakan seorang penyair dan komposer popular, Dr. Wan Zawawi melalui segmen Biarkan Merpati Terbang.
Selain itu terdapat empat lagi segmen dalam konsert ini yang diselang-selikan dengan paparan klip video termasuklah segmen pertama (Peluru Setan Dunia) memaparkan klip video serangan Amerika di Iraq, serangan Israel di Lebanon dan serangan Israel di Palestin, segmen kedua (Neraka Ciptaan Zionis), yang mengetengahkan klip mangsa perang di Iraq, Lebanon dan Palestin.
Kemudian, segmen ketiga (Amarah Dunia) memaparkan pula klip video tunjuk perasaan di Eropah, Asia Tengah dan Arab dikuti pula dengan segmen keempat (Sebuah Renungan Pahit) iaitu dengan klip wajah anak-anak kecil yang luka parah serta cacat anggota.
Hattan menangis
Pada permulaan rancangan, paparan klip video perang yang membabitkan ramai wanita dan kanak-kanak terbunuh, sudah cukup meruntun jiwa penonton yang menyaksikannya.
Apalagi bila segmen Peluru Setan Dunia dimulakan dengan nyanyian Hattan yang membawakan lagu Palestin Jangan Menangis, terasa sayu seketika auditorium Perdana, sehinggakan tiada langsung suara-suara kecil penonton yang bercakap, sebaliknya mereka menghayati setiap bait lirik yang dinyanyikan Hattan.
Terlalu sedih dengan kekejaman Zionis agaknya, Hattan seperti hilang fokus dan tidak dapat menahan air matanya dari mengalir ketika menyanyi.
Bukan sahaja Hattan yang mengalirkan air mata, bahkan penonton juga sebak menahan tangis apabila mendengar nyanyian Hattan yang memberontak kekejaman Zionis.
Terus, untuk lagu kedua Hattan, Suara Binasa, maksud lagunya begitu mendalam sehinggakan penonton-penonton pasti dapat merasa betapa peritnya hidup menjadi rakyat Palestin.
Suara Najwa memukau
Tatkala segmen Amarah Dunia dan Sebuah Renungan Pahit dinyanyikan oleh anak-anak muda 'indie' Izzy Mohd bagaikan mengubah konsep persembahan konsert pada malam itu.
Lagu yang dibawakannya, Never Fade Away memberikan kelainan dalam persembahan malam itu.
Muzik yang dibawakan kedengaran biasa, namun maksud lirik yang begitu bencikan peperangan mampu memberikan penghayatan kepada penonton yang mendengarnya.
Berbeza pula dengan Najwa Mahiaddin, suara muzik 'soul' yang ada padanya cukup memberi pukauan kepada penonton.
Lagu Innocent Soul yang dinyanyikannya sambil bermain piano membuatkan dirinya mendapat tepukan yang gemuruh.
Nyanyiannya cukup memberi maksud betapa dia bencikan peperangan di bumi Gaza.
Di akhir rancangan, kesemua artis telah bergabung suara dengan menyanyikan lagu Knocking on The Heavens Door.
Sebelum menutup tirai, Pengarah Urusan Golden Corperate Herritage Sdn. Bhd. telah menyerahkan cek sebanyak RM10,000 kepada Setiausaha Politik Menteri Penerangan, Junaidi Abdul Wahab, bagi Tabung RTM, sambil disaksi oleh Duta Palestin ke Malaysia, Abd. El Aziz Abu Ghoush.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: