TEMPOH lapan tahun Syed Abu Bakar Syed Agil atau lebih dikenali dengan gelaran Syed menguruskan perjalanan seni Erra Fazira, kini kelibat dua individu yang sentiasa bersama tidak lagi dapat dilihat.
Lantaran itu, timbul khabar angin apakah Syed dan wanita jelita yang begitu sinonim dengan gelaran primadona filem Melayu itu berselisih pendapat hingga mencetuskan pertelingkahan.
Erra ketika ditanya Kosmo! baru-baru ini bagaimanapun hanya tertawa kecil, malah menafikan dakwaan yang tidak berasas, kononnya dia dan Syed berbalah.
"Saya tidak ada masalah dengan dia (Syed), cuma barangkali dia yang ada masalah dengan diri sendiri.
"Beberapa minggu lalu saya ada menghantar SMS kepada dia, namun dia mengatakan sedang menghadapi masalah.
"Saya cukup memahami situasi dia, malah saya juga ingatkan mahu memberikan waktu kepada dia menyelesaikan masalah yang dihadapi.
"Dia terus menghilangkan diri, tanpa ada sebarang khabar berita. Saya tidak boleh menunggu lagi kerana perkara ini melibatkan kerjaya seni saya.
"Jadi saya anggap status dia sekarang sebagai menghilangkan diri," jelas Erra yang masih kehairanan dengan situasi tersebut.
Untuk mengelakkan berlaku masalah kemudian hari apatah lagi seseorang pengurus bertindak merencana masa depan selebriti di bawah jagaannya, Erra nekad bergerak sendiri.
|
|
"Memang susah sebab selama ini saya sentiasa ada pengurus sendiri yang membantu melicinkan segala urusan kerja saya.
"Sukar jugalah hendak bergerak sendirian apatah lagi hendak berkejaran ke sana ke mari berseorangan.
"Oleh itu, perjalanan seni saya sekarang adakalanya dibantu oleh Vernon Kedit-Jolly andai saya memang sudah terlampau kelam-kabut.
"Vernon hanya membantu apabila diperlukan, bahkan tidak ada kontrak hitam putih mengatakan Vernon menguruskan saya," terang Erra telus agar tidak disalah anggap oleh sesetengah pihak kemudian hari.
Satu persoalan yang bermain di minda. Sekiranya 'jodoh' Erra dan Syed masih ada, apakah dia akan menerima lelaki berkulit hitam manis itu menguruskan kerjaya seninya seperti sebelum ini?
Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek menjawab, dia mengamalkan sikap terbuka kalau Syed benar-benar hendak berkhidmat semula dengannya.
"Saya bakal menerima dengan hati terbuka kalau dia berhasrat mahu menguruskan saya selepas ini, cuma dia kena selesaikan masalah yang dihadapinya terlebih dahulu.
|
|
"Kalau tidak selesai lagi masalah dia, saya takut akan ada pula masalah lain timbul kemudian hari," ungkap wanita berusia 35 tahun itu.
Dalam pada itu, penyanyi Fazli Zainal yang juga merupakan individu paling rapat dan pernah bekerjasama dengan Syed mengakui dia telah menyelamatkan Syed dalam satu insiden baru-baru ini.
"Saya hantar Syed ke hospital untuk mendapatkan bantuan setelah dihubungi dan menerima SMS daripada Syed.
"Selepas saya mendaftarkan Syed di hospital dan mendapati dia berada dalam keadaan stabil, maka saya segera pulang ke rumah.
"Saya serahkan segala barang peribadi milik Syed seperti dompet, telefon bimbit dan komputer riba kepada familinya.
"Justeru, dakwaan yang mengatakan saya disoal siasat polis berhubung kejadian tersebut memang tidak benar sama sekali.
"Saya tidak tahu menahu langsung tentang perkembangan terbaru Syed selepas kejadian itu," jawab Fazli telus.
Debaran menimang cahaya mata
Tidak sampai sebulan setengah lagi, Erra bakal melahirkan bayi yang dikandungnya. Debaran kencang mulai mencengkam diri apabila tiba ke saat mahu bersalin seperti ibu yang lain.
Puas sudah mengusung perut yang memboyot ke sana ke mari selama lapan bulan, kini Erra mula menghentikan kerja seninya bermula awal Januari lalu.
Menurut wanita yang telah pun berkhidmat kepada lapangan seni sejak 15 tahun lalu, aktiviti kerjayanya dihentikan dalam masa seketika bermula bulan lalu apatah lagi suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin agak risau dengan tahap kesihatan isteri bersama kandungannya.
"Sepatutnya bulan Disember tahun lalu suami saya sudah suruh berehat daripada melaksanakan kerja-kerja seni.
"Dengan usia kandungan yang sudah mencecah lapan bulan, maka saya dengan rela hati berehat seketika daripada melakukan kerja.
"Saya bukannya bercuti terus bulan Januari lalu, tetapi masih menghabiskan mana-mana kerja yang belum dilunaskan lagi.
"Contohnya ada penggambaran selama sehari, saya akan pergi juga walaupun kandungan sudah masuk lapan bulan.
|
|
"Perkara seumpama ini memang tidak boleh dielakkan, tetapi asalkan saya masih terdaya untuk buat, sudah pasti saya akan lakukan," beritahu Erra yang kali terakhir menjadi pengacara program Dunia Wanita sebanyak 13 episod untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum bercuti.
Sikap Erra yang kuat bekerja nampaknya tidak mudah 'serasi' dengan percutian panjang untuk melahirkan cahaya mata yang dijangka bayi perempuan.
"Awal-awal cuti memang saya rasa bosan sangat. Nama sahaja bercuti, tetapi saya tetap pergi ke sana ke mari.
"Boleh dikatakan dalam tempoh seminggu, empat hari saya dipenuhi dengan pergi ke kelas membuat kek, menjahit dan menyulam, menghadiri kelas penulisan skrip dan mencanting.
"Saya sengaja melakukan kerja-kerja yang diminati sebelum ini, tetapi tidak ada waktu yang mencukupi untuk buat semua ini.
"Lagipun saya jenis wanita yang suka bergerak. Pernah saya duduk di rumah selama seminggu, tanpa melakukan apa-apa.
"Kesannya, seluruh badan saya sakit, malah badan dan minda juga seolah-olah tidak mampu untuk bergerak," akui Erra lagi.
Bercakap lebih lanjut tentang kelahiran bayinya kelak, Erra menjelaskan, debaran untuk melahirkan anak mulai terasa di hati apatah lagi waktunya hampir tiba.
"Sudah tentulah saya takut sebab selama ini ada mendengar orang bercerita kesakitan yang dialami sewaktu hendak melahirkan bayi.
"Walaupun gementar serta bimbang, namun saya masih kena melalui proses bersalin nanti. Sekarang saya memperbanyakkan doa agar kelahiran ini dipermudahkan.
"Saya berharap semuanya berjalan dengan lancar, cuma saya kena reda kalau menanggung kesakitan untuk beranak nanti," tutur Era dalam nada pasrah.
Tidak ketinggalan, Erra turut meluahkan kegembiraan apabila keluarga kedua-dua belah pihak saling memberikan motivasi untuk dia berdepan dengan proses sebelum dan juga selepas melahirkan bayi.
"Saya bertuah kerana keluarga kedua-dua belah pihak cukup prihatin tentang kesihatan saya dan bayi yang akan lahir nanti.
"Sudah semestinya saya tidak perlu berasa risau lagi selepas melahirkan anak kerana mereka (keluarga) akan memastikan saya mengikuti segala pantang yang betul," tutur Erra yang mengakui baru mula membeli barang-barang keperluan untuk bayi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: