Siti Zie dan Aziz M Osman. |
Enggan fikirkan soal peribadi, mahu beri tumpuan kepada anak dan kerjaya
FORMULA berani mengambil risiko dengan mengetengahkan pelapis baru dalam bidang lakonan yang sering dipraktikkan pengarah dan pelakon Aziz M Osman, 47, terus menjadi pegangannya. Malah melalui medium alam maya seperti Facebook dan Myspace, ia antara pendekatan segar yang mula digunakannya untuk melahirkan lebih ramai lagi bakat generasi mendatang.
Bukan sesuatu yang menghairankan pun kerana entiti siber ini antara landasan awal sesetengah orang ‘seni’ untuk memasarkan atau menunjukkan bakat yang ada ke seluruh pelusuk dunia selain menambah kenalan.
Malah ada yang bernasib baik apabila menjadi perhatian hingga mengundang pihak tertentu untuk dilamar menjadi artis rakaman, model atau pelakon. Mengikuti jejak nama seperti Nora Danish menerusi sitkom Puteri dan Sari Yanti (Kisah Kaisara) yang digilap bakatnya oleh Aziz, Siti Zie atau nama sebenarnya Siti Zainab Chia menjadi pertaruhan terbaru untuk watak penting di dalam filem terbaru arahannya iaitu CE1. Tidak timbul soal ada kualiti atau sebaliknya kerana selagi bakat ‘mentah’ ini mempunyai keinginan dan kesungguhan, ia pasti boleh diserlahkan.
Bagi Aziz pendekatan memperkenalkan muka baru sudah menjadi rutin dan kebiasaannya selama ini. Ia wajar dipuji kerana anak kepada pelakon Afida Es ini sanggup melawan arus daripada kebiasaan sesetengah penerbit atau pengarah yang lebih gemar mengambil pelakon yang sama atas dasar keselesaan dan senang bekerjasama hingga wujud istilah kronisme. Soal ini terpulang kepada individu kerana membikin filem atau apa juga pun wadah seni, ia perlu mengambil kira soal keuntungan dan pelaris.
“Saya tidak mahu dikatakan asyik-asyik muka yang sama menghiasi skrin TV atau di layar perak. Setidak-tidaknya industri kita akan terus meriah dengan generasi baru dan boleh membuka peluang kepada mereka untuk berkongsi bakat. Kalau ada sedikit bakat dan diiringi minat, lama-lama kalau dibentuk akan berjaya juga. Seperti biasa, saya akan perkenalkan muka baru dengan pakej yang segar kerana tidak mahu wujud istilah pelakon dominan.
BERSAMA tenaga penting yang bakal merealisasikan filem CE1. |
“Pada masa yang sama kita mendidik penonton kepada isi filem dan bukan kepada bintang yang berlakon semata-mata. Melalui Facebook yang menjadi kegilaan ramai sekarang ini, saya menemui Siti Zie dan kebetulan ciri-ciri yang ada padanya menepati watak yang diingini iaitu seorang gadis Cina yang masih muda remaja.
“Di Facebook juga kita boleh melihat profil dan pengalaman diri seseorang, lalu secara tidak langsung ia ruang terbaik untuk memperkenalkan diri. Selepas diujibakat, bakatnya setakat 50-50. Tapi dengan pakej dan keinginan tinggi untuk menerima cabaran, saya berikan dia peluang untuk membuktikan bakatnya. Ruang sudah diberi dan perlu dimanfaatkan bakat baru sepertinya,” kata Aziz sambil memberitahu selebriti tempatan pun sudah ramai memiliki akaun Facebook termasuk dirinya.
Dia ditemui pada Majlis Perasmian Robofair 2009 minggu lalu di Cineleisure, Damansara dan serentak dengan itu turut dilancarkan filem ke-25 arahannya iaitu CE1 akronim kepada Cyber Engineered 1. Filem cereka bersifat robotik dan sains fiksyen ini sudah lama dirancang sejak 2003 demi mencari ilmu, membuat penyelidikan di samping mendapat sokongan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi, hanya pada 17 Mac ini penggambaran akan dimulakan.
Filem yang dipersembahkan Imagika Sdn Bhd melalui Hez Comm ini dicetuskan sendiri oleh Zaki Zamani sebagai penulis skrip dengan anggaran bajet RM2.5 juta. Biarpun mengambil masa yang lama demi mencari kematangan, pemilihan Aziz yang cukup terkenal dengan cerita fiksyen seperti filem XX Ray I,II, III, dilihat bertepatan dengan pengalaman yang ditimba. Jika di Barat kita boleh berbangga dengan filem Robocop, Transformers, Jurrasic Park, mungkin filem ini mampu membanggakan tanah air kita.
Bagaimanapun beberapa nama pelakon yang bakal membintangi filem ini masih dirahsiakan kerana belum muktamad. Malah watak utama memegang peranan sebagai Zaki juga masih dalam peringkat pencarian. Filem yang watak utamanya lebih kepada pelakon remaja ini sesuai untuk ditonton seisi keluarga akan menggunakan 350 kesan visual CGI dengan khidmat beberapa syarikat animasi untuk melaksanakannya.
“Persediaan sebelum ke lokasi filem ini sudah dibuat dengan rapi dan baik. Ibaratnya kelengkapan untuk berperang sudah ada, cuma menunggu bala tenteranya saja untuk bersedia. Saya harap filem ini mampu menjadi pencetus dan penanda aras untuk pencapaian filem yang boleh dibanggakan untuk arena perfileman kita,” katanya yang turut mendekati pelakon seperti Rosyam Nor, Eman Manan dan Zulhuzaimy untuk diundang berlakon filem ini.
Mengenai status dirinya berkaitan kemelut rumah tangganya dengan Nor Radhiah Ramli, 23, yang menjadi perhatian dan tanda tanya tahun lalu, semuanya terjawab apabila sebutan kes pada 8 Februari lalu yang dilakukan di pihak Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu memutuskan pernikahan pasangan ini sebagai tidak sah. Bagi Aziz, permasalahan yang timbul berpunca daripada soal teknikal ini jauh sekali menimbulkan permusuhan di antara dia dan Nor Radhiah.
Ternyata lega dan bersyukur dengan keputusan itu, Aziz memberitahu yang dia mahu meneruskan kehidupan dan menganggap topik perkahwinan bukan lagi perkara utama di dalam hidupnya. Menurut Aziz, soal dirinya tidak penting kerana anak-anak yang perlu diberi perhatian lebih. Kata Aziz, kes yang mereka hadapi bukan kes perceraian kerana perkahwinan antara mereka tidak wujud sebenarnya.
“Sedikit sebanyak masalah yang saya hadapi ini menjejaskan emosi anak-anak biarpun mereka tidak pernah merungut, air muka mereka jelas menunjukkan fikiran mereka memang terganggu. Tumpuan saya kini lebih kepada anak-anak. Selain itu, saya akan teruskan kerjaya seni seperti biasa.
“Dengan keputusan mahkamah ini, Alhamdulillah semua kesangsian terjawab. Bukan berniat berdiam diri selama ini, cuma sebenarnya saya sendiri tidak arif berhubung hal yang dihadapi saya dan Nor Radhiah. Soal saya (kembali pada Nor Radhiah), saya masih belum boleh memberi jawapan pasti. Tengoklah pada keadaan dan biarlah jodoh yang tentukan kembali,” kata duda anak lima ini.
INFO: Perkembangan terkini Aziz
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: