Sunday, February 8, 2009

Linda Jasmine debar sang pengantin




TUJUH hari lagi dia bakal disatukan dengan teruna idaman. Awalnya hanya mahukan satu majlis yang ringkas. Cukup sekadar ijab dan kabul. Tetapi ramai yang mahu melihat mereka disandingkan di pelamin lalu tanpa sebarang bantahan, keduanya sepakat meraikan hari bahagia bergelar suami isteri dalam satu majlis romantis, sesuai dengan pilihan tarikh itu sendiri iaitu pada Hari Kekasih, 14 Februari.

Berkonsepkan majlis perkahwinan dalam taman dengan sentuhan ala Bali untuk majlis pernikahan dan resepsi, bakal pasangan mempelai Linda Jasmine Hashim dan Que Haidar memilih untuk meraikan hari bahagia mereka di pusat menjamu selera terkenal Bora Ombak, Ampang, Selangor.

Tanpa hantaran - hanya mas kahwin yang tidak mahu dinyatakan jumlahnya serta cincin dan al-Quran - majlis pernikahan mereka bakal berlangsung pada waktu petang diikuti dengan upacara persandingan.

"Kami hanya mahukan sebuah acara yang ringkas tapi tak boleh ringkas sangat kerana orang nak datang," ujar Linda yang merupakan guru tari dan pengkritik popular itu. Dan tinggal hanya beberapa hari sahaja majlis penuh bermakna itu, Linda mengakui dia semakin gementar dan risau memikirkan persiapan majlisnya.

Biarpun semasa sedang menjadi juri pengkritik program Sehati Berdansa, persiapan majlis perkahwinannya sudah siap 50 peratus namun sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, selagi tidak nampak hasil di depan mata maka selagi itulah hatinya akan berdebar.

Sementelah sejak kebelakangan ini, dia terlalu sibuk. Selepas selesai program Sehati Berdansa, dia yang mempunyai studio tari, Linda Performing Arts juga sibuk menguruskan majlis meraikan ulang tahun perkahwinan ke-50 ibu bapanya. Dalam masa yang sama ahli keluarganya dari Amerika Syarikat juga berkunjung ke mari.

"Saya orang yang cepat mahu melihat hasil, selagi tidak nampak, saya tidak boleh relaks. Sebelah pihak lelaki saya tidak perlu risau sebab keluarga dan orang kampung akan bergotong royong. Lagipun tarikhnya masih jauh," ujarnya.

Selain itu, untuk majlis perkahwinannya itu, pengantin lelaki menyerahkan segala persiapan kepada pengantin perempuan lantaran sibuk di lokasi penggambaran. Dan Linda sendiri tidak kisah kerana sudah biasa berdikari. Lagipun, tegasnya, mengapa harus menolak rezeki.

l Meraikan perkahwinan

Masih belum memikirkan lokasi bulan madu lantaran jadual kerja yang menunggu kedua-duanya namun ujar Linda, dia dan Que sentiasa memastikan akan meluangkan masa untuk bersama.

Juga tegas Linda, dia tiada perancangan untuk mengurangkan aktiviti kesenian hanya semata-mata telah bergelar isteri memandangkan kehidupannya sejak menyertai Akademi Fantasia (AF) dan terlibat dalam Sehati Berdansa sentiasa sibuk.

Apatah lagi dia juga perlu menguruskan studio tanpa melupakan tanggungjawab terhadap anak tunggal kesayangannya, Qalif Khan yang kini berusia lapan tahun.

"Kalau ada kerja (tawaran), sayang pula nak tolak rasanya. Tapi ia bergantung kepada keadaan. Kalau selepas ini, kerja kurang pun saya tak kisah. Sebab saya boleh habiskan masa untuk rumah tangga dan studio," kata Linda yang begitu seronok untuk kembali menjadi isteri kerana selepas ini dia bukan sahaja tidak lagi berseorangan malah ada orang tempat untuk bergantung dan mengadu.

Memang perhubungan mereka terjalin agak pantas. Menjelang akhir AF musim ke-6, keduanya mulai rapat dan selepas itu segala-galanya begitu ketara. Siapa menyangka, kerana menyertai satu kerja kebajikan yang dilakukan Linda, mereka saling jatuh hati kerana bagi Linda sendiri yang menjemput Que sebagai antara artis yang terbabit dalam kerja kebajikan itu, dia selesa dan gembira saat bersama pelakon berbakat itu.

"Sebenarnya saya tak pernah terfikir langsung (untuk jatuh hati) tetapi ia datang secara semulajadi. Dia tanya fasal kahwin dan kemudiannya subjek itu semakin kerap dibincangkan. Ya, keakraban kami itu pantas," ungkap si jelita yang berdarah kacukan ini.

Dan selepas bergelar ibu tunggal dan bersendirian hampir lima tahun, Linda mengakui perhubungan itu amat istimewa dan membahagiakan.

Tidak menafikan gemar dengan kehidupan solonya tetapi hatinya tidak pernah menolak mahupun tertutup untuk berkahwin lagi. Malah, keinginan untuk menimang cahaya mata lagi begitu meluap-luap.

Menyukai kanak-kanak, Linda menyimpan impian untuk memiliki anak perempuan. Biarpun tidak merancang, Linda mengharapkan mampu memperoleh anak secepat yang mungkin daripada perkahwinannya ini.

"Segalanya kita serahkan kepada Yang Esa. Saya bersyukur sangat kerana dapat menjadi seorang ibu cuma satu tak cukup," katanya sambil tersenyum manja. Gembira dapat menempuhi alam perkahwinan sekali lagi dan bergelar isteri, Linda tidak pernah sesal dengan pengalaman lalu kerana dia seorang yang sukakan kehidupan yang dipenuhi kasih sayang.

"Kami bukan sempurna. Kami (cuma) mahukan kebahagiaan bersama," tegasnya yang walaupun banyak persamaan tetapi perbezaan juga sebenarnya menyatukan mereka.

"Ramai orang tanya perbezaan kami dan kami akui kami berbeza. Tapi kami juga percaya, selagi ada kasih sayang, komunikasi dan faham memahami maka semua perkara boleh dilalui bersama. Tak kisahlah sama ada dia orang kampung atau dari mana asal kita," tambahnya.

l Perbezaan usia

Berbahagia dan bangga dengan perhubungannya bersama Que, Linda juga mengharapkan selepas mendirikan rumah tangga, keduanya akan terus kekal menghormati keperibadian antara satu sama lain. Tentunya lebih penting, rasa kasih sayang yang berterusan daripada orang yang dicintai.

"Belajar daripada kesilapan perkahwinan pertama dan pengalaman lain mendewasakan saya untuk mengharungi perjalanan perkahwinan kali ini," tegasnya.

Biar tujuh tahun perbezaan umur - Que, 29 dan Linda, 36 - tetapi ia bukanlah satu faktor membimbangkan bagi kedua-dua pihak. Kerana Linda percaya, persefahaman menjadi kunci keharmonian rumah tangga. Malah kata Linda, dia amat bersyukur kerana penerimaan orang sekeliling khususnya kaum keluarga masing-masing terhadap cinta mereka.

"Kita bukan buat salah," ujar Linda selamba. Dan kata Linda lagi, Que adalah pengimbang emosinya. "Saya seorang yang mahu segala-galanya sempurna dan Que selalu buat saya lebih tenang. "Jadi ada keseimbangan di situ," tambahnya sambil tersenyum.

Berkahwin dengan seorang pelakon, Linda mengakui harus memahami kerjaya bakal suaminya yang mungkin akan selalu berada di lokasi dan bekerja tidak menentu masa.

Bagi Linda, sebagai orang seni, mereka mempunyai pemikiran dan kehidupan yang agak berbeza dan dia tidak kisah dan menerima dengan hati terbuka mengenainya. Orang nak berkarya, kata Linda lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: