Wednesday, February 11, 2009

Emosi dan kontroversi Grammy


REAKSI Carrie Underwood apabila memenangi kategori Persembahan Vokal Country Wanita Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.


MAJLIS anugerah Grammy ke-51 yang baru sahaja berlangsung malam Ahad lalu (Isnin pagi waktu Malaysia) menyaksikan emosi seorang bernama Jennifer Hudson cukup terusik.

Sememangnya Jennifer tidak mampu lagi menahan sebak sebaik sahaja idolanya, Whitney Houston mengumumkan pemenang Album R&B Terbaik yang menjadi milik mutlaknya.

Tanpa disedari, air mata yang menjadi peneman setia selepas musibah dan insiden yang berlaku dalam hidupnya pada 27 Oktober lalu, sekali lagi gugur di atas pentas Staples Centre, Los Angeles.

Sejak insiden itu, Jennifer telah memencilkan dirinya daripada dunia glamor kerana dia mahu menenangkan fikirannya dan dia sendiri belum bersedia untuk berkongsi cerita dengan pihak media dan juga peminatnya.

Ibunya, Darnell Donnerson merupakan pendorong utama serta menjadi aspirasi buat Jennifer sehingga dia kini mampu berdiri dan bergelar seorang bintang besar di Hollywood kini.

"Saya bersyukur kepada tuhan kerana membawa saya keluar daripada kesedihan ini. Malah, dia juga memberikan saya kekuatan untuk saya berjuang dalam bidang yang amat saya cintai ini.

"Sudah pasti, kejayaan ini adalah untuk ahli keluarga saya yang kini tenang di syurga dan juga mereka yang masih lagi ada untuk terus menyokong saya," ucap Jennifer dalam nada yang tersekat-sekat.

Sudah terang lagi bersuluh apabila ternyata keluarga merupakan perkara utama dan penting dalam hidupnya.

Bukan itu sahaja, sewaktu Jennifer membuat persembahan menerusi lagu You Pulled Me Through yakni sebuah lagu yang cukup dramatik yang seolah-olah menggambarkan hidupnya yang hampir putus asa, sekali lagi emosi Jennifer terusik.

Lebih mengharukan apabila Jennifer menyanyikan bait lirik terakhir yang berbunyi, "When I was drowning, when I was so confused, you, you pulled me through.", dia memandang tepat ke arah kamera dan sejurus itu, air matanya tidak dapat dibendung lagi daripada mengalir.

Sudah pasti kejayaan yang dikecapi Jennifer pada malam itu bagaikan menebus kembali kekecewaan yang dihadapinya dan anugerah Grammy pertamanya itu juga memberi gambaran bahawa Jennifer akan terus bertahan dalam industri.

Meskipun, Jennifer tewas dalam tiga kategori lain (dia tercalon dalam empat kategori) namun, setidak-tidaknya dengan kemenangan pertamanya itu ternyata memberi kejayaan yang cukup manis buat pemenang Oscar itu.

Selain daripada kisah Jennifer yang menjadi tumpuan pada malam Grammy, di sebalik itu, anugerah muzik berprestij itu telah dicemari dengan kontroversi apabila penyanyi Chris Brown dan kekasihnya, Rihanna menarik diri daripada membuat persembahan pada saat akhir.

Ia berikutan Chris telah ditahan dan disoal siasat oleh pihak polis berhubung kes yang mendakwa penyanyi itu telah memukul seorang wanita yang tidak dikenali pada malam sebelum Grammy berlangsung.

Mereka berdua sepatutnya membuat persembahan pada malam berkenaan dan bukan itu sahaja, pasangan kekasih itu juga merupakan calon Grammy untuk kategori Kolaborasi Vokal Pop Terbaik.

Bukan itu sahaja, 'kehilangan' Rihanna juga telah menimbulkan tanda tanya apabila ada pihak mendakwa wanita yang dicederakan Chris adalah Rihanna sendiri.

Masih lagi dalam siasatan, tiada siapa yang mampu mengesahkan kesahihan di sebalik cerita panas itu.

Ekoran daripada itu, slot persembahan mereka telah digantikan dengan persembahan mantap oleh penyanyi veteran, Al Green bersama Justin Timberlake, Boyz II Men dan Keith Urban yang menyampaikan lagu Let's Stay Together.

Apa yang pasti, Grammy tahun ini menyaksikan satu lagi kejayaan manis dan bersejarah yang dilakar oleh pemuzik dan penyanyi, Alison Krauss bersama bekas ahli kumpulan Led Zeppelin, Robert Plant apabila buah tangan mereka, Raising Hand berjaya mengungguli lima anugerah.

Ini termasuk dua anugerah utama iaitu Album Terbaik dan Rakaman Terbaik untuk lagu Please Read The Letter sekali gus melenyapkan spekulasi yang meramalkan kumpulan Coldplay akan menang besar pada malam itu.

Selain daripada dua anugerah itu, Alison dan Robert membawa pulang tiga lagi anugerah iaitu Kolaborasi Vokal Pop Terbaik menerusi lagu Rich Woman, Kolaborasi Vokal Country Terbaik (Killing The Blues) dan Album Folk Kontemporari/Americana Terbaik (Raising Hand).

Mungkin agak menarik juga apabila melihat album ini diangkat sebagai pemenang kerana sungguh unik apabila seorang pemuzik rock digandingkan dengan seorang pejuang irama country dan folk dalam sebuah album lantas menghasilkan irama dan muzik yang cukup indah.

Grammy tidak pernah berfikiran skeptikal untuk mengangkat mana-mana muzik untuk mengungguli anugerah utama tetapi Grammy sebenarnya lebih daripada itu.

Apa yang dilihat oleh hampir 7,000 pengundi dalam menentukan pemenangnya adalah penghasilan muzik, lagu dan album itu mampu memberi satu sisi baru dalam industri muzik yang kini sedang menuju zaman kesuraman.

Pelbagai rencah dan muzik dilihat dalam album Raising Hand namun, dasar muziknya tetap sama iaitu muzik Amerika yang tulen dan sejati. Atas kriteria dan keunikan itu, ia diangkat sebagai juara.

"Kononnya kami ini merupakan pemuzik dari dua genre yang berbeza dan ramai yang tidak melihat ia mampu menghasilkan keajaiban. Pemikiran radikal sebegini adakalanya jika diselami, ia mampu membawa kita ke satu daerah yang kita sendiri tidak tahu.

"Terlibat dalam album ini bersama Alison telah banyak membuka mata saya tentang muzik Amerika itu sendiri. Rupanya, banyak lagi khazanah muzik yang tersembunyi dan boleh kita cungkil serta diketengahkan. Amerika sendiri perlu tahu dan sedar tentang perihal ini," jelas Robert panjang lebar sewaktu sidang akhbar.

Tahun lalu, Alison dan Robert memenangi kategori Kolaborasi Pop Vokal Terbaik menerusi lagu Gone Gone Gone (Done Moved On) yang dimuatkan dalam album yang sama.

Namun, album berkenaan tidak dapat dicalonkan kerana ia belum dipasarkan dalam tempoh kelayakan dan jika dihitung dengan kemenangan itu, maka, mereka berdua memenangi enam anugerah menerusi album Raising Hand.

Gandingan mereka berdua setidak-tidaknya telah membuktikan bahawa muzik jika digali dan diadun dengan baik, ia sememangnya akan menjadi begitu indah. Bukan itu sahaja, Alison dan Robert membuktikan kreativiti mereka juga tidak terbatas dalam melahirkan muzik dan album yang berkualiti.

Selain itu, malam penuh gilang-gemilang itu juga menyaksikan penyanyi British, Adele membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik untuk lagu Chasing Pavements.

Begitu juga dengan Coldplay yang membawa pulang tiga anugerah daripada tujuh pencalonan yang diterima mereka.

"Kami tidak pernah mendapat begitu banyak anugerah dalam satu malam. Kami begitu bertuah untuk berada di sini dan kemenangan ini membuat kami begitu terharu," ucap vokalisnya, Chris Martin dalam nada teruja.

Tanpa disedari Chris, Coldplay sebenarnya telah memenangi empat anugerah Grammy sebelum ini. Tahun ini, mereka memenangi kategori Lagu Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Duo Berkumpulan Terbaik untuk lagu Viva La Vida dan Album Rock Terbaik (Viva La Vida Or Death And All His Friends).

Meskipun hanya tercalon untuk dua kategori, juara American Idol (AI) musim keempat, Carrie Underwood tetap mempamerkan kecemerlangan apabila mencipta hatrik menerusi kategori Persembahan Vokal Country Wanita Terbaik untuk lagu Last Name.

Dengan kemenangan ini, ia menjadikan jumlah anugerah Grammy yang dimiliki Carrie kini adalah enam buah dan terus meletakkan dirinya sebagai penyanyi country kelahiran AI paling berjaya.

Secara keseluruhannya, Grammy bukan sahaja menghidangkan santapan muzik yang indah dan berdiri atas nama keunikan, tetapi Grammy lebih daripada segala-galanya.

Ia merupakan medan terbaik untuk melihat karyawan seni Hollywood untuk mempamerkan hasil kerja seni terbaik masing-masing dalam genre berbeza dalam usaha mereka untuk memperkasakan industri muzik di Hollywood.

Lantas, ia membuktikan muzik tidak akan pernah mati dan ia akan terus hidup selagi pemuzik dan karyawan seni mereka terus memberikan hasil yang terbaik untuk terus membiarkan ia mekar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: