Monday, June 8, 2009

Waspada skim pelaburan palsu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) meminta orang ramai lebih berwaspada terhadap skim-skim pelaburan palsu (investment scams) yang semakin meningkat kebelakangan ini menggunakan pelbagai helah bagi memperdaya para pelabur.

Menurutnya, sebarang terbitan sekuriti memerlukan kelulusan SC di bawah Seksyen 212 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, ini termasuk terbitan saham oleh mana-mana syarikat awam (yang disenarai atau sebaliknya), saham amanah atau bon.

Sebarang pengagihan atau jualan sekuriti juga memerlukan prospektus yang didaftarkan di bawah SC.

“Keperluan untuk mendaftar prospektus di bawah SC dan mengedarkannya kepada pelabur adalah untuk memastikan mereka mendapat semua maklumat yang diperlukan mengenai sesuatu syarikat, skim pelaburan yang ditawarkan dan risiko-risiko pelaburan yang terlibat.

“Oleh itu, ia akan membolehkan para pelabur membuat keputusan yang berlandaskan maklumat mengenai pelaburan mereka,’’ kata SC dalam satu kenyataan di sini semalam.

SC berkata, perlindungan untuk pelabur termaktub di bawah undang-undang. Para pelabur perlu memastikan mereka mendapat faedah daripada perlindungan itu dengan meminta senaskhah prospektus sekiranya mereka tidak diberikan sebelum ini.

SC mengingatkan pelabur supaya berwaspada terhadap skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang luar biasa dalam masa yang singkat.

Di samping itu, pelabur juga dinasihatkan mendapat pengesahan bahawa syarikat tersebut mempunyai alasan yang kukuh dalam menjanjikan pulangan yang terlalu tinggi.

SC akan terus mengawasi skim-skim pelaburan palsu. Sila e-mel aduan anda kepada aduan@seccom.com.my atau hubungi 03-6204 8999 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai skim-skim tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: