Sunday, June 28, 2009

Kemuncak Bintang RTM malam ini


TUJUH daripada lapan finalis BRTM yang bakal berentap pada malam ini.


DEBARAN semakin dirasai. Kemuncak segala-galanya bakal terjawab malam ini. Malam ini bakal menyaksikan lapan finalis beradu bakat bagi merebut juara di pertandingan akhir Bintang RTM (BTRM) 2009. Siapakah bakal mengikut jejak langkah Sudirman Haji Arshad, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Rohana Jalil, M. Rizal, Azharina Azhar, Izwan Pilus dan ramai lagi selebriti yang menempa nama melalui program ini?

Jika program realiti lain menggunakan SMS sebagai juri, BTRM masih lagi menggunakan khidmat juri profesional bagi menentukan siapakah yang layak diangkat sebagai juara.

Dengan tema Malam Seribu Bintang, lapan finalis yang akan berentap terdiri daripada Nur Ernie Shahirah Zakri, 17, atau Ernie, Nur Azilla Mohd. Ibrahim, 23, (Zilla); Jo-Anna Sue Henly Rampas,(Jo-Ann), 20, dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley,(Fatin) 18.

Saidatul Aina Jamaluddin,(Aina) 22; Arnizam Michael,(Nizam), 22; Mohammad Adlizan Baharudin, (Adli), 23 dan Mohd. Ikbal Abdul Hatam, (Ikbal); 18.

Antara yang bakal mengisi malam kemuncak itu, selain nyanyian diiringi orkestra sepanjang tujuh minit persembahan, gelagat penyokong yang memberi sokongan terhadap peserta kegemaran mereka akan turut dipaparkan menerusi lintas langsung ke negeri-negeri kelahiran mereka.

Menyorot kembali sejarah BTRM, pertandingan ini diperkenalkan sejak tahun 1973 lagi dan kali terakhir RTM menganjurkan BRTM ialah pada tahun 1986 yang menonjolkan penyanyi Noraliza Yusof sebagai juara.

Rancangan tersebut diberhentikan sementara kerana memberi laluan kepada beberapa siri pertandingan lain yang dianjurkan di RTM antaranya suara 90-an, Bintang HMI, Golden Teen Search dan Bintang Gala 2.

BRTM kembali diadakan pada tahun 1999 dan saban tahun RTM tidak pernah terlepas daripada melahirkan bintang yang hebat walaupun dalam program yang berbeza.

Namun begitu, Siti Nurhaliza bukanlah bintang yang dicungkil bakat daripada program BRTM tetapi melalui Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) yang turut disiarkan di stesen RTM.

Kecemerlangan bintang-bintang terdahulu nampaknya tidak dapat diteruskan oleh bintang yang baru bersinar. Lihat sahaja pada waktu ini, sudah tidak banyak bintang keluaran BRTM mampu meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh mereka yang terdahulu.

Mungkin ada yang membuat andaian, bahawa BRTM tidak menampakkan kemeriahan seperti program realiti yang lain. Hakikat itu yang terpaksa diterima oleh RTM kerana pertandingan ini memilih kualiti bukan populariti semasa pertandingan sedang berlangsung.

Orang ramai hanya boleh memilih bukan mengadili pertandingan yang berkait rapat dengan seni. RTM perlu mempertahankan konsep juri profesional seperti sekarang kerana pemilihan menggunakan SMS menjadikan pemenang dipandang rendah.

Siapakah yang harus disalahkan jika peserta BRTM gagal menyinar di persada seni tempatan? Adakah kerana kekurangan publisiti atau peserta yang kurang berkualiti?

Tapi hakikat itu tidak boleh diletakkan di atas bahu pihak RTM semata-mata sebaliknya bintang itu sendiri yang sepatutnya merencanakan perjalanan seni mereka sebaiknya untuk berjaya.

Laluan sudah dibuka. Jadi tidak salahnya untuk bintang-bintang ini terus berusaha dengan lebih gigih demi memastikan kelangsungan mereka sebagai anak seni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: