|
|
Pengorbanan ibu menjadi ingatan dan tidak pernah padam bagi Amira Najua Sa'abana yang berusia 20 tahun ini. Jiwa anak kelahiran Damansara, Selangor ini seringkali tersentuh apabila mengenang ibunya, Zuraida Mohamad yang sanggup membuat pinjaman kewangan bagi membiayai kos pembelajarannya ke universiti.
Amira sedar ibunya yang berusia akhir 40-an itu adalah ibu tunggal yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadai harta bagi memastikan masa depannya terjamin.
Baginya, sejumlah wang yang dipinjamkan itu tidak setanding dengan penyesalan sekiranya sang ibu tidak dapat menyempurnakan pengajian anaknya ke Universiti Lehigh, Bethlehem, Pennsylvania di Amerika Syarikat.
"Saya juga tidak dapat lupakan apa sahaja yang dilakukan untuk mendapatkan semula sijil penyertaan semasa belajar di sekolah menengah dahulu dan berlatih sebelum ditemuduga untuk mendapatkan biasiswa ini. Ibu juga sering memberi sokongan kepada apa sahaja yang dilakukan," kata pemegang Anugerah Biasiswa Astro ini.
Amira adalah salah seorang daripada 32 anak muda yang bakal mengecapi kecemerlangan dalam ijazah sarjana muda melalui pemberian bantuan kewangan sehingga RM150,000 setahun.
Anak bongsu daripada dua beradik ini tidak pernah mengenal erti putus asa. Baginya inilah masa sepatutnya dia membayar semula titik peluh ibunya. Setiap sen perlu dibayar. Maka, fokus kehidupannya kini lebih adalah mengumpulkan pengalaman - teori dan praktikal.
Pelajar Bacelor Sains Dalam Perniagaan dan Ekonomi pengkhususan pemasaran ini mahu ibunya bangga dengan apa sahaja untuk mengubah masa depannya.
Seorang lagi pemegang Anugerah Astro ialah Mohd. Zulkarnain Mohd. Azhar, 27, yang mempunyai impian yang bercanggah dengan norma keluarganya - cikgu. Kedua-dua ibu bapanya, Mariah Abu Talib, 50, dan Mohd. Azhar Abdul Razak, 62, pada mulanya menentang minatnya itu kerana bagi mereka, pengajian dalam bidang perfileman tidak mendatangkan sebarang manfaat.
Mereka lebih gemarkan Zulkarnain bekerja makan gaji seperti adik beradiknya lain. Tentangan demi tentangan diterima dan disebabkan minat yang kukuh dalam bidang perfileman, penjelasan tentang pengajian itu diterangkan secara terperinci.
"Ayah dan mak tak nampak masa depan selepas tamat pengajian perfileman itu nanti. Namun, selepas terbitnya beberapa drama filem seperti yang dibuat Yasmin Ahmad, persepsi mereka berubah," kata anak bongsu yang kini menjadi tenaga kerja Astro.
Zulkarnain yang meminati bidang perfileman sejak kecil itu juga mahir dalam reka bentuk grafik yang dipelajari semasa menuntut pengajian diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sinematografi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) juga mahu mengumpulkan seberapa banyak pengalaman yang dapat memperkukuhkan kemahiran yang ada padanya dalam pembikinan produksi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: