Ya, ribut juga bila dikhabarkan aktres Umie Aida bertunang. Ramai terkejut bila terbaca kisah yang disiarkan oleh Niezam dalam ruangan pojoknya, Kring-Kring minggu lepas.
Masakan tidak, tanpa sebarang angin yang menyatakan dirinya sedang menjalinkan hubungan cinta, tiba-tiba keluar kisah sudah menjadi tunangan orang.
Lelaki bertuah yang menjadi pilihan aktres itu dikatakan seorang duda yang mempunyai dua cahaya mata (bukan tiga seperti yang dilaporkan).
Lelaki itu dikatakan ahli perniagaan bertaraf jutawan dan bergelar Datuk berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dikhabarkan majlisnya berlangsung pada 30 Mei lalu dan hanya dihadiri kaum keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.
Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Embun itu tidak menafikan adanya sebuah majlis yang menghimpunkan kedua-dua belah keluarga.
Namun tegasnya: "Ia bukan majlis pertunangan. Ia sekadar acara merisik."
Dan kerana itu, kata Umie yang dihubungi malam Selasa lalu, tidak ada yang perlu diuar-uarkan mengenainya.
"Umie tidak mahu komen lebih-lebih kerana ia masih terlalu awal. Ini baru majlis merisik. Cuma Umie memohon, para peminat mendoakan yang terbaik untuk hubungan ini.
"Dan percayalah, kalau kebaikan yang datang, Umie akan berkongsi dengan peminat yang selama ini setia menanti untuk melihat Umie menempuh alam perkahwinan," ujarnya.
Menurut Umie, majlis merisik yang diadakan secara senyap-senyap itu telah berlangsung pada 17 Mei lalu, bukan 30 Mei seperti dilaporkan.
Pun begitu, ia berlangsung tanpa kehadiran bakal tunangannya.
Ditanya mengenai siapakah Datuk yang berjaya mencuri hatinya, Umie enggan mengulas lebih lanjut. Ini kerana bagi dirinya, perhubungan mereka masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.
"Dia orang biasa. Seorang yang sangat low profile dan simple person. Sikapnya yang simple itu yang membuatkan saya selesa dengannya," jelas Umie mengenai pilihan hatinya itu.
Difahamkan bakal ibu mertua Umie yang menyarungkan cincin belah rotan di jari manis kanan Umie ketika majlis merisik berlangsung.
Menurut sumber, pasangan itu juga telah memilih cincin pertunangan dan pernikahan jenama mewah antarabangsa.
Kami juga berjaya mendapatkan sekeping gambar sekitar majlis merisik tersebut. Harap Umie tidak marah kerana menyiarkan gambar ini untuk tatapan peminatnya. Gambar ini diperoleh daripada pihak terdekat keluarga Umie.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: