Tuesday, June 30, 2009

Elza teruskan perjuangan Azean


AZEAN Irdawaty bersama anaknya, Elza Irdalynna yang juga merupakan penerbit The Things We Have Lost.


KATA orang, 'ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi'. Itu mungkin peribahasa yang boleh menggambarkan tentang perjuangan Azean Irdawaty bersama anaknya, Elza Irdalynna dalam dunia lakonan tanah air.

Meskipun menderita barah payu dara dan hanya bergerak dengan kerusi roda, tetapi ia tidak menghalang Azean untuk memberi sokongan serta tunjuk ajar kepada anaknya itu dalam bidang lakonan.

Elza, 22, merupakan anak seniwati itu yang paling cenderung mengikuti jejak langkahnya dalam bidang lakonan termasuklah filem dan pementasan teater sejak kebelakangan ini.

Azean selaku penaung syarikat produksi Elektric Minds Project (EMP) misalnya, tidak putus-putus memberi tunjuk ajar dan dorongan kepada Elza selaku pelakon teater The Things We Have Lost terbitan syarikat tersebut.

Kata bekas penyanyi popular tahun 1970-an ini, Elza telah menunjukkan minat serta komitmen yang tinggi bersama EMP bagi menggilap bakat lakonannya selain memeriahkan lagi dunia pementasan teater tempatan.

"Minat dan passion (keghairahan) Elza dalam bidang lakonan saya dapat rasakan, begitu juga dengan diri saya dalam bidang ini yang tidak pernah pudar. Penyakit barah yang saya hidapi kini tidak menjadi halangan untuk saya untuk terus bergiat dalam bidang ini.

"Saya suka melihat generasi muda termasuklah anak saya itu menubuhkan grup teater seperti ini. Saya lihat mereka saling bekerjasama cari dana, tulis skrip, mengarah dan menerbitkan teater ini dengan bersungguh-sungguh.

"Saya sentiasa memberi galakan dan berharap lebih ramai anak muda ada sikap seperti ini kerana mereka adalah generasi pelapis aktivis teater pada masa depan," katanya pada sidang media The Things We Have Lost di PJ Live Arts, Jaya One, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Azean turut bersedia memberi bimbingan bukan sehaja kepada Elza tetapi juga para tenaga kerja lain yang terbabit menjayakan teater tersebut.

Menerusi teater Inggeris arahan Marvin Wong itu, Elza bukan setakat bertindak selaku penerbit tetapi beliau turut melakonkan dua watak iaitu sebagai Allie dan Liz.

Sebagai pelakon baru, Elza tidak menafikan ibunya itu banyak memberi semangat serta tunjuk ajar dalam bidang lakonan supaya bakatnya dalam dunia pementasan teater dapat dikembangkan lebih jauh pada masa depan.

"Sebelum ini saya pernah berlakon filem Talentime arahan Yasmin Ahmad. Selain itu, saya juga menerima tawaran berlakon beberapa buah drama. Tetapi buat masa ini saya lebih tumpu pada pementasan dan penerbitan teater.

"Ini kerana kalau dalam teater saya dapat menimba lebih banyak pengalaman melalui sesi latihan yang diadakan sebelum pementasan. Pada masa depan, kalau boleh saya juga mahu mengarah tidak kiralah sama ada teater ataupun filem," ujarnya.

The Things We Have Lost yang akan dipentaskan di PJ Live Arts, Jaya One, Petaling Jaya, pada 12 hingga 16 Ogos ini mengenakan bayaran berkonsepkan sumbangan derma berjumlah RM20 dan ke atas.

Antara pelakon yang akan menjayakan pementasan itu ialah Justin Wong yang melakonkan watak Martin dan Peter, Nicole Fuchs (June, Alexe), Sham Sunder (Sam, Eric), Mikey Tai (Alan, Horatio) dan Natalya Molok (Kris, Leona).

Jelas Elza, selain menerbit, berlakon dan mementaskan teater Inggeris dan Melayu, EMP yang ditubuhkannya turut menghasilkan skrip bersama beberapa rakannya seperti Calvin Wong, Alex Chua dan Adeline Ong yang menjalankan aktiviti pementasan dalam EMP.

"Kami mengalu-alukan skrip daripada luar selain skrip yang kami tulis sendiri. Jika skrip yang kami terima itu bermutu dan sesuai dipentaskan, maka kami akan cuba mementaskannya di PJ Live Arts pada masa depan.

"Skrip-skrip yang berada dalam simpanan kami akan dipelihara hak ciptanya dan kami juga akan memberi royalti kepada penulis skrip terbabit mengikut syarat-syarat yang dipersetujui bersama," katanya.

The Things We Have Lost merupakan gabungan enam skrip yang dijadikan sebuah cerita mengisahkan tentang tiga anak yang sedang memikirkan untuk menjual rumah masing-masing yang penuh dengan nostalgia.

Pada masa sama, muncul seorang wanita berpistol yang mahu memperbaiki kehidupannya yang penuh dengan pelbagai pengalaman pahit, manis serta emosi yang bercampur baur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: