|
|
KALAU sudah namanya penyanyi nombor 'satu' negara, maka dari hujung rambut hingga ke kaki memang semuanya dipastikan terbaik. Itulah yang boleh dikatakan mengenai kehebatan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin apabila beraksi di pentas persembahan. |
Tiada apa yang perlu dikritik selain melontarkan pujian buatnya. Ternyata aura anak jati Kuala Lipis, Pahang ini tidak pernah pudar walaupun sudah berkeluarga. Justeru, pengaruh wanita jelita ini terhadap peminat setianya dan industri muzik sangat besar.
Malah, yang pasti Siti sudah membuktikan siapa sebenar dirinya di Konsert Eksklusif Satu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 26 hingga 28 Jun lalu, jam 8.30 malam. Konsert selama dua jam 15 minit itu adalah dedikasi bermakna Siti untuk peminat.
Kata Siti, ini adalah julung kalinya dia mengadakan konsert solo itu. Bahkan, Konsert Eksklusif Satu juga merealisasikan impiannya untuk menggabungkan melodi, tarian, grafik dan emosi dalam satu persembahan pentas yang sangat menghiburkan.
"Apapun, saya sesekali tidak lupa pada asal-usul dari mula hingga kini sebagai anak seni. Justeru, konsert ini menceritakan perjalanan karier nyanyian saya yang mana dipenuhi suka, duka dan kontroversi yang membawa Siti Nurhaliza hingga ke tahap sekarang.
"Malah, sokongan peminat yang tidak berbelah bagi juga menjadi tunjang pada karier saya. Lihat sajalah, mereka (peminat) yang hadir ini. Kalau dulu kecil (kanak-kanak), sekarang mungkin sudah berkahwin. Begitu juga yang bergelar makcik kini sudah jadi nenek.
"Tidak terkecuali, yang belum berkahwin sekarang sudah berkeluarga seperti saya. Inilah proses kematangan hidup yang dilalui setiap insan. Cuma, dalam waktu bergembira ini usahlah lupa pada yang memerlukan. Oleh itu, ini juga konsert amal," katanya.
Anggun menggayakan busana menawan tajaan Jakel, ketika asyik menghiburkan pengunjung dengan rangkaian lagu popularnya seperti Hati, Seindah Biasa dan Sutramaya, Siti juga tidak lupa mendendangkan lagu irama tradisional yang menjulang namanya.
Bahkan, hakikatnya diva tersohor ini cukup mengenang jasa komposer yang membantunya dalam memartabatkan lagu irama tradisional dan kontemporari iaitu komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah. Katanya lelaki itu penggubah lagu hebat.
"Apa tidaknya, beliaulah penggubah lagu untuk kempen kraftangan, membaca dan budi bahasa. Malah, siapa yang dipilihnya sebagai penyanyi, saya jugalah yang diberi peluang. Oleh itu, irama tradisional juga adalah latar belakang pada muzik yang saya bawa.
"Terima kasih tidak terhingga kepada Pak Ngah yang sudi memberikan kepercayaan kepada saya. Apapun, hadirnya saya di konsert ini juga kerana peminat. Jutaan terima kasih kepada kelab peminat saya, Siti Zone yang tidak pernah jemu beri sokongan," katanya.
Antara lagu irama tradisional dan kontemporari yang diperdengarkan Siti ialah medley Cindai, Balqis dan Nirmala. Asyik mengenang memori indahnya, secara tidak langsung Siti sudah menceritakan 'separuh' daripada kehidupannya sebagai anak seni.
Namun, hakikat hidup manusia tidak semua yang dilalui itu gembira. Ada ketikanya, diduga dengan kesedihan. Malah, kata Siti, dia juga tidak dapat lari daripada melaluinya. Dari permulaan karier, kegemilangan dan kesedihan adalah asam garam kehidupan.
"Anda semua mungkin melihat saya sentiasa gembira dan ceria. Ini kerana ada kalanya saya terpaksa pendamkan saja apa yang dirasa. Malah, dalam masa sama, saya juga seperti orang lain apabila perlu berhadapan dengan cinta. Ia cukup indah.
"Tetapi, kisah cinta ini agak berbeza yang pada mulanya ia memerlukan saya berteka-teki. Ketika itu, saya dihimpit keadaan hingga menyebabkan terpaksa berahsia. Bagaimanapun, saya adalah seorang yang sangat menyimpan rahsia diri.
"Apapun, kini, saya bersyukur dengan segala yang dikurniakan Tuhan. Kehidupan saya sekarang lebih gembira dan amat bermakna apabila Allah memberikan seorang suami yang amat dikasihi. Sayang (Datuk K), terima kasih kerana menyayangi saya," katanya.
Apapun, lontaran vokal Siti memang cukup bertenaga hingga tidak disedari masa berlalu. Isteri kesayangan Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa ini memang penyanyi hebat. Oleh itu, selayaknya dia digelar penyanyi wanita 'nombor satu' tanah air.
Namun, di kala asyik menghiburkan penonton. Siti nyata tidak dapat melupakan seseorang yang amat 'bermakna' dalam hidupnya selain ibu tercinta, Siti Salmah Bachik. Ternyata, perasaan rindu pada Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail membuatkan Siti sebak.
"Selama ini, di mana saja, saya membuat persembahan ayah pasti hadir. Tetapi, malam ini (Jumaat lalu) hanya ibu seorang dan situasi itu amat menyayat hati. Selain keluarga, ayah adalah tulang belakang saya dalam membina karier dan meraih kejayaan ini.
"Kini, ayah sudah tiada lagi di sisi saya dan keluarga. Sebagai anak, kehilangannya dirasai hingga ke saat ini dan sukar dilupakan. Apapun, terima kasih kepada keluarga dan Siti Nurhaliza Productions (SNP) kerana membantu merealisasikan impian saya.
"Selain itu, saya turut mengucapkan penghargaan kepada cikgu yang mengajar saya bermain perkussion iaitu Steve Thornton. Begitu juga dengan komposer Aubrey Suwito yang melatih saya membuat lagu dan menyanyi dengan baik," katanya.
Berusia 30 tahun, Siti berharap dapat menempuhi segala cabaran hidup dengan tenang. Bahkan, katanya apa saja yang dilakukan menjadi keutamaannya memohon petunjuk daripada Allah. Justeru, mudahlah baginya untuk membuat keputusan selepas itu.
Sebanyak 23 lagu didendangkan Siti setiap malam konsertnya. Antara lagu diperdengarkan ialah Cinta Ini, Bulan Yang Mesra, Pendirianku, Pada Cintanya, Ku Mahu, Biarlah Rahsia, Siti Situ Sana Sini, Destinasi Cinta, Di Taman Teman dan Cahaya Cinta.
Bukan saja peminat, namun ramai juga rakan artis hadir antaranya Azizah Mahzan, Ziela Jalil dan Habsah Hassan. Ternyata, Konsert Eksklusif Satu Siti melakar sejarah kepada peminat kerana persembahan sangat berkesan.
Apapun, sebelum Siti memulakan persembahannya, penonton lebih dulu dihiburkan dengan persembahan bertenaga bintang Akademi Fantasia 5 (AF5) Aizat yang mendendangkan empat lagu. Antaranya Fikirlah, Hanya Kau Yang Mampu dan Bagaikan Permata.
Pada malam Jumaat lalu juga, Maxis Communications Berhad selaku penaja Konsert Eksklusif Satu turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan Malam Gala Maxis sempena konsert itu sebanyak RM120,000 kepada Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan Siti dan suami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: