Monday, June 29, 2009

Tidak pasti MJ anut Islam


BUKU yang ditandatangani penyanyi tersohor itu antara koleksi istimewa Syed Yusof.

Syed Yusof sifatkan Raja Pop antarabangsa itu berhati mulia dan menghargai peminat

KEHILANGANNYA tentu sekali amat dirasa. Bukan sedikit peminat yang membesar bersama lagu-lagunya. Jika tidak, masakan albumnya seperti Off the Wall (1979), Thriller (1982), Bad (1987), Dangerous (1991) and HIStory (1995) meletakkan penyanyi tersohor ini sebagai penyanyi dan penghibur terlaris jualan albumnya di dunia?

Namun, Michael Jackson atau MJ sudah tersurat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada jutaan peminatnya pada usia seawal 50 tahun. Dia menghembuskan nafas di sebuah pusat rawatan di Los Angeles, 25 Jun lalu (Khamis), akibat sakit jantung. Bagaimanapun, punca sebenar kematiannya masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa di sana.

Pemergiannya itu bukan saja ditangisi peminat di seluruh dunia, malah Pengarah Hotel Concorde Kuala Lumpur, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir yang pernah membawakan konsert penyanyi Beat It ke Kuala Lumpur 13 tahun lalu itu turut berkongsi kesedihan atas kehilangan pemuzik era baru paling berpengaruh di dunia.

Berkongsi cerita di bilik hotel yang pernah diduduki Michael selama empat malam ketika mengadakan dua konsertnya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 dan 29 Oktober 1996, Syed Yusof memberitahu, beliau sempat bertemu penyanyi itu sebanyak tiga kali pada 1995 sebelum berjaya ‘memujuknya’ menghiburkan peminat di Malaysia pula pada tahun berikutnya.

Menurut ahli perniagaan terkenal itu, Michael sendiri mengundang dirinya dan seorang rakan kongsi berkunjung kediamannya di Neverland, California. Bintang pop itu juga yang membawa mereka bersiar-siar di taman tema seluas hampir 3,000 ekar. Malahan di ladang itu beliau bertemu dengan bekas isteri Michael, Lisa Marie.



Selepas dua lagi pertemuan, iaitu di New York dan Chicago, Syed Yusof yang lebih dikenali sebagai Jojo di kalangan rakannya berjaya membawa bintang hebat berkenaan ke Kuala Lumpur.

"Dia mengembara bersama kapal terbangnya sendiri yang mempunyai empat pramugari dengan seragam rekaan pereka terkemuka. Sebuah lagi kapal terbang membawa kru produksi persembahan. Saya sendiri terbang bersamanya dari Singapura ke Kuala Lumpur. Tiba saja di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, kami mendapati ribuan peminat sudah pun menunggu di situ," katanya.

Bagi ahli perniagaan ini, setelah beberapa ketika sempat menghabiskan masa bersama penyanyi terbabit, termasuk sewaktu kehadirannya di Kuala Lumpur, dia percaya Michael seorang yang berhati mulia, penyayang, mengambil berat hal peminat dan bertanggungjawab terhadap kanak-kanak.

"Justeru, saya tidak percaya apabila membawa segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya," katanya sambil mendedahkan betapa penyanyi itu mengalami kesukaran untuk melelapkan mata ketika berada di ibu kota, sehingga terpaksa diberikan bantuan oleh doktor.

Katanya, dia amat kasihan pada bintang mega terbabit dek segala cerita negatif yang dikaitkan dengannya.

"Saya rasa, apa saja cerita buruk yang kamu dengar mengenai Michael tidaklah benar. Dia seorang yang sangat baik hati, berlemah-lembut dan tidak lokek untuk menderma," tegasnya.

Michael mengagumi Muhammad Ali

SYED Yusof turut berkata, Michael bukanlah seorang yang sukar, malah dia menunjukkan sikap begitu mesra sepanjang perkenalan mereka.

Walaupun perhubungan mereka tidak lagi serapat ketika kedua-duanya berusaha menjayakan konsert terbabit di sini, namun Syed Yusof tetap berhubungan dengan abang Michael, Jermaine, sehingga ke hari ini.

Malahan, bulan lalu, dia dan Jermaine bercakap di telefon. Ketika itu, dia sempat bertanya mengenai adik lelakinya dan kata Jermaine, Michael berada dalam keadaan baik.

Kerana itu, Syed Yusof amat terkejut apabila dimaklumkan dengan berita kematian penyanyi terbabit.

"Saya sepatutnya menghadiri konsertnya di London bulan depan. Sayangnya, ia tidak menjadi kenyataan. Begitu juga saya dijadualkan terbang ke California pada bulan lalu, untuk menghadiri majlis lelongan lebih 2,000 barangan milik Michael di Hotel Beverly Hills. Malangnya, jualan itu juga dibatalkan," kata Syed Yusof yang mempunyai beberapa barangan peribadi penyanyi terbabit dalam koleksinya.

Diminta mengulas desas-desus mengatakan penyanyi itu sudah pun memeluk Islam, ahli perniagaan itu berkata, dia tidak begitu maklum mengenai perkara itu. Dalam percakapannya dengan Jermaine sekali pun, mereka tidak memperkatakan mengenai topik berkenaan.

"Begitupun, Michael amat mengagumi Muhammad Ali (jaguh tinju Amerika yang memeluk Islam). Banyak perkara yang ingin diketahuinya mengenai jaguh sukan itu.

"Biarpun saya tidak pasti mengenai desas-desus kemasukannya ke dalam agama Islam, yang pasti abangnya memang seorang Muslim. Michael sendiri pernah beberapa tahun berada di Bahrain," kata Syed Yusof.

Ditanya apakah Michael pernah berkunjung semula ke ibu kota selepas mengadakan konsertnya pada 1996, pemilik Jojo Entertainment itu berkata, sepanjang pengetahuannya, kehadiran ketika menjayakan konsert itu menjadi satu-satunya lawatan Michael ke Malaysia.

"Saya tahu dia teringin untuk kembali menemui peminatnya di sebelah sini. Dia rajin bertanya mengenai mereka kepada saya. Bagaimanapun, peluang itu tidak dapat dikecapinya. Jermaine pula sebenarnya beberapa kali terbang ke mari," ujar Syed Yusof yang dikatakan membelanjakan lebih RM50 juta untuk membawakan persembahan Michael ke ibu kota.

INFO:

  • PADA malam kedua persembahan, Syed Yusof terpaksa 'menipu' Michael dengan memberitahu, ibunya berada dalam perjalanan, apabila penyanyi itu kelihatan resah dan asyik bertanya mengenai ibunya sebelum persembahan bermula.

  • PENGANJUR persembahan itu juga meminta Michael tidak melakukan aksi menggenggam celah kelangkang sewaktu mengadakan persembahan di sini. Biarpun bimbang jika permintaan itu mengguris hati Michael, namun ia terpaksa dilakukan bagi mengelakkan berlakunya insiden yang menyinggung sensitiviti masyarakat Malaysia. Apatah lagi konsert itu dihadiri tetamu diraja. Syed Yusof amat lega apabila bintang legenda itu 'menurut' kata-katanya.

  • MENURUT Syed Yusof, Michael rajin berdiri di tepi tingkap biliknya di tingkat 18 Hotel Concorde, untuk melambai kepada peminat yang tidak jemu-jemu menunggu di bawah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: