Tuesday, June 30, 2009

Kasih lama akhirnya bersatu...Dang Suria


Raut halus daun nipah
Buat bakul simpan kekabu
Walau bertahun jiwa terpisah
Kerana cinta kami bersatu

HANYA dengan sekali lafaz, pengacara rancangan Awani Pagi dan bekas pembaca berita TV3, Dang Suria Zainordin, 37, atau Dang Suria sah menjadi isteri kepada penulis lirik prolifik Ahmad Shah Adrian Samad, 40, atau Ad Samad pada majlis pernikahan di rumah kakak pengantin perempuan di Kota Damansara pada Sabtu lalu.

Tepat jam 9 malam, pasangan ini selamat dinikahkan Pengawai Penolong Pendaftar Nikah, Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Kota Damansara, Petaling Jaya, Mohd Arip Johdi.

Pada majlis itu, Ad Samad turut menyerahkan mas kahwin kepada Dang Suria berupa satu dinar emas berserta hantaran lima dulang berbalas tujuh termasuk cincin perkahwinan disarungkan pasangan ini sewaktu majlis membatalkan air sembahyang.

Mempelai kelihatan manis dalam persalinan yang direka khas Putera dari Butik Cosry dan sebaik pernikahan selesai, diteruskan dengan majlis resepsi.

Majlis berlangsung dalam suasana ringkas, tetapi cukup meriah dengan dihadiri keluarga rapat dan sahabat handai.

Turut hadir Baharudin Omar atau lebih dikenali Anjang Aki yang bertindak sebagai wakil tuan rumah bagi memastikan majlis dapat dijalankan dengan lancar dengan disaksikan Datuk Aziz Sattar dan Datuk Ismail Hudson.

Kelihatan juga rakan artis seperti M Nasir dan Marlia Musa, Mawi dan Ekin, komposer Aidit Alfian, Pacai, penulis lirik, Habsah Hassan, pengarah juga pelakon, Afdlin Shauki dan pengacara 999, Zakiah Anas.

Sewaktu ditemui sebaik majlis selesai, Dang Suria mahupun Ad Samad meluahkan rasa syukur kerana pernikahan dapat dilaksanakan seperti dirancang.

Kata Dang Suria, tiada apa yang lebih membahagiakan dirinya selain bergelar isteri kepada Ad Samad yang dikenalinya dengan lebih rapat sejak tujuh bulan lalu.



"Kami sebenarnya sudah mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan pernah menjalin cinta.



"Bagaimanapun, ia terputus selepas Ad Samad berpindah dan kami bertemu kembali Januari lalu. Sejak itu, cinta yang terputus kembali terjalin," katanya.

Bagaimanapun, pengalaman bernikah bukan kali pertama buat pasangan ini, malah mereka mempunyai cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.

Sudah tentu pernikahan yang dilangsungkan bukan saja menyatukan dua hati, tetapi juga dua keluarga.

Kini, tanggungjawab Dang Suria bukan saja menjadi ibu kepada anak tunggal perempuannya, Sara Kadeja, tetapi juga dua anak lelaki Ad Samad, Umar dan Hamzah.

Kata Dang Suria, dia sudah bertemu dengan kedua-dua anak lelaki Ad Samad beberapa kali sebelum mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Dalam hal ini, saya cuba mendidik anak-anak dengan cara positif. Dulu saya ada seorang anak perempuan, tetapi sekarang mempunyai dua cahaya mata lelaki.

"Sebelum berkahwin lagi, saya sudah jelaskan kepada Ad Samad bahawa saya bukan mahu menggantikan tempat ibu mereka, sebaliknya saya lebih senang mengambil pendekatan anak-anak adalah sahabat paling baik kepada ibu bapa mereka. Begitu jugalah cara saya mendidik Sara.

"Perkara ini sering saya katakan setiap kali bersiaran di rancangan Awani Pagi bahawa anak adalah khazanah paling berharga untuk mencerna masa depan dunia.

"Jadi apa yang berlaku pada masa hadapan adalah bergantung kepada bagaimana kita mendidik mereka.

"Begitupun, saya sedar tanggungjawab yang harus saya pikul ini tidak mudah dan keserasian tidak akan diperoleh dalam sekelip mata. Namun sebagai ibu kepada anak-anak kami, saya cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Mengenai perancangan selepas majlis pernikahan, kata Dang Suria, mereka tidak merancang untuk berbulan madu dalam waktu terdekat memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya.

"Pada saya, dapat menggenggam erat tangan Ad Samad dan diijabkabulkan sebagai suami isteri sudah dianggap hadiah berharga dan bulan madu paling indah buat saya," katanya.

Pasangan ini juga tidak terfikir untuk membesarkan keluarga dengan memiliki cahaya mata sendiri dalam waktu terdekat ini, sebaliknya menerima apa saja yang datang sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga.

Sementara itu, Ad Samad menjelaskan pertemuan semula selepas bertahun terpisah, membuatkan dia yakin bahawa Suria adalah wanita yang sudah ditentukan Tuhan untuknya dijadikan suri hidup.

"Ada yang berpendapat kami terlalu cepat mengambil keputusan ini (bernikah). Tambahan pula kami mula berkenalan sejak Januari lalu, tetapi pada saya itulah yang dikatakan jodoh.

"Hendak diikutkan, kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak zaman remaja lagi, tetapi pertemuan semula ini boleh dianggap tempoh terbaik untuk menyelami hati masing-masing lebih mendalam sebelum kami bersetuju untuk bernikah," katanya.

Ad Samad juga mengharapkan semua orang mendoakan rumah tangga dibina kali kedua ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: