Monday, June 29, 2009

Puisi Cinta Cat-Shaharuddin


HUJAN renyai di tengah hari menyaksikan cinta pelakon kacukan Melayu-Inggeris, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross atau Catriona, 29, bersama pengarah program hiburan Astro, Shaharuddin Mokhtaruddin, 30, disatukan selepas pertemuan singkat di Studio Balai Berita The New Straits Times Press (NSTP), Jalan Riong pada Disember, dua tahun lalu.

Secara peribadi, Catriona menganggap kehadiran jejaka pendiam itu sebagai satu babak dalam cerita dongeng terutama selepas menghadapi dugaan paling besar dalam hidupnya apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya pada April 2007.

"Detik pertemuan dengan Shaharuddin dapat diibaratkan sebagai cerita dongeng. Sebenarnya, kami bertemu empat tahun lalu, ketika kali terakhir mengacarakan rancangan Wayang Kita, manakala Saharuddin baru minggu pertama bekerja.

"Empat tahun kemudian, baru kami bertemu kembali di Studio Balai Berita. Ketika itu, saya belum pulih sepenuhnya kerana masih menggunakan tongkat.

"Saya menyapanya kerana masih cam rupanya selepas kali pertama kami berjumpa dulu. Sejak itu, bermulalah perkenalan yang membuatkan saya amat selesa dan dapat berasakan kami mempunyai tarikan antara satu sama lain.

"Dua hari kemudian, Shaharuddin menghantar salam perkenalan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan kami berkawan hinggalah membawa ikatan pertunangan pada 4 Oktober lalu," katanya.

Selepas mengikat tali pertunangan selama lapan bulan, Catriona akhirnya sah menjadi isteri kepada Shaharuddin dengan sekali lafaz di kediaman pengantin perempuan di Jalan Guchil, Demit, Kota Bharu, Kelantan dan disempurnakan Imam Masjid Paya Rambai, Ustaz Mohd Alwi Mohd Zain tepat jam 9 malam pada 26 Jun.

Majlis akad nikah turut disaksikan hampir 100 hadirin termasuk ibu dan bapa Catriona, Siti Zawiyah Abdul Rahman, 59, dan Bahrin Ross Abdullah, 57; ibu Shaharuddin, Azizam Ahmad, 52, serta ahli keluarga dan sanak-saudara kedua-dua pengantin.

Pada majlis itu, Catriona menerima wang hantaran RM22,000 daripada pihak lelaki termasuk sembilan dulang hantaran dan dibalas dengan sebelas dulang.

Pasangan terbabit memilih tema klasik Inggeris dan tradisional sebagai memenuhi latar belakang belakang ibunya, anak jati Kelantan manakala bapanya dari Scotland.



Kedua-dua mempelai kelihatan anggun mengenakan busana putih dan majlis lebih romantik lagi apabila Catriona mengambil peluang itu untuk meluahkan rasa cintanya kepada suami menerusi sebuah puisi ditulis sendiri kira-kira sebulan sebelum menguruskan tempahan kad jemputan perkahwinannya.



Catriona mengakui dia begitu bertuah dipertemukan jodoh dengan Shaharuddin terutama apabila suaminya itu menjadi pendorong utama untuknya bangkit kembali daripada peristiwa hitam yang hampir meragut nyawa.

Menurutnya, kesanggupan Shaharuddin yang sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu membuatkannya terharu apabila dapat melihat keikhlasan suaminya terhadap hubungan cinta mereka.

"Saya masih dalam proses untuk sembuh ketika itu dan dia sering menjadi pendorong. Keikhlasannya memang dapat dilihat tambahan pula sifatnya yang romantik membuatkan saya semakin tertarik.

"Sebenarnya, saya hanya mengikut kata hati, namun tidak sangka jodoh tiba secepat ini kerana berhasrat untuk menamatkan zaman solo ketika usia mencecah 30 tahun.

"Memang perkenalan kami agak singkat sebelum melangkah ke alam perkahwinan berbanding pasangan lain, namun kami sudah menyedari terdapat tarikan sepanjang berkawan dan saya yakin tidak menunggu lebih lama lagi.

"Kami mempunyai sikap yang berlawanan dan mungkin itu yang membuatkan mudah untuk bersama. Suami bersikap pendiam dan saya pula sebaliknya.

"Menurut suami, saya bersikap lebih tenang berbeza pula dengan dia yang mudah cepat marah.

"Dia seorang yang romantik, pandai mengambil hati dan saya senang berada di sampingnya. Secara kebetulan, kami berdua adalah anak sulung dan itu membuatkan saya lebih yakin dengannya kerana biasanya anak sulung lebih bertanggungjawab," katanya.

Mengenai perancangan selepas ini, Catriona berkata, walaupun suaminya tidak menghalang untuk meneruskan aktiviti hiburan, namun dia bercadang untuk memperlahankan karier seni bagi menggalas tanggungjawab seorang isteri.

Katanya, dia bersyukur kerana mempunyai suami yang amat memahami memandangkan kedua-dua mereka mempunyai kerjaya dalam bidang sama.

"Dia tidak mengenakan sebarang syarat, tetapi saya bercadang mengurangkan aktiviti hiburan demi tanggungjawab seorang isteri.

"Mengenai bulan madu pula, kami bercadang untuk ke Itali, tetapi bukan dalam tempoh terdekat kerana wabak influenza (H1N1). Buat permulaan kami akan berehat di Pulau Pangkor (Perak) dan Puncak Gunung Jerai, Kedah," katanya.

Ketika ditanya mengenai cahaya mata, Catriona berkata, segalanya terpulang kepada rezeki.

"Suami pernah memberitahu dia ingin mempunyai tiga orang anak dan saya pula inginkan empat anak. Saya pula tidak kisah sama ada cepat atau lambat kerana semuanya ditentukan Tuhan," katanya.

Sementara itu, majlis bersanding di sebelah pihak lelaki akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 Julai dengan tema English Lavender pada 11 Julai.

Ia disusuli dengan majlis resepsi di Bora Ombak, Ampang bertemakan serba putih.

Majlis berkenaan khusus untuk rakan artis dan kenalan yang tidak dapat hadir pada majlis yang berlangsung di Kelantan dan Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: