Sunday, June 28, 2009

Penyambung legasi kacukan...Diana, Aishah dan Intan




"Fotografi untuk raya ke?" begitu ramai yang menyapa kala melihat Diana Danielle Danny Beeson, Aishah Jennifer Mohamed Sinclair dan Intan Nurladyana Mohamat Yahaya menggayakan kebaya songket pada tengah hari itu.

Mereka tampak ayu dan menjaga santun. Sesuai dengan busana yang digayakan.

Perlukah menanti hari raya untuk menggayakan busana tradisional itu? Menjawab soalan-soalan tersebut, SensasiBintang sengaja menggayakan tiga anak kacukan ini dalam busana tradisional untuk menimbulkan kontra antara genetik dengan budaya mereka. Itu signifikannya.

Ya, Diana, 18, Intan, 27, dan Aishah, 28 merupakan tiga selebriti berdarah kacukan yang membina nama mereka dalam pentas hiburan tempatan.

Diana ialah anak kacukan Malaysia-Amerika. Intan pula Malaysia-Thailand sementara Aishah berketurunan Malaysia-England.

Mereka bertiga berkongsi cerita tentang 'kemelayuan' yang mengalir dalam diri serta kebarangkalian menyambung legasi keluarga dengan berkahwin dengan bangsa asing.

Tolak lelaki kacukan

Baru selesai menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), diari Diana terus sibuk. Hanya berehat sehari, gadis ceria ini memberitahu, agenda kerjayanya kini kembali padat dengan lakonan serta kesibukan mencari lagu untuk single pertamanya.




Dalam masa yang sama dia menghitung detik untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham di Semenyih, Selangor dalam bidang Biosains yang sesi kelasnya akan bermula pada 9 Julai depan.

Ditanya tentang kehidupannya sebagai anak kacukan, kata Diana, kerugian besar buat dirinya adalah kerana tidak mampu bertutur dalam bahasa Perancis. Sedangkan, cerita gadis manis ini, sewaktu kecil dia pernah mengenal bahasa itu kerana nenek sebelah bapanya mempunyai darah Perancis.

Namun kerana tidak dipraktik, akhirnya dia hanya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dan Melayu. "Kalau boleh, lepas ini saya nak masuk kelas bahasa Perancis. Kalau ada peluang menyelami budaya lain selain Melayu, Perancis adalah jawapannya," kata Diana lagi.

Mengakui budaya Melayu begitu sebati dengan dirinya, dia yang kali terakhir pergi ke kampung bapanya di Houston, Texas, Amerika Syarikat pada waktu kecil memberitahu, 70 peratus dirinya adalah Melayu.

Dia diajar dan dibesarkan dalam adab Melayu malah tidak pernah terfikir untuk berkahwin dengan lelaki asing.

"Mungkin sejak sekolah lagi saya sering bergaul dengan bangsa asing dan selalu digoda lelaki Inggeris, saya jadi bosan.

"Cari orang Melayu sejati sudahlah. Asalkan lelaki yang bakal saya kahwin kelak baik orangnya."


DEPAN kiri: Diana, Aishah dan Intan (di belakang) mengaku menjadi anak kacukan ada keistimewaan, tetapi sebagai individu biasa seseorang itu harus berusaha untuk berjaya.





Tidak pernah berasa terpinggir dalam industri hiburan dan sering mendapat watak yang bersesuaian dengannya, akui Diana, tidak sukar untuk anak kacukan mendapat tempat.

Bukan sekadar bersandarkan kecantikan atau cerdik, tetapi ia bergantung kepada kredibiliti seseorang itu menjalankan tanggung jawabnya dengan baik.

"Yang penting kita kena berusaha keras untuk jadi lebih baik," ujar pelakon telemovie Empat Madu dan filem Setem yang bakal ditayangkan pada 31 Julai depan ini.

Mahu jadi wanita Melayu tulen

Raut wajah keanak-anakan dan persis gadis Cina selalu membuat ramai orang tidak menyangka bahawa dalam tubuh Intan mengalir darah Malaysia-Thailand. Ibunya, Wan Zurina Wan Isa, 53, berasal dari Damak, Thailand.

"Memang ramai yang sangka saya wanita Cina. Kelebihan ini membolehkan saya mendapat banyak tawaran iklan komersial yang biasanya dijayakan gadis Cina.

"Cuma sehingga kini, kerana raut wajah ini saya belum dapat menjayakan watak wanita Melayu tulen atau gadis kampung," beritahu Intan yang kini sibuk dengan telemovie Bisikan Syaitan.

Jika boleh, kata Intan, dia mahu sangat menjadi gadis desa atau perempuan Melayu tulen. Peluang itu, katanya, barangkali mampu mencabar kredibilitinya sebagai pelakon yang kini banyak menerima tawaran sebagai remaja urban.

Dalam kehidupan, Intan mengakui dia tidak pernah berasa dirinya istimewa kerana berdarah kacukan. Kacukan tiada kasta, tetapi yang penting bagaimana individu itu membawa diri.

Berasa begitu rugi kerana tidak mampu bertutur dalam bahasa Thailand, dia yang kerap pulang ke kampung ibunya untuk bertemu saudara-mara sering kali menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi.

"Sudah macam ayam dengan itik. Sebab itu saya rasa rugi sangat tak boleh bertutur dalam bahasa Thailand," katanya sambil ketawa.

Diberi pilihan untuk memilih budaya lain yang ingin diselaminya, gadis yang gemar memakan makanan Jepun ini memilih Itali.

Jelasnya: "Selain budaya, saya suka arkitektur dan bahasa Itali yang unik."

Rasa terpinggir semasa kecil

Aishah Sinclair pula punya ceritera tersendiri tentang dirinya sebagai seorang anak kacukan. Dia bencikan persekolahan rendah.

Ujarnya, sewaktu itu dia mendapat sekatan mental akibat gagal berbahasa Melayu dengan baik. Dia dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur dari London pada usianya lima tahun.

Oleh kerana Aishah gagal berbahasa Melayu, ia membuatkan segala arahan dalam kertas periksa gagal difahamnya.

"Cuma dalam darjah tiga baru saya boleh masuk dengan suasana sekolah. Pengalaman itu membuatkan saya benci sekolah rendah. Saya cuma suka sekolah pada darjah lima.

"Masa itu saya berjumpa kawan-kawan baik di sekolah," ujarnya yang sering dianggap sombong di sekolah hanya kerana dia seorang yang pemalu.

Aishah juga letih diajukan watak yang sama dalam lakonan. Tidak habis-habis watak yang digambarkan buat dirinya ialah anak mat saleh yang gedik.

"Balik-balik watak itu. Bukan semua anak mat saleh gedik. Saya jadi bosan. Cukuplah beberapa kali saya melakonkan watak tersebut.

"Saya sudah tidak mahu stereotaip," ujar Aishah yang pernah melakonkan watak berlainan dalam telemovie bertajuk Hilang.

Akui Aishah, berwajah kacukan ada kelebihannya. Jika mahu berada di tahap serantau, itu mungkin satu pintu yang lebih luas dan senang buat mereka berbanding wajah Melayu tulen.

Tetapi jika berbalik kepada bakat, semuanya ada peluang yang sama.

Apabila ditanya peratusan kemelayuan dalam dirinya, ujar Aishah sambil tersenyum: "Tujuh puluh peratus. Keluarga saya mungkin tidak kuat mengikut adat tetapi suruhan Islam memang menjadi pegangan ayah saya.

"Ibu, Khadijah Abdul Rahman berjaya mendidik ayah saya, Mohamed A. J. Sinclair tentang Islam dan kami cenderung tidak terikut budaya Barat."

Ujar isteri Sheikh Abdul Shahnaz ini, dia memang bercita rasa Melayu. Daripada soal makanan hinggalah soal lelaki. "Bab makan, kalau tiada sambal belacan macam tidak sah. Dan dalam soal lelaki, dari sekolah lagi saya memang cenderung sukakan lelaki Melayu."

Apa yang pasti kelak akan wujud kepelbagaian dalam keluarga Mohamad Sinclair. Melihatkan Aishah yang berkahwin dengan keluarga Sheikh dan abangnya, Ashraf Sinclair memilih wanita Indonesia, ibunya tidak sabar melihat wajah cucu-cucu yang bakal memeriahkan keluarga mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: