Siti Nurhaliza |
Konsert Eksklusif Satu himpunkan suka duka perjalanan seni penyanyi nombor satu negara
UMPAMA menyelak helaian catatan kehidupan yang selama ini menjadi teka teki dan penuh rahsia, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza seperti membuka sedikit ruang apabila berkongsi lakaran pahit manis, senyum dan tangisnya sepanjang 14 tahun bergelar anak seni.
Konsert Eksklusif Satu yang dipentaskan selama tiga hari bermula Jumaat lalu merangkumkan segala perjalanan yang ditempuhinya.
Dalam senyuman ada tangisan dan ketika kebahagiaan menghuni sudut hatinya, Tuhan menghadirkan dugaan untuk menguji sejauh mana dia mampu bertahan serta bersabar menempuhinya.
Lantas sepanjang dua jam persembahan, naluri khalayak disentuh dengan rangkaian lagu yang menggambarkan perjalanan karier nyanyian anak kelahiran Kampung Awah, Temerloh, Pahang yang bermula sejak 1995.
Perjalanan emosi seorang insan seni bernama Siti Nurhaliza diterjemahkan menerusi lebih 30 lagu yang dinyanyikannya kerana setiap satu mempunyai jalinan maksud dan makna tersendiri buat si penyanyi.
Barangkali kerana itu juga, perjalanan Konsert Eksklusif Satu mengambil sedikit masa untuk menyentuh hati penonton sebelum lonjakan momentum sebenar persembahan dirasai khalayak.
Akur mempunyai beberapa kelemahan pada persembahan pembukaan, Siti yang ditemui selepas konsert berakhir, bagaimanapun berpuas hati kerana kerja keras dan kesungguhan mereka lebih sebulan direalisasikan dengan pementasan itu.
Akui Siti, tiga hari sebelum konsert dipentaskan, dia bersama tenaga produksi masih bertungkus lumus mencari idea untuk memperbaiki mutu persembahan.
“Siti akur konsert ini masih mempunyai kekurangan. Barangkali kerana ia malam pementasan pertama namun kelemahan itu akan diperbaiki untuk persembahan seterusnya. Ada beberapa perkara yang akan Siti perbaiki terutama dari segi pergerakan selain membiasakan diri dengan pentas kerana Siti akui, agak sukar untuk beraksi kerana belum cukup serasi dengan suasana pentas.
IBU Siti (dua dari kiri) hadir memberikan sokongan. |
“Begitu juga pilihan pakaian, Siti akan menilai semula supaya persembahan seterusnya lebih lancar dan memberi kepuasan kepada semua yang datang,” kata Siti.
Konsert Eksklusif Satu dizahirkan daripada cetusan idea gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menerusi konsert itu, Siti membawa peminat meneroka pengalaman, arus kejayaan, kerja kerasnya menongkah tohmahan untuk mencipta kejayaan sama ada yang terlihat serta tersembunyi di mata masyarakat.
Konsert Eksklusif Satu juga memberi pengertian mendalam buat penyanyi berusia 30 tahun itu kerana buat pertama kali dia beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya mengalunkan kesemua lagu dipetik daripada album yang pernah dihasilkannya.
Konsert itu turut merangkumkan melodi, tarian, grafik dan emosi diterjemahkan menerusi pilihan lagu yang menggambarkan citra kehidupannya untuk dikongsi bersama peminat.
“Setiap lagu bercerita mengenai perjalanan seni dan kehidupan Siti bermula dari awal pembabitan hingga kini. Memang Siti membina perjalanan konsert ini perlahan-lahan seterusnya menggerakkan mood serta emosi penonton.
“Pada satu tahap, penyampaian Siti lebih tegas dan keras kerana ia menggambarkan godaan serta kekuatan Siti menempuh dugaan sepanjang meniti kehidupan,” katanya.
Tidak seperti kebiasaan persembahan, Siti pada malam itu membataskan perbualannya dengan khalayak sebaliknya membiarkan lagu nyanyiannya bercerita segala rasa - bahagia, ceria, duka serta kesakitan yang ditempuhinya.
Dan pada satu ketika, tubuh kecil penyanyi itu bergetar menahan sebak mengenang pengorbanan besar seorang insan bergelar bapa yang tidak lagi bersamanya kerana pergi menyahut panggilan Ilahi.
Bapanya, Tarudin Ismail menghembuskan nafas terakhirnya pada 16 Februari lalu di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur kerana sakit jantung.
“Sepanjang 14 tahun, separuh daripada kehidupan Siti sudah dikongsi bersama umum. Di mata khalayak, Siti mungkin sentiasa dilihat tersenyum gembira namun ada ketika Siti terpaksa memendam apa yang dirasa. Cabaran dan dugaan akan sentiasa ada namun kerana keikhlasan dan keredaan Ilahi, Siti jalani hidup ini dengan tenang.
“Siti ingin sekali berterima kasih kepada mak, Siti Salmah Bachik dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang membantu memberi kekuatan untuk Siti menempuh semua ini,” katanya.
Siti membuka tirai persembahan dengan lagu Hati, disusuli Seindah Biasa dan Sutramaya sebelum membawakan medley lagu balada yang menjulang namanya seperti Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu, Kau Kekasihku, Percayalah dan Bukan Cinta Biasa.
Melengkapi persembahannya, Siti turut mengalunkan lagu irama Melayu tradisional dan kontemporari yang menjadi latar kepada perkembangan karier nyanyiannya.
Berterima kasih kepada komposer yang digelarnya, Bapa Irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, Siti memilih medley Cindai, Balqis dan Nirmala serta dua lagu dipetik daripada album terbarunya, Lantera Timur iaitu Cinta Ini dan Bulan Yang Mesra.
Beralih kepada persembahan lebih bertenaga, Siti yang kembali dengan persalinan hitam putih rekaan Michael Ong menghangatkan pentas bersama lagu rancak, Pendirianku, Pada Cintanya dan Ku Mahu.
Turut dipersembahkan rangkaian lagu perlahan, Tanpa Dendam Di Hati, Dialah Di Hati, Wanita, Bila Harus Memilih, Cuba Untuk Mengerti dan Biarlah Rahsia yang menceritakan detik indah ketika dia dilamun cinta sebelum menemui destinasi cintanya di hati Khalid.
Harus diakui kekuatan konsert ini terletak kepada lontaran vokal Siti yang mengalir penuh tenaga kerana pilihan lagu yang terlalu terikat dengan konsep teaterikal membataskan perbualan serta pergerakan penyanyi itu di pentas.
Paparan grafik yang variasi biarpun tidak sepenuhnya membantu berjaya memberikan visual mengesankan pada persembahan Siti.
Bagaimanapun, koreografi tarian yang klise menjejaskan sedikit momentum perjalanan konsert yang bermula agak perlahan lantaran pilihan susunan lagu mengikut konsep.
Datuk K turut kagumi Siti
KHALID atau sinonim dengan panggilan Datuk K ketika ditanya mengenai konsert itu berkata, dia kagum dengan kekuatan stamina isterinya yang mampu beraksi hebat serta melontarkan suaranya pada lagu mencabar sepanjang dua jam persembahan.
Kongsinya, beliau bersyukur kerana kerja keras Siti membuat persiapan termasuk menjayakan sesi latihan serta senaman selama tiga bulan di gimnasium berjaya melahirkan sebuah persembahan yang membanggakan.
Kekagumannya terhadap komitmen Siti dalam menjayakan konsert itu jelas terpancar apabila dia setia bersama isterinya sepanjang latihan penuh sehari sebelum pementasan sebenar bermula.
“Bayangkan untuk latihan penuh malam tadi, Siti menyanyi lebih lima jam dan alhamdulillah, dia mampu menyanyi dengan baik pada malam ini. Saya meminati lagu Siti terutama Cahaya Cinta, Jerat Percintaan dan Biarlah Rahsia. Paling menghiburkan ketika segmen lagu rancak.
“Di situ kita dapat melihat kelainan serta sisi berbeza Siti malah menampakkan dia serasi dengan penyampaian lagu rancak seperti itu,” katanya.
Bagaimanapun, kata Khalid, masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi terutama membabitkan plot perjalanan konsert yang perlahan dan tidak berkaitan.
“Begitu juga dengan pilihan pakaian yang kurang bersesuaian namun selebihnya saya 90 peratus berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan Siti,” katanya.
Konsert pertama yang turut meraikan pelanggan Maxis menerusi Malam Gala Maxis juga mengumpul kutipan mencecah RM120,000. Hasil kutipan diserahkan Ketua Pegawai Kewangan Maxis, Rossana Rashid kepada Siti untuk menjalankan aktiviti amal Yayasan Nurjiwa, sebuah pertubuhan amal yang ditubuhkan penyanyi itu dan suaminya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: