Tuesday, June 30, 2009

Tumpahnya air mata Nikki


MANJA... Nikki mengucup pipi suaminya selepas majlis perkahwinan mereka.


DIA bagaikan seorang puteri yang melangkah masuk dengan penuh keanggunan sewaktu menuju ke altar di dalam Gereja St. Francis Xavier, Petaling Jaya sambil diiringi bapanya, Nicholas Palikat.

Dengan tubuhnya disaluti gaun pengantin yang cukup ringkas namun indah rekaan pereka terkenal, Jovian Mandagie cukup menyerlahkan aura pengantinnya pada petang itu.

Sudah pasti, tarikh 27 Jun akan menjadi satu momen indah buat diri Nicolette Louisa Palikat atau lebih dikenali sebagai Nikki apabila dia sah menjadi isteri kepada komposer terkenal, Audi Mok.

Namun, sewaktu dia melafazkan ikrar perkahwinannya, tiba-tiba suaranya tersekat-sekat dan menahan sebaknya dalam perkahwinan yang disempurnakan Paderi Simon Yong itu.

Dia tidak mampu lagi untuk menahan air matanya daripada mengalir sehingga membuatkan tetamu yang hadir petang itu terdiam seketika.

Lantas apabila bertemu dengannya seusai majlis perkahwinannya, anak kelahiran Berrien Springs, Michigan, Amerika Syarikat itu menjelaskan dia begitu terharu dengan kata-kata indah yang tersurat sewaktu membaca ikrar perkahwinannya.

Ungkapan untuk berjanji menjaga antara satu sama lain dalam apa jua keadaan sekalipun dan setia untuk mencintai sehingga ke akhir hayat membuatkan hati wanita Nikki benar-benar tersentuh.

Ya, itulah yang akan dilakukannya demi kebahagiaan yang berpanjangan sepanjang hidupnya bersama suami tercinta.

"Saya tidak menyangka bahawa akhirnya saya sudah menjadi seorang isteri dan selepas ini tanggungjawab saya akan menjadi lebih besar.

"Malah, saya terharu dan cukup gembira apabila semua yang dirancang selama beberapa bulan yang lalu berjalan dengan lancar. Saya bimbang kalau ada yang tidak menjadi seperti mana dalam perancangan kami.

"Bukan itu sahaja, berkat sokongan dan bantuan daripada kedua-dua belah pihak banyak bantu melancarkan lagi perkahwinan kami," ujar Nikki yang berusia 24 tahun itu sambil memerhatikan Audi yang berada di sisinya.

Nikki dan Audi atau nama sebenarnya Audi Mok Chuang Yew sepakat untuk mendirikan rumah tangga apabila Audi melamarnya di Bangkok pada 1 November tahun lalu.

Perhubungan mereka seterusnya diperkuatkan lagi dengan ikatan pertunangan yang berlangsung pada 28 Disember di rumah keluarga Nikki di Kota Kinabalu, Sabah.

Ternyata, perkahwinan Nikki dan Audi berlangsung dalam keadaan serba sederhana namun cukup meriah dengan kehadiran kaum keluarga serta teman-teman rapat kedua-dua belah pengantin.

Namun begitu, penyanyi yang kini cukup popular dengan lagu Belasmu itu tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya apabila kek pengantin setinggi tiga tingkat tajaan Nurul&Ed musnah sewaktu dalam perjalanan ke gereja.

"Bukan saya sahaja kecewa, malah pembuat kek itu juga menangis melihat kek itu hancur dan tidak mampu diselamatkan untuk dijamu kepada tetamu.

"Tetapi, nasib baik mereka ada sediakan kek gantian. Meskipun tidak sama seperti kek asal, tetapi saya tidak kisah kerana asalkan semua orang gembira di hari perkahwinan saya.

"Tiada apa yang lebih penting buat saya apabila melihat kehadiran 17 orang ahli keluarga saya yang diterbangkan dari Sabah untuk memeriahkan lagi perkahwinan saya hari ini," ujar Nikki yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik 2006 ini lagi.

Berbanding Nikki, Audi yang merupakan komposer lagu Mahakarya Cinta dan Sampai Syurga nyanyian Faizal Tahir itu pula kelihatan tenang dan ceria seolah-olah hari itu bukan hari perkahwinannya.

"Saya gembira kerana semuanya selesai dan akan memulakan satu kehidupan baru selepas ini," ujar anak sulung daripada dua beradik itu ringkas yang segak mengenakan sut rekaan Lord's Tailor.

Menyambung bicara, Nikki penuh optimis mengatakan dia tidak pernah menyesal kahwin di usia muda.

"Saya akan meneruskan karier seni saya biarpun sudah menjadi seorang isteri. Saya tidak fikirkan tentang soal populariti kerana apa yang penting adalah minat dan kesungguhan saya dalam bidang ini," katanya yang merancang untuk tidak menimang cahaya mata dalam waktu terdekat ini.

Nikki dan Audi telah memilih Bali sebagai destinasi untuk meraikan bulan madu mereka.

Kemeriahan hari bahagia Nikki turut ditambah dengan kehadiran teman-teman artis antaranya Maya Karin dan Ning Baizura bersama suami masing-masing.

Tidak ketinggalan Ahmad Izham Omar serta rapper dan komposer yang pernah mencipta nama satu ketika dulu, Shazee Ishak yang hadir sebagai pengiring pengantin lelaki.

Lebih manis lagi, perkahwinan Nikki dan Audi diperindahkan dengan persembahan istimewa lagi bertenaga daripada Jaclyn Victor dan juara Akademi Fantasia musim pertama, Vince Chong menerusi lagu indah, The Prayer (nyanyian asal Celine Dion dan Andrea Bocelli).

Bagi kedua ibu bapa Nikki iaitu Nicholas dan Joanna Joannes, mereka bersyukur kerana Nikki bertemu jodoh dengan seorang yang cukup matang untuk membimbing anak kelima mereka daripada tujuh beradik itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: