DARI kiri; Tong, Mohd Ghazali, Koh dan Irving bersama karakter Optimus Prime dan Bumblebee daripada filem Transformers pada majlis perasmian pawagam GSC. |
Pemilik panggung tayang filem tempatan dan import secara adil
PENGEKALAN sesebuah filem di pawagam besar bukan ditentukan oleh pihak pempamer, sebaliknya oleh sambutan yang diberikan orang ramai terhadap judul yang ditayangkan.
itulah penjelasan diberikan Pengurus Besar Golden Screen Cinemas (GSC), Irving Chee.
Katanya, tidak kiralah filem itu dari Hollywood dan sebagainya, kalau terus mendapat sambutan hangat daripada penonton, maka tidak mustahil filem terbabit akan terus kekal di dewan tayangan yang besar.
"Bagaimanapun, tidak semua filem mampu mengekalkan rentak sambutan yang baik sepanjang tayangan. Mungkin pada minggu pertama, ia menggamit begitu ramai penonton.
“Tetapi, apabila masuk ke minggu kedua, selalunya sesebuah judul mula kehilangan penonton.
"Apabila sesebuah judul tidak lagi menerima jumlah penonton yang besar, dengan sendirinya pihak pempamer akan memindahkan tayangan ke dewan yang lebih kecil. Ia juga bagi memberikan laluan kepada judul yang baru masuk diputarkan di dewan berkenaan," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi Pawagam GSC Tropicana City Mall di Petaling Jaya, Selasa lalu.
Hadir sama pada majlis terbabit ialah Pengerusi GSC, Tan Sri Mohd Ghazali Seth; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koh Mei Lee; dan Pengarah Urusan Dijaya Corporation Berhad, Datuk Tong Kien Onn.
Penjelasan Irving itu dengan sendiri menafikan dakwaan sesetengah produser filem tempatan, kononnya pempamer sengaja memindahkan filem mereka ke dewan yang kecil pada ketika orang ramai masih memberikan sambutan baik kepada produk keluaran mereka.
"Tidak kiralah ia filem Barat mahupun tempatan, jika penonton terus memberikan sambutan hangat, kita terus menayangkannya di dewan tayangan besar. Begitu juga kita akan memanjangkan tayangan sesebuah judul yang masih menerima jumlah tontonan yang tinggi.
"Lihat saja pada filem Jangan Pandang Belakang Congkak yang ketika ini mendapat sokongan begitu ramai peminat. Ia terus ditayangkan oleh begitu banyak pawagam.
“Suatu ketika, filem Geng: Pengembaraan Bermula juga satu contoh yang baik, di mana pempamer terus menayangkan filem itu walaupun sesudah lapan minggu tayangan, apabila permintaan untuknya terus memberangsangkan," katanya.
Sentiasa bantu industri filem tempatan
JELASNYA berkali-kali, penentuan dewan yang bakal memutarkan sesebuah filem, begitu juga dengan tempoh tayangan, selalunya ditentukan oleh permintaan daripada penonton sendiri, bukan pihak pawagam.
"Pada masa yang sama, kami di GSC sentiasa berusaha membantu memperkembangkan lagi industri perfileman tempatan, tidak kiralah filem Melayu, Cina atau India. Setiap kali diadakan Festival Filem Malaysia, kami berbangga untuk turut mengambil bahagian dengan menayangkan filem bertanding untuk tontonan orang ramai.
"GSC juga tidak ketinggalan membantu pengusaha filem digital atau filem kecil, dengan menayangkannya di Skrin Antarabangsa yang disediakan di beberapa multipleks kami. Sejak beberapa tahun lalu, sudah banyak judul yang dihasilkan secara kecil-kecilan menemui penonton menerusi tayangan yang kami adakan di skrin ini," katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai pawagam baru di Tropicana City Mall, Irving berkata, GSC menyediakan lapan skrin di lokasi berkenaan, yang disokong kemudahan bagi penonton kurang upaya.
"Sebanyak 1,449 tempat duduk tersedia untuk penonton menikmati filem kesukaan mereka di pawagam ini dan dewan terbesar pula mampu menampung sehingga 372 penonton pada satu-satu masa," katanya yang percaya, pawagam di pusat beli-belah baru itu mampu menyokong pertambahan jumlah penonton di sekitar Petaling Jaya.
Dengan pembukaan pawagam yang dianggarkan berharga RM21 juta itu, rangkaian GSC kini mempunyai 172 skrin di 24 lokasi seluruh negara.
Sebelum pembukaan GSC Tropicana City Mall, rangkaian berkenaan terlebih dulu menambah tiga skrin di GSC Alamanda Putrajaya, yang menelan belanja sekitar RM1 juta.
Pada September, GSC akan menambah empat lagi skrin di pawagam milik mereka di IOI Mall, Puchong, diikuti pembukaan multipleks 9 skrin di East Coast Mall, Kuantan. Sebuah lagi multipleks bakal dibuka di Suria Kota Kinabalu, Sabah, pada tahun depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: