Sunday, June 28, 2009

Misteri ikan naga...ikan Arapaima Gigas




HULU TERENGGANU: Ikan naga? Tidak ramai mengenalinya, namun ia menjadi bualan sejak kematian pekerja projek Taman Burung dan anggota bomba, baru-baru ini.

“Apa yang digelar ikan naga di Tasik Kenyir sebenarnya ikan Arapaima Gigas. Mungkin orang menggelarnya ikan naga sebab saiznya besar dan kulitnya bersisik besar seperti naga.

“Namun, ikan itu tak makan orang dan saya yakin dua kes kematian yang berlaku baru-baru ini tak ada kena mengena dengan ikan itu.”

Demikian kata pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, Mohd Bidin Ibrahim, 45, mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa kematian pekerja projek Taman Burung, Helmi Shukri Hashim, 28, dan anggota bomba, Aladi Hassan, 41, berpunca daripada serangan ikan naga yang menghuni tasik itu.


Helmi mati lemas selepas didakwa terjatuh dari bot pada 14 Jun lalu ketika menghantar rakannya membuang air di sebuah pulau di tasik berkenaan.


Aladi yang melakukan misi mencari Helmi ditemui lemas sehari selepas kejadian di dasar tasik berkenaan dalam keadaan tersangkut pada ranting kayu balak.

Mohd Bidin dari Kampung Langgar, di sini, yang 20 tahun mencari rezeki di tasik seluas 2,600 kilometer persegi itu berkata, kewujudan ikan bersaiz gergasi di dalam Tasik Kenyir bukan perkara aneh kerana dia pernah melihat seekor ikan sepanjang kira-kira tiga meter.

“Saya pernah melalui pengalaman diekori seekor ikan gergasi yang saiznya sama besar dengan bot gentian kaca yang saya naik. Kejadian itu berlaku tahun lalu dan ia antara peristiwa yang tak akan saya lupakan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman berkenaan turut dialami beberapa rakan yang mencari rezeki di tasik dipenuhi pelbagai spesies ikan sungai seperti Toman, Kelah, Lampam, Sebarau, Baung dan Tapah itu.

“Walaupun ramai nelayan tasik pernah terserempak atau dikejar ikan gergasi itu, sehingga kini belum ada yang mati disebabkannya,” katanya.

Menjawab soalan bagaimana ikan Arapaima Gigas boleh turut menghuni Tasik Kenyir sedangkan hidupan itu sebelum ini dikatakan hanya mendiami Sungai Amazon di Brazil, Mohd Bidin mendakwa kejadian itu ada sejarahnya yang tersendiri.

Menurutnya, ikan Arapaima Gigas itu dipercayai terlepas dari kolam yang dibina di sebuah chalet berhampiran Tasik Kenyir.

“Ikan itu pada mulanya milik seorang lelaki Cina yang juga pengusaha chalet. Disebabkan ia cepat membesar, pengusaha terbabit melepaskan hidupan itu di dalam sangkar yang dibina berhampiran chalet di Sungai Petuang.

“Malangnya sebanyak empat ekor ikan itu terlepas keluar, tapi seekor mati. Saya difahamkan, ikan ini boleh membawa tuah, ia hanya memakan anak ikan dan tidak menyerang dan mengancam manusia,” katanya.

Mohd Bidin berkata, dalam kejadian terbaru 20 Jun lalu, seorang pekerja sebuah chalet di Sungai Tembat mendakwa ternampak kelibat ikan dipercayai Arapaima Gigas timbul di permukaan air.

Mengesahkan lagi kewujudan ikan Arapaima Gigas di dakam Tasik Kenyir, Mod Bidin membawa wartawan Metro Ahad berjumpa rakannya, Shamsuddin Abd Rahman, 45, yang dikatakan pernah menaikkan ikan gergasi berkenaan yang menyambar umpan pancingnya.

Shamsuddin dari Kampung Tajin, di sini, berkata kejadian berlaku sembilan tahun lalu ketika dia bekerja sebagai buruh projek Lebuhraya Simpang Pulai dan tidak menyangka memperoleh ikan berkenaan secara tidak sengaja.

“Beratnya ketika itu 35 kilogram, manakala panjangnya mencecah dua meter. Ketika itu saya tidak tahu jenis ikan berkenaan kerana tidak pernah melihatnya dan terkejut apabila rakan sekerja memberitahu ia ikan Naga.

“Ikan itu memang cantik dan bentuknya tidak sama dengan ikan lain. Badannya berwarna warni, kepalanya seakan-akan kepala itik manakala ekornya merah.

“Waktu itu saya tidak tahu ikan berkenaan harganya mahal dan menjual dagingnya yang agak liat kepada rakan pada harga antara RM10 hingga RM12 sekilogram, malah ramai bergambar dengannya ketika membawa pulang di Kuala Berang,” kata Shamsuddin.

Menurutnya, selepas berita penemuan ikan berkenaan tersebar luas, dia didatangi seorang lelaki dari Singapura dan menawarkannya RM10,000 untuk membeli ikan berkenaan.

“Saya tepuk dahi ketika itu kerana ikan berkenaan sudah mati dan dagingnya dijual kepada orang ramai. Saya juga tidak tergamak menjamahnya kerana bentuknya pelik seperti naga, sisiknya tebal dan hujungnya seperti muncung itik,” katanya.

Shamsuddin berkata, selepas kejayaannya, ramai kaki pancing mencuba nasib untuk memperoleh ikan itu, namun sehingga kini tiada siapa berjaya menaikkannya.

Dia berkata, jika sengaja mencari sama ada ingin melihat atau menangkap ikan berkenaan, ia sukar ditemui kerana ia sentiasa beralih sungai untuk mencari makanan.

Shamsuddin berkata, selain ikan Naga, keadaan tasiknya yang luas menyebabkan pelbagai hidupan air lain turut dikaitkan dengan misteri itu, antaranya dakwaan wujudnya ikan Tapah gergasi di tasik berkenaan.

Penemuan ikan Tapah gergasi diakui Rosli Sulong, 34, yang pernah bekerja sebagai pemandu rumah bot sejak awal pembukaan tasik itu.

Sama seperti pengalaman dilalui Mohd Bidin, bot dinaikinya diekori seekor Tapah sebesar bot gentian kaca dan ikan itu berpatah balik apabila enjin botnya dimatikan.

Katanya, kejadian berlaku di Sungai Lasir dan mendakwa ikan berkenaan ada di tepian sungai kerana mencari ikan bersaiz kecil dan anak monyet.

Dia berkata, selain mengalami peristiwa itu, beberapa rakannya turut menceritakan kejadian sama tetapi di sungai berlainan.

“Ikan ini tidak mengganggu manusia, ia mungkin tertarik dengan buih hasil putaran kipas bot dan mengekorinya. Namun saya percaya ikan ini memang besar kerana saya pernah melihat kelibatnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: