|
|
APABILA Michael Bay mahu mengarahkan filem Transformer (2007) hanya Steven Spielberg yakin akan impiannya. Tetapi Michael Bay membalas keyakinan itu dengan menjadikan Transformer sebuah filem mega yang hebat. Imej digital yang menjadi tulang belakang penonjolan imej raksasa Transformer menjadi ikon dalam imejan digital.
Transformer adalah kartun mekanikal ciptaan Halsbro dan kemudian menjadi siri televisyen yang diminati oleh ramai kanak-kanak. Apabila Transformer difilemkan oleh Michael Bay, pengarah filem yang bertanggungjawab memberikan kita filem seperti Con Air dan Pearl Harbour, filem Transformer berjaya memberikan pulangan lebih daripada RM2.3 billion.
Michael Bay adalah pembikin filem seangkatan dengan David Fincher (Seven, Fight Club), Andy Tenant (Anna and The King), Dominic Sena (Kalifornia) yang menubuhkan Propaganda pada 1987 untuk menghasilkan filem-filem komersil dan klip video. Mereka adalah pembikin filem yang mengutamakan banyak adegan aksi cemas, ledakan dan spektakular untuk menarik perhatian penonton.
Filem mereka tidak mementingkan struktur plot yang kompleks atau canggih sebaliknya alur plot mereka cukup sekadar untuk menggerakkan cerita dan yang penting alur cerita tersebut mampu mencipta alasan untuk mereka mengadakan lebih banyak letupan atau adegan spektakular.
Kali ini Michael Bay cuba tampil dengan Transformer yang lebih hebat dengan penampilan adegan pertempuran yang lebih spektakular. Dalam Transformer: Revenge of the Fallen, Sam Witwicky (Shia LeBouf) melanjutkan pelajaran di kolej, meninggalkan kekasihnya Mikaela (Megan Fox) meneruskan pekerjaannya di bengkel motosikalnya. Ditinggalkan juga Bumblebee auto-robotnya (autobot) dan autobot ini bersama dengan robot Optimus Prime bekerjasama dengan NEST, pasukan rahsia yang sedang menjejaki saki baki robot Deceptions yang masih bersembunyi di bumi.
Optimus Prime juga menyedari yang kehadiran robot di bumi tidak disenangi dan bersedia untuk meninggalkan bumi. Pada masa yang sama di planet lain di galaksi autobot Deceptions sedang berusaha mendapatkan matrix, kunci yang menjadi rebutan kekuasaan dan orang yang boleh melakukannya di bumi hanyalah Sam. Pertembungan antara autobot baik yang diketuai oleh Optimus Prime dan kumpulan The Fallens yang mengetuai autobot Deceptions sudah tentu bakal melahirkan adegan aksi pertempuran yang spektakular.
Membosankan
Dengan masa tayangan 2 jam 30 minit, filem Transformer: Revenge of the Fallen sebenarnya terlalu panjang, apatah lagi tumpuan naratif adalah kepada adegan pertempuran antara robot-robot dalam bentuk kepingan besi dan aluminium buruk serta tayar terbuang, walaupun robot-robot ini sebenarnya dibentuk melalui imej janaan computer (CGI). Apa yang kita lihat adalah robot, robot dan robot dan kemudian pertempuran digital dalam pelbagai bentuk pertempuran yang sebenarnya mudah sahaja dilakukan dengan bantuan CGI. Daripada saiz sebesar gizmo hinggalah kepada raksasa setinggi bangunan 10 tingkat, robot menguasai filem ini. Dan lebih membosankan apabila watak-watak manusia juga bertindak seperti robot. Watak Sam yang dimainkan oleh Shia LeBeouf hanyalah watak kanak-kanak yang meningkat remaja tanpa mempunyai kesan apa-apa dan akhirnya tenggelam dalam pertempuran antara robot-robot digital. Manakala Mikaela yang dimainkan oleh Megan Fox hanyalah bersandarkan keseksian tubuh dengan wataknya sekadar penghias filem ini.
Seperti yang dikatakan Michael Bay adalah pengarah yang gemar kepada bunyi bising, pertempuran dan ledakan, dan apabila filem Transformer ini menampilkan sekuel tentang balas dendam sudah tentu Michael akan bersedia dengan lebih banyak pertempuran dan permainan digital.
Untuk menampilkan kehebatan dan untuk kelihatan relevan akan kehadiran robot-robot besi buruk ini ke bumi maka Mesir dan pemusnahan piramid dijadikan latar supaya alasan kehadiran robot ini kononnya ada kaitan dengan pembinaan piramid di zaman prasejarah.
Masalah dalam Transformer adalah ceritanya yang tidak ada kesinambungan, terlalu bergantung kepada imej robot-robot CGI dan meninggalkan perwatakan manusia. Hasilnya penonton hanya menonton sebuah permainan video sebenarnya tanpa merasakan kesan emosi watak- wataknya yang lebih relevan. Inilah juga yang berlaku dalam filem Terminator Salvation, terlalu bergantung kepada watak robot digital ini. Malah Steven Spielberg sendiri pernah berkata tidak mungkin imej digital atau robot-robot raksasa dapat menggantikan watak-watak manusia yang berdarah daging dan berjiwa. Apakah para pembikin filem semakin pesimis dengan cerita manusia?
Imej robot-robot Transformer daripada bahan terbuang hasil daripada kemajuan tamadun manusia bangun berperang untuk menguasai manusia dan sebahagian yang lain bangun untuk mempertahankan manusia dan buminya, membawa persoalan yang menarik sebenarnya. Filem ini mampu membawa debat pasca-moden dalam mentafsir filem ini. Dari satu segi filem ini cuba membawa satu analisa pasca-moden tentang kemusnahan tamadun dan masalah masa depan yang didepani oleh manusia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: