Monday, June 29, 2009

Radhi cuba pujuk isteri

Umum sudah mengetahui Radhi OAG berdepan dengan waran tangkap buat kali kedua kerana gagal menghadiri prosiding permohonan lafaz cerai oleh isterinya Shazlin Shariff di mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. Semenjak kes difailkan isterinya tahun lalu, Radhi cuma hadir sekali sahaja perbicaraan. Sikapnya yang ‘acuh tidak acuh’ itu menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga menjejaskan imejnya sebagai artis. Dia yang ditemui di majlis hi-tea anjuran Karyawan di Studio Soundtage, Finas, baru-baru ini mengakui akan kesilapannya itu, bagaimanapun bagi Radhi ada hikmah di sebalik kejadian itu. Untuk selanjutnya, ikuti temubual Sinar Harian bersama bekas vokalis kumpulan OAG ini.



Lagi waran tangkap, boleh beri penjelasan?

Saya bukannya sengaja tak nak datang perbicaraan kerana kebetulan pula pada hari itu kereta saya masuk bengkel dan lambat siap. Saya mengaku salah saya dan saya minta maaf. Kes saya bukannya berat sangat, cuma masalah rumah tangga. Pada saya, semua ini ada hikmahnya kerana saya ada peluang untuk jumpa isteri saya untuk bercakap hati ke hati. Terus-terang, saya tak suka masalah rumah tangga kami ni dibawa ke mahkamah dan ada baiknya kalau kami dapat selesaikan cara yang baik. Kalau boleh saya tak nak buka aib sesiapa pun dan saya pun belum sedia untuk semua tu (perbicaraan di mahkamah). Lagipun saya tak ada persiapan, tak ada peguam untuk berdepan dengan semua ini.



Kenapa tunggu hingga setahun baru nak selesaikan cara baik?

Bukannya saya tak ada peluang untuk jumpa isteri, tapi setiap kali jumpa dia mesti minta cerai, sedangkan saya tak mahu ceraikan dia. Saya buat semua ini demi anak-anak, saya tak mahu anak-anak saya jadi macam saya yang membesar dalam keluarga yang bercerai-berai. Tapi isteri saya tak faham semua tu. Terus-terang, saya masih sayangkan dia dan saya percaya dia juga masih sayangkan saya, cuma kami semakin ‘jauh’ bila ada campur tangan dari orang ketiga yang bukannya orang lain tapi dari keluarganya sendiri. Ditambah pula, sudah setahun lebih kami tidak tinggal bersama dan hidup seperti orang asing.



Apa masalah sebenar dan bagaimanapun pula dengan kenyataan Shazlin sebelum ini yang pernah mempertikaikan sikap Radhi serta lafaz talak yang pernah dikemukakannya?

Kami bergaduh kerana masalah kecil sahaja dan ia memang boleh diselesaikan, tetapi disebabkan campur tangan dari keluarganya ia menjadi semakin melarat. Saya tahu dia tak puas hati dengan lifestyle saya yang tidak teratur. Manakan tidak, sebagai orang seni, saya memang sibuk dengan show sana-sini dan ada masanya tak balik rumah, tapi itu dah jadi ‘periuk nasi’ saya. Isteri saya pun kuat cemburu orangnya dan dia pernah tuduh saya ada perempuan lain sedangkan mereka tu semua adalah peminat saya dan adatlah jadi artis mesti ada peminat! Soal lafaz talak, saya tak pernah sebut pun. Mungkin dia salah dengar sebab itulah yang dia nak selama ini. Lagipun benda macam ni kena ada saksi.


Kalau benar masih cintakan isteri, kenapa tidak cuba pujuk dengan bersungguh-sungguh?

Bukan tak pernah pujuk, tapi susahlah nak pujuk. Selagi dia berada dalam rumah itu (rumah orang tuanya), selagi itu dia ada back-up family dan saya pastinya akan diketepikan. Selepas ini saya akan cuba pujuk dia lagi, kalau boleh saya nak bawa dia jauh-jauh dari keluarganya, barulah kami boleh berbincang dari hati ke hati.



Nampak macam asyik salahkan keluarganya?

Saya dan keluarganya masih baik, tapi tak baik macam dulu sebab antara kami dah ada jurang. Saya tak nak cerita lebih-lebih kerana tak nak aibkan sesiapa pun. Tapi sehingga sekarang saya masih hormat keluarganya.



Anak-anak macam mana?

Hubungan saya dengan anak-anak macam biasa. Dalam seminggu, dua kali saya akan datang jumpa mereka. Saya tengok mereka tak happy macam dulu, nampak muram saja. Mungkin mereka pun dapat merasai ketegangan yang berlaku antara kami.


Apakah rancangan selepas ini?

Seperti yang saya katakan, saya mahu berbincang dengan isteri. Saya ada tempoh sebulan untuk berbincang dengannya sebelum perbicaraan yang seterusnya pada 27 Julai ini. Harap tak perlulah sampai bercerai. Kalau boleh saya nak cuba dapatkan kaunseling dulu untuk selamatkan rumahtangga kami. Tapi kalau dia nak juga saya lepaskannya, saya nak kepastian dari segi nafkah dan penjagaan anak-anak. Dan kalau benar dia ada lelaki lain, beritahu saya. Walaupun tak ada jodoh selepas ini, saya harap kami boleh jadi kawan baik. Itu pun demi anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: