Tuesday, June 30, 2009

Anita, Ismail Haron kembali bergabung


Selepas lebih dua dekad 'terpisah', mereka bakal berganding dalam konsert istimewa di Singapura

LAMA mereka tidak muncul bersama sejak masing-masing membawa diri ke perantauan. Anita Sarawak terbang jauh ke Amerika Syarikat pada tahun 1985 mengembangkan sayap nyanyiannya di sana, manakala pasangan duetnya ketika itu, Ismail Haron pula memilih berhijrah ke Australia pada 1977.

Suatu ketika dulu, nama Anita dan Ismail Haron sebagai pasangan duet cukup popular. Lagu-lagu mereka seperti Menunggu Nasi Minyak, Kesah Dol dan Minah, Rahsia di Ayer Jerneh dan Janji Tetap Janji cukup diminati.

Namun apabila kedua-duanya berhijrah, hanya lagu mereka saja dapat mengekalkan ingatan peminat kepada dua nama ini.

Sejak Ismail berhijrah, Anita seperti hilang minat untuk berduet dengan penyanyi lain, kecuali Allahyarham Sudirman Arshad itu pun hanya menerusi sebuah lagu Bercanda Di Pasiran Pantai. Bagaimanapun rakaman dibuat secara berasingan kerana Sudirman berada di Kuala Lumpur dan dia pula ketika itu berada di Singapura.

Anita atau mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Nita ternyata seorang yang berpegang teguh pada prinsipnya kerana sehingga kini tidak ada gabungan terjalin antaranya dengan penyanyi lain.

Setelah membawa diri berpuluh tahun di rantau orang, dua penyanyi ini sudah pun kembali ke ‘sangkar’ masing-masing. Ismail yang kini berusia 63 tahun berada di Singapura. Beliau masih lagi sihat dan aktif meneruskan kerjayanya sebagai penyanyi. Sementara Anita pula, selesa mencari rezeki di Kuala Lumpur.

Hampir tiga dekad tidak berpadu suara, Anita dan Ismail bakal membangkitkan nostalgia peminat terhadap lagu-lagu berhantu mereka. Dua nama ini bakal disatukan dalam sebuah konsert hebat yang sedang dalam perancangan dan dijadualkan berlangsung Januari depan di tanah kelahiran mereka. Tidak sekadar mendendangkan lagu duet mereka, Anita dan Ismail juga bakal mendendangkan lagu solo masing-masing.

Konsert yang dianjurkan syarikat Mediamorphosis itu dijangka berlangsung di Max Pavillion yang mampu memuatkan kapasiti penonton sehingga 5,000 orang.

Perkara itu diumumkan Anita sendiri yang menerima lamaran daripada syarikat yang berpangkalan di Singapura lebih dua minggu lalu. Penyanyi yang kali terakhir mengadakan konsert tujuh tahun lalu di Bukit Jalil, jelas begitu gembira dengan lamaran yang diterimanya itu.

“Konsert Kak Nita bersama Ismail nanti bakal mengembalikan nostalgia peminat terhadap lagu-lagu dendangan kami yang cukup popular di era 70 an sehingga kini. Kak Nita tak ambil masa lama menerima tawaran daripada Mediamorphosis kerana Kak Nita sendiri rindu untuk menyanyi bersama Ismail.

“Kak Nita serasi bersama Ismail. Sejak berduet dengannya, Kak Nita tidak berminat menyanyi dengan orang lain. Senang berkerja dengannya kerana dia ada bakat semula jadi. Tidak hairanlah ketika itu album duet kami laris seperti kek panas,” kata Anita Sarawak kepada Hip.

Mediamorphosis adalah promoter yang pernah menganjurkan konsert Siti Nurhaliza di Singapura kira-kira sembilan tahun lalu.

Bagi Anita, walaupun perasaannya begitu teruja, dia mahu memastikan konsert yang pertama kali menggabungkannya dengan Ismail menjadi sebuah persembahan paling berjaya sekali gus meninggalkan kesan buat peminat yang merindui mereka.

Meskipun masih terlalu awal untuk bercerita lanjut mengenai konsert yang masih berbaki enam bulan untuk berlangsung, beberapa perancangan sudah pun mula ligat bermain di minda penyanyi yang sememangnya cukup serius terhadap kariernya.

“Mula-mula menerima lamaran sebegini siapa yang tak gembira. Tetapi semua perasaan itu harus ditolak ke tepi, sampai bila mahu Kak Nita harus raikan kegembiraan ini kerana sekarang adalah waktu untuk Kak Nita memikirkan beban kerja konsert itu nanti. Bagaimanapun, Kak Nita amat berterima kasih kepada sebuah keluarga iaitu Rossa dan anaknya Saibah kerana mereka juga adalah salah satu daripada tulang belakang untuk konsert ini.

“Kontrak sudah pun ditanda tangani. Sekarang Kak Nita perlu merangka lagu sesuai untuk dibawakan pada konsert itu. Struktur persembahan masih lagi dalam perancangan. Nampaknya Kak Nita akan lebih kerap berulang alik ke Singapura sebagai persiapan untuk menghadapi konsert pertama Kak Nita di Singapura.

“Oleh kerana konsert ini juga bakal membabitkan Ismail Haron, Kak Nita tidak boleh mementingkan diri. Kak Nita kena fikirkan Ismail juga. Apa saja yang mahu lakukan pada konsert itu nanti, Kak Nita akan berbincang dengan Ismail terlebih dulu. Kak Nita tidak mahu dilihat memonopoli konsert itu seorang,” katanya.

Menurut Anita lagi, bagi memastikan semua peminat berpeluang menyaksikan gabungan semulanya dengan Ismail, tiket akan dijual pada harga yang berpatutan supaya peminat di Singapura dan Malaysia dapat sama-sama menikmati persembahan mereka, sekali gus mengubati kerinduan terhadap lagu popular kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: