Sunday, June 28, 2009

Sehangat emosi Merah


MERAH (dari kiri) Ewan, Amer, Hafiz, Yazri dan Malek.


Ada andaian yang mengatakan industri muzik tempatan sudah memperlihatkan penguncupan dari segi jualan album walaupun pada hakikatnya masih ramai lagi artis yang sedang bersinar di persada seni tempatan.

Ditambah pula dengan kegawatan ekonomi global, tetapi masih ramai yang mahu memperjudikan nasib menjadi anak seni dengan menjual bakat yang ada pada diri masing-masing.

Maka tidak hairanlah jika ada di antara artis tempatan yang sudah mula terasa bahangnya bukan sahaja kerana lambakan artis tempatan tetapi terpaksa bersaing dengan artis luar negara yang tidak kurang hebatnya.

Kali ini, kumpulan yang menggelarkan diri mereka Merah dari Singapura juga turut mahu mencuba nasib di Malaysia sambil memperjuangkan muzik berentak catchy pop dan pop rock.

Jika dibentang satu persatu sejarah kumpulan ini, memang tidak terkira. Merah telah ditubuhkan pada tahun 2004 dan menjadi antara kumpulan paling popular di Singapura pada ketika ini.

Benar kata orang percubaan pertama itu tidak semestinya berhasil. Tapi daripada pengalaman tersebut mereka bangkit menebus kekecewaan yang dialami selama ini.

Apa tidaknya, EP pertama mereka berjudul Melihat Kau Di Sini yang berkonsepkan eksperimental rock langsung tidak mendapat sambutan dan dipandang sepi oleh peminat di sana.

Bukan sahaja lagu yang disajikan kurang menarik, malah anggota asal pada ketika itu turut sama keluar daripada kumpulan tersebut dan terpaksa mencari lagu baru untuk kumpulan ini.

Kini Merah yang dianggotai oleh Hafiz Wahab, 23 tahun (vokalis), Yazri (30, bass), Amer (22, drum), Ewan (36, gitar) dan Malek (38, gitar) tidak menoleh kebelakang lagi bagi mencorakkan perjalanan seni mereka.

Ketika kunjungan mereka ke Malaysia baru-baru ini, masing-masing tidak dapat menyembunyikan rasa gembira kerana sama-sama dapat memperjuangkan bidang muzik ke negara ini.

Walaupun masih belum dikenali secara meluas di Malaysia, mereka yakin muzik yang mereka perjuangkan selama ini bakal diterima oleh masyarakat tempatan memandangkan tidak banyak peluang yang terbuka di tempat mereka.

l Menerobos pasaran Malaysia

Seperti sudah menjadi kebiasaan, setiap artis dari Singapura pasti mahu mengembangkan sayap di Malaysia. Hakikat ini sudah lama dirasai memandangkan hanya politik dijadikan sempadan utama tetapi tidak bagi muzik.

Kini Merah tidak datang dengan tangan kosong sebaliknya dengan album terbaru yang berjudul Emosiku Merah yang mengandungi 13 buah lagu yang tidak jemu didengar.

Menurut Hafiz, walaupun sudah lama bertapak dalam bidang seni, masih banyak lagi pelajaran dan pengalaman yang harus mereka tempuhi untuk terus kekal berjaya.

"Kami sangat berharap peminat di Malaysia dapat menerima kehadiran kami. Setidak-tidaknya berilah kami sedikit ruang untuk terus menempa nama di sini.

"Industri seni di Singapura agak kecil berbanding di Malaysia dan Indonesia. Orang Melayu menjadi kaum minoriti dan sudah pasti ruang lingkup itu juga kecil," kata Hafiz mewakili rakan-rakan yang lain.

Mengulas mengenai perkembangan terbaru kumpulan ini, mereka turut dicalonkan dalam kategori Lagu Popular Singapura terbaik dan Artis Paling Popular Singapura pada Anugerah Planet Muzik yang akan berlangsung di Jakarta pada 18 Julai ini.

Jelas Hafiz, walaupun masih berdebar menantikan keputusan majlis tersebut, mereka tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi memandangkan saingan yang begitu sengit daripada calon lain.

Benar kata orang, bidang muzik menjadikan seseorang lebih kreatif. Mana tidaknya, setiap anggota tidak hanya boleh bermain alat muzik tetapi dalam masa yang sama mereka juga berbakat dalam bidang penciptaan.

Sehingga kini melalui Merah Production, mereka sudah mempunyai artis-artis rakaman yang bernaung di bawah label mereka sendiri termasuklah menerbitkan single penyanyi Zaibaktian, Tengku Nur Lela dan Shafire.

Lagu-lagu ciptaan mereka untuk artis-artis tersebut bukan sahaja sekadar tangkap muat tetapi sudahpun mendaki carta-carta stesen radio di Singapura.

Walaupun masih menyewa studio rakaman orang lain, setiap anggota Merah akan berusaha merealisasikan impian untuk memiliki studio sendiri sedikit masa lagi bagi melancarkan kerjaya seni mereka dan artis yang bernaung di bawah syarikat Merah Production.

"Bagi kami, muzik bukan sekadar medium untuk mencari populariti semata-mata. Seorang ahli muzik yang baik tidak memandang populariti semata-mata dalam mencorakkan kerjaya.

"Apa yang lebih penting ialah kualiti agar peminat dapat menerima kehadiran kami dan sama-sama menghargai muzik sebaiknya," kata Hafiz.

Kepada peminat yang ingin mengetahui dan mendengar sendiri lagu-lagu mereka boleh melayari www.myspace.com/merahonline untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: