Monday, June 29, 2009

Gilap penulis skrip


INDUSTRI seni tanah air kini semakin berkembang. Namun, di sebalik peningkatan positif itu, masih ada ruang yang harus diperbaiki. Justeru, persatuan memainkan peranan penting dalam usaha terus memartabatkan industri hiburan ke tahap lebih baik.

Menyedari hakikat itu, Persatuan Karyawan (Karyawan) terus menggembleng tenaga dan memikirkan langkah selanjutnya untuk membantu industri dan anak seni tempatan. Satu demi satu 'biro' ditubuhkannya untuk memperbaiki apa yang masih 'kurang'.

Justeru, sempena majlis minum petang bersama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) petang kelmarin, Karyawan turut menubuhkan biro baru iaitu penulisan skrip.

Biro ini dikendalikan Shamsul Anbia yang membuka peluang kepada sesiapa saja berminat dalam penulisan skrip tampil menonjolkan bakat mereka. Ia berikutan, hingga kini negara masih kekurangan karya berkualiti kerana penulisan skrip yang lemah.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, jika bidang muzik 'kekurangan' komposer berbakat, seni drama dan filem pula tentunya menghadapi masalah penulisan skrip. Oleh itu, untuk menghasilkan produk yang baik serta berkualiti agak bermasalah.

"Dalam soal ini, bukan tiada penulis tetapi skrip dihasilkan longgar dan tidak memenuhi piawaian ditetapkan. Lebih-lebih lagi, sekarang berkonsepkan 1Malaysia yang menuntut pembabitan rakyat berbilang kaum iaitu Melayu, Cina dan India.

"Memahami apa yang disarankan kerajaan, Karyawan wajar membantu merealisasikannya. Sehubungan itu, Biro Penulisan skrip ditubuhkan untuk mencungkil bakat menulis di kalangan rakyat terutama generasi muda yang berminat menghasilkan skrip.

"Mereka boleh menghantar 'jalan cerita' ditulis kepada Karyawan menerusi laman web kami. Tiada yang perlu dirisaukan kerana perlindungan 'hak cipta' di bawah pengawasan dan kawalan Karyawan. Justeru, sukar untuk karya itu diciplak," katanya.

Menurut Freddie lagi, andai kata Karyawan dapat mengesan sebarang penipuan atau kecurian hak cipta, tindakan undang-undang akan diambil. Apapun, saya yakin karya yang dihantar secara 'online' melalui Internet itu selamat dan tidak boleh diciplak sesiapa.

Katanya, hak cipta terpelihara amat dilindungi Karyawan. Justeru, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana karya itu akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, bagi mendapatkan keterangan lanjut, boleh melayari laman web Karyawan.



Antara biro ditubuhkan Karyawan setakat ini ialah Biro Pelakon, Biro Penyanyi, Biro Komposer, Biro Artis Muda, Biro Muzik Tradisional, Biro Veteran, Biro Agama, Biro Hotel dan Kelab, Biro Artis India, Biro Penulisan Skrip, Biro Artis Cina dan Biro DJ Radio.



Tidak ketinggalan, Karyawan turut membuka lima Biro Negeri iaitu di Pulau Pinang, Pahang, Perak, Melaka dan Johor Bahru. Ternyata, pelbagai strategi dilakukan Karyawan dalam usaha memastikan nasib penggiat seni dan industri seni negara terbela.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf yang mewakili menteri kerana tidak dapat hadir pada majlis itu berkata, pihaknya tiada masalah untuk membantu karyawan, penggiat seni dan industri.

"Oleh itu, satu memorandum berkaitan kawal selia industri muzik akan saya buat untuk dihantar kepada menteri serta dibentangkan ke Kabinet. Ia berikutan, kini pasaran muzik tanah air menghadapi beberapa masalah seperti cetak rompak, muat turut lagu dan nada dering.

"Sebenarnya, saya diberikan tempoh sebulan oleh menteri untuk menyiapkan memorandum ini. Diharapkan apa yang diusulkan itu diluluskan Kabinet demi industri muzik tanah air. Namun, saya tahu memantapkan industri seni ini memakan belanja antara RM5 hingga RM6 juta setahun. Malah, saya bercadang membangunkan Jalan Dataran Budaya untuk artis berkarya.

"Apabila aktiviti seni diadakan di tempat itu, tidaklah sekitar Jalan Raja menjadi kawasan Mat Rempit melakukan aktiviti lumba haram pada hujung minggu. Ini kerana aktiviti persembahan pentas sudah ada walaupun dianjurkan sekali seminggu," katanya.

Beliau berkata, bukan itu saja, ia juga membantu industri pelancongan negara. Ini kerana setiap pelancong atau pengunjung yang membeli-belah di sekitarnya berpeluang menyaksikan aktiviti nyanyian selain berehat dan menghilangkan penat.

Selain itu, katanya, penubuhan biro di setiap negeri oleh Karyawan juga satu langkah yang baik dan harus dipuji. Menurut Kamaruddin, dengan adanya biro negeri ini, secara tidak langsung dapat membantu ahli Karyawan yang memerlukan bantuan di situ.

Pada petang kelmarin juga, turut diadakan sesi penyampaian sijil kepada semua ahli jawatankuasa (AJK) Karyawan. Malah, turut diraikan anak seni veteran tanah air yang menerima skim pencen Karyawan. Antaranya seniman dan seniwati seperti Mariani, Latifah Omar, Mimi Loma, Param, M Y Shamsuddin, Zaiton Sameon, Hamid Gurkha serta Raja Hamidah Raja Saat (balu pengarah Allahyarham Salleh Ghani).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: