Tak mampu diselamatkan lagi! Segala permasalahan dan kontroversi yang melanda kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) berakhir apabila vokalisnya, Lan meninggalkan kumpulan itu. Pengumuman secara rasmi dilakukan pada 25 Jun lalu bertempat di premis hiburan popular, Hard Rock Cafe serentak dalam satu sidang media konsert penampilan terakhir MUH bersama Lan sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 yang akan berlangsung Ahad ini.
Mengimbas kembali sejarah kemunculan MUH, selain Lan, kumpulan ini turut diasaskan oleh Taja dan Afat. Mula ke arus perdana sejak dua tahun lalu, bagaimanapun kumpulan ini sudah mula bergerak secara indie sejak lapan tahun lalu.
Berjaya mencipta fenomena, Lagu Untukmu menjadi penanda awal kebangkitan jalur muzik MUH. Malah, lagu ini yang diperkenalkan dalam drama bersiri Kami di saluran 8TV menjadi siulan. Awal tahun lalu, MUH juga mencipta kejayaan berganda apabila Lagu Untukmu memenangi kategori Pop Rock, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23. Istimewanya lagu itu turut memenangi kategori keseluruhan Juara Lagu AJL 23. Mengharap tuah dan tempias populariti terus memuncak, namun apa yang diharapkan tidak kekal berpanjangan. Semuanya bermula selepas Anugerah Planet Muzik tahun lalu, apabila vokalisnya sendiri menimbulkan masalah termasuk dalam soal disiplin dan sikap.
Hal ini terus berpanjangan apabila ia terus menjadi perbualan dan isu di media. Ia terus digembar-gemburkan dan terus menjadi wabak yang mencalarkan imej dan kredibiliti MUH. Dijangkakan Lan akan berubah dan insaf dengan apa yang ditimbulkan tetapi ternyata dia masih begitu apabila semakin menjadi-jadi kerenahnya. Nasi sudah menjadi bubur, Lan kini memilih haluan sendiri manakala MUH masih diteruskan perjuangannya oleh Taja dan Afat. Taja atau nama sebenarnya Nik Mustaza Nik Mustapha yang ditemui sebelum sidang media berlangsung sempat memberikan kenyataan dan jawapan ‘selamat’ di atas pengunduran Lan.
“Apa yang kami nampak, ideologi serta hala tuju kami dan Lan sudah mula berbeza. Tiada guna juga nak bersama kalau sudah tidak sehaluan. Kepala sudah tidak seiring hinggakan benda kecil boleh menjadi isu yang melarat. Kalau kami ‘bergaduh’ pun semua membabitkan soal kerja sebab ketidakserasian mula terserlah. Ini pilihan Lan dan kita tidak boleh menghalang tindakannya.
“Perjuangan MUH harus diteruskan dan dalam masa terdekat saya dan Afat akan mencari dua orang lagi anggota baru termasuk vokalis. Jujur saya akui agak terkilan tindakan Lan ini, namun dalam masa yang sama saya lega kerana mengharapkan permasalahan selama ini akan berakhir. Perasaan teruja pun ada menunggu perkembangan terbaru MUH.
“Yang terjadi sudah terjadi dan apa yang saya pelajari tidak guna merumitkan keadaan yang sedia keruh. Tak perlu menuding jari menentukan siapa salah, siapa betul kerana kalau terus ‘berperang’ sampai bila pun takkan habis. Demi kebaikan semua, keputusan yang diambil ini mungkin antara jalan terbaik," kata Taja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: