Maya dan Tengku Shahreza bersama sebahagian anggota keluarga masing-masing pada majlis memotong pulut kuning. |
Pernah 'jual mahal' pada setiap lelaki kerana kecewa selepas putus tunang
BERKAT sikap tidak pernah putus asa dan keikhlasan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38, untuk menambat hati Maya atau Meyanaliza Ruslee, 33, ia akhirnya membuahkan hasil.
Mungkin segala-galanya sudah tersurat ia juga adalah jodoh antara mereka menyebabkan kedua-duanya disatukan apabila sah bergelar suami isteri pada 26 Jun lalu.
Perkenalan mereka bermula kira-kira enam tahun lalu iaitu pada November 2003. Ketika itu, Maya dan temannya Haiza diundang membuat persembahan meraikan hari lahir ayahanda Tengku Shahreza.
Menurut Tengku Shahreza, kelibat Maya pada majlis itu mula membuatkan jantungnya berdegup kencang. Tanpa pengetahuan Maya, nombor telefon penyanyi itu berjaya diperolehnya.
“Saya dapat nombornya daripada pembantu peribadi ayah saya. Tapi bukan bukan mudah untuk mengenalinya. Saya mengambil masa hampir setahun untuk memikat hatinya. Alhamduillah, akhirnya hari ini dia menjadi isteri saya,” kata Tengku Shareza.
Wajah ceria Maya dan Tengku Shahreza selepas majlis pernikahan mereka. |
Mengenali Maya, Tengku Shahreza berkata isterinya itu mempunyai personaliti yang cukup menawan.
“Mata Maya saja sudah mampu mencairkan hati saya. Paling penting, dia pandai memasak masakan kegemaran saya terutamanya sajian makanan istana. Dia sempat belajar memasak dengan arwah ibu yang kembali ke rahmatullah pada 13 Disember tahun lalu,” katanya.
aya pula berkata, dia sendiri agak terkejut menerima panggilan daripada suaminya ketika detik awal perkenalan. Umum juga tahu, Maya seperti wanita lain pernah berdepan dengan kegagalan cinta sebelum ini.
Pelakon drama siri Datin Wan Abe itu juga pernah bertunang, namun jodoh tidak kesampaian.
Tengku Shahreza melafazkan ikrar ijab kabul di depan Penolong Pendaftar Pernikahan dan Imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Mohamad Khairi Hussein. |
“Masa itu, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk kembali menjalinkan cinta dengan sesiapapun. Banyak kali juga dia (suami) menghubungi saya, namun jujur saya akui hati masih belum terbuka untuk menerima cinta lagi.
“Bukan saya nak jual mahal, kerana pada masa yang sama, jiwa saya juga ‘kacau’ dek pengalaman cinta terdahulu.
“Selain itu, saya takut juga dicop hanya mahu menumpang kesenangan dia dengan cara mudah. Hati budi dia pun saya tidak tahu, mana tahu dia sekadar mahu bertaruh dengan kawan-kawan demi memiliki cinta saya. Selepas setahun, baru saya menerimanya sebagai kawan.
“Sepanjang tempoh itu, saya nampak keikhlasan dan sikap tak pernah mengenal putus asa membuatkan saya mengalah untuk terus mengenali hati budinya. Sepanjang kami berdating, dia suka berterus terang dalam banyak perkara. Dia juga orang yang ringkas dan tidak cerewet,” kata Maya yang anggun dengan busana dan solekan Nurul Shukor Touch.
Mengikut perancangan, pernikahan antara Maya dan Tengku Shahreza berlangsung tahun lalu. Namun, ia ditangguhkan sebagai menghormati pemergian ibu Tengku Shahreza yang meninggal dunia kerana masalah pada jantung.
Dan, pada Jumaat lalu, kira-kira jam 5.40 petang, Maya sah menjadi isteri kepada Tengku Shareza selepas dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak (TAR), Mohamad Khairi Hussein.
Pernikahan pasangan itu berwali abang sulung Maya, Harris Faizal Ruslee dan disaksikan 100 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara terdekat dan rakan artis. Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM80 berserta tujuh dulang hantaran termasuk senaskhah Al-Quran, kasut berjenama Tods, kelengkapan peribadi dan manisan.
Manakala pihak pengantin perempuan membalasnya dengan sembilan dulang. Maya menjelaskan atas permintaan suaminya, jumlah wang hantaran dirahsiakan. Maya turut menarik nafas lega kerana akhirnya bergelar isteri.
“Kawan rapat saya yang lain sudah berkahwin dan mempunyai anak. Malah ada juga di antara seperti Nadia Mustafar dan Ieda Moin sering bertanya bila pula saya bakal mengikuti jejak mereka. Alhamdulillah, ia menjadi kenyataan dan majlis pernikahan yang dirancang juga berjalan lancar,” katanya.
Mengenai kerjaya seninya, Maya memberitahu suaminya tidak akan menghalang, namun demi tanggung jawab baru yang digalasnya, dia akan mengurangkan sebarang tuntutan kerja yang memakan masa yang panjang.
“Bagaimanapun selepas ini saya harus menyiapkan rakaman sebuah sitkom di Brunei dari 5 hingga 17 Julai. Ia terbitan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Radio Televisyen Brunei (RTB),” katanya yang mungkin akan ke Bali bersama suami tercinta untuk berbulan madu.
Pasangan ini bertunang pada 4 Jun lalu dan selepas ini mereka akan menetap di kondominium Taman TAR sebelum berpindah ke apartmen baru berdekatan Ampang Point. Majlis resepsi akan diadakan pada Oktober ini di Batu Pahat, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: