PASANGAN pengantin bersama ibu bapa Nikki. |
BERLANGSUNG dalam suasana cukup sederhana, dengan dihadiri sanak saudara serta rakan taulan, penyanyi Nikki dan komposer terkenal, Audi Mok, akhirnya melafazkan ikrar cinta setia dalam majlis perkahwinan yang berlangsung di sebuah gereja di Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Tiba saatnya Nikki menuturkan kata cinta setianya pada Audi, penyanyi Selamat Tinggal itu tidak dapat menahan sebak. Ditemui selepas acara itu selesai, Nikki mengaku cukup terharu dengan lafaz cinta yang ikhlas diluahkan dari lubuk hatinya.
"Saya berasa begitu tersentuh dan terharu saat melafazkan janji untuk setia kepadanya, serta janji saya bagi menjadi seorang isteri serta ibu yang baik kepada anak-anak," kata Nikki yang kelihatan begitu anggun dalam gaun pengantin rekaan Jovian Mandagie.
Namun, dia kini mampu menarik nafas lega apabila semuanya berlangsung dalam keadaan sempurna.
Kata wanita berusia 24 tahun ini, sudah berbulan-bulan dia dihimpit rasa gelisah menjelang majlis penyatuannya bersama kekasih hati.
Walaupun dilangsungkan dalam majlis yang begitu sederhana, dengan dewan gereja dihiasi ratusan kelopak bunga mawar merah jambu serta jingga, hasil sentuhan Ismail Ani Arope dan Datuk Farida Hashim, ia tentu sekali terpahat sebagai memori paling indah buat Nikki dan Audi.
AUDI menyarungkan cincin ke jari isterinya, Nikki. |
Apatah lagi, tatkala acara menuju ke titik akhir, pasangan itu dihadiahkan dengan sebuah lagu merdu, The Prayer, dendangan dua juara, Jaclyn Victor dan Vincent Chong.
Hadir sama memeriahkan majlis petang itu ialah Maya Karin dan Ning Baizura masing-masing bersama suami, Nubhan, Diddy Hirdi, Amylea Azizan, Sasha Bashir dan Ahmad Izham Omar serta Shazee Ishak yang turut bertindak sebagai pengiring pengantin lelaki.
Menyentuh perancangan bulan madu mereka, kata Nikki, dia dan Audi memilih Pulau Bali, Indonesia, sebagai destinasi meraikan cinta dan mahligai baru dibina. Mereka dijadualkan berada di sana selama lima hari mulai 2 Julai ini.
"Masing-masing begitu sibuk dengan jadual kerja dan promosi. Justeru, kami ke Bali terlebih dulu, sebelum memikirkan sebuah percutian bulan madu yang lain selepas ini," ujar Nikki yang menjadi tunangan Audi sejak Disember tahun lalu.
Mereka memilih untuk melangsungkan perkahwinan itu pada 27 Jun bersempena sambutan hari lahir adik Audi, June.
"Saya berasa amat gembira untuk Nikki dan Audi. Mereka pasangan yang cukup serasi. Walaupun Nikki seorang penyanyi terkenal, tetapi dia sebenarnya amat sederhana dalam segala segi," kata June.
Manakala bapa Nikki, Nicholas Palikat berkata, apabila dia dan isteri, Joanna Joannes, dimaklumkan dengan percintaan kedua-duanya kira-kira tiga tahun lalu, dia mendapati Audi seorang lelaki yang serius dalam perhubungan.
"Dia juga seorang yang matang dan kami berharap, Audi mampu membimbing Nikki menjadi seorang isteri yang baik," katanya sambil memberitahu, Nikki sebenarnya melangkah bendul apabila berkahwin lebih awal berbanding tiga lagi kakaknya.
Sudah pun mempunyai dua cucu, Nicholas bagaimanapun teringin untuk menimang cucu baru, hasil perkahwinan anak kelima daripada tujuh adik-beradik itu.
Nampaknya, bapanya perlu menunggu sedikit waktu untuk impian itu ditunaikan kerana bagi Nikki, soal anak mungkin hanya akan dibincangkan lebih serius beberapa tahun dari sekarang.
"Saya memang teringin mempunyai seberapa ramai anak yang boleh. Tetapi, mungkin semua itu dicapai tiga tahun dari sekarang," katanya yang akan menetap di Desa Petaling selepas bergelar seorang isteri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: