PELBAGAI telahan akan timbul apabila seseorang artis memilih lelaki berstatus ‘Datuk’ untuk dijadikan calon suami termasuk yang dilabel sebagai artis materialistik.
Namun, biarpun apa orang kata, aktres cantik Noniswara tetap dengan pendiriannya untuk memilih seorang Datuk yang hanya dikenali sebagai Datuk R yang mula mengisi ruang hidupnya sejak dua tahun setengah lalu.
Dia mempunyai sebab tertentu dalam memilih Datuk yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu dan tekad untuk bernikah pada 31 Julai depan.
“Saya nampak Datuk R merupakan seorang yang baik, jujur dan merendah diri. Itu yang penting.
“Dia juga seorang yang serius serta fokus dan bukan jenis ‘menggatal’. Dia lain berbanding Datuk-Datuk yang lain. Saya rasa dia memang calon suami terbaik untuk saya.
“Tetapi kalau apa-apa berlaku selepas ini, saya tidak tahu. Saya hanya minta semoga jodoh kami berkekalan,” beritahu Noniswara yang pernah dilamar oleh orang kenamaan lain sebelum ini.
Namun, katanya, dia hanya setia pada yang satu dan tidak mungkin akan berpaling arah daripada Datuk R.
“Jika orang nak katakan yang saya ni seorang wanita materialistik, dah lama saya pilih Datuk atau Tan Sri yang pernah melamar saya sebelum ini tetapi saya bukanlah jenis yang macam tu.
“Saya kenal dia pun melalui bisnes dan memilihnya bukan kerana harta. Bagi saya, harta merupakan perkara nombor dua,” tegasnya.
Mengimbau kembali mengenai perkenalan mereka, pelakon filem Maut ini pertama kali bertemu dengan Datuk R semasa di lapangan terbang ketika melawat adiknya di London kira-kira empat tahun lalu.
“Dia yang menegur saya terlebih dahulu kerana saya kehilangan pasport waktu itu.
“Sejak dari hari itu, kami tidak berjumpa lagi sehingga selang dua tahun selepas itu, baru saya mendapat tahu yang dia ada membuat bisnes dengan bapa tiri saya.
“Semuanya berlaku secara kebetulan. Salah seorang rakan saya yang terlibat dalam bidang korporat juga membuatkan perkenalan kami menjadi semakin rapat.
“Bila terjumpa sahaja, mesti saya kami akan kata ‘Eh, jumpa lagi’. Lepas tu kami terus rapat sehingga sekarang.
“Waktu kami kenal pun, dia tidak tahu yang saya ni seorang pelakon kerana dia tidak terlalu mengikuti cerita artis tempatan. Boleh dikatakan dalam 90 peratus dia tidak mengenali artis Malaysia melainkan yang top sahaja seperti Datuk Siti Nurhaliza,” jelasnya mengenai cerita sebalik detik pertemuan mereka.
Seawalnya, kisah cinta mereka sudah mula digembar-gemburkan sejak setahun lalu namun Noniswara enggan mengulas mengenainya atas sebab tertentu.
“Waktu tu sebabnya ada perkara-perkara yang saya tak reti hendak menjawabnya lagipun kami hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan,” ulasnya.
Menurut Noniswara, ikutkan Datuk R telah melamarnya sejak dua tahun lalu lagi dan seterusnya mereka berkira-kira untuk mendirikan rumah tangga sejak awal tahun ini namun perandangan itu selalu tertangguh.
“Kami mengambil masa yang lama untuk berkahwin kerana masing-masing terpaksa menyelesaikan kerja terlebih dahulu.
“Dia pula selalu ke luar negara dan sibuk dengan anak-anaknya yang tinggal di sana,” tutur Noniswara yang tidak berselindung mengenai status ‘duda’ yang dipegang oleh Datuk R.
Datuk R, 50, mempunyai lima orang anak hasil perkongsian hidupnya dengan dua orang isteri.
Noniswara bukan sahaja tidak kisah dengan status Datuk R malah juga perbezaan umur mereka yang berbeza sebanyak 12 tahun.
Menyentuh tentang majlis perkahwinannya nanti, Noniswara berkata mereka memilih untuk melakukan majlis yang sederhana sahaja.
“Ini merupakan perkahwinan saya yang kedua, jadi dari segi persiapan tu biasa sahaja kerana kami merancang untuk melakukan majlis secara sederhana.
“Dari segi hantaran, mungkin akan ada yang asas sahaja seperti al-Quran, manisan dan persalinan. Semuanya saya akan sediakan sendiri dengan bantuan rakan-rakan.
“Bila dah nak dekat ni, saya rasa ‘tension’ juga sebab banyak perkara yang belum siap lagi. Persiapan pun baru siap dalam 10 peratus,” ujarnya yang dalam masa yang sama sedang sibuk berlakon drama bersiri ‘Kecuali Cintamu’ untuk Astro Ria.
Tambah Noniswara, ‘dugaan’ bagaikan datang serentak apabila ibunya pula sedang mengidap penyakit kanser payudara serta masalah jantung dan kini dimasukkan ke salah sebuah hospital swasta di Kelantan.
“Nasib baiklah saya mempunyai pembantu peribadi yang boleh menolong. Tetapi kalau saya tak kata ‘ok’, mereka takkan buat dan setakat membantu mana yang patut,” katanya.
Selang sehari selepas dia dan Datuk R dinikahkan, mereka akan menjalani majlis resepsi di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
“Pada 1 Ogos, kami akan membuat majlis resepsi sekadar majlis makan malam sahaja. Kami hanya menjemput dalam 500-600 tetamu yang terdiri daripada keluarga, saudara-mara dan kawan baik saya.
“Ikutkan Datuk R nak jemput ramai orang tetapi mesti beribu-ribu sebab kawan dia pun dah ramai. Jadi, kami rasa baik tak payah jemput sebab takut nanti ada yang terasa hati,” kata pelakon drama bersiri ‘Dendam’ ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: