|
|
MEMULAKAN kerjayanya sebagai hos rancangan kecantikan, Wavelength yang pernah disiarkan di TV3 pada tahun 2000, Maya Karin Roelcke atau Maya Karin mendaki perlahan-lahan untuk membina namanya sehingga ke tahap sekarang.
Sehinggakan tidak sedar bahawa anak kacukan Melayu-Jerman ini sudah hampir sedekad menceburkan diri dalam dunia hiburan tempatan.
Barangkali ramai yang tidak tahu Maya telah melalui perjalanan yang cukup panjang untuk bergelar seorang pelakon popular dan terbaik.
Siapa yang pernah lupa saat dia dikecam serta dikritik hebat tatkala pertama kali menonjolkan bakatnya dalam bidang lakonan menerusi filem Seri Dewi Malam arahan Aziz M. Osman pada tahun 2001.
Namun, Maya sedar dan menerima hakikat bahawa itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang bintang untuk mencapai kegemilangan yang berpanjangan.
Dan hari ini, Maya Karin bukanlah seperti Maya Karin yang dahulu.
Harus diakui, filem Pontianak Harum Sundal Malam arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba telah berjaya mengubah pandangan sinis terhadapnya apabila dia berupaya memberikan lakonan yang menampilkan sisi lain dirinya.
Sejak itu, dia sudah semakin matang untuk menentukan apa yang terbaik untuk dirinya sehingga dia menjadi selektif untuk setiap filemnya.
Dalam erti kata lain, nilai Maya sememangnya cukup eksklusif dan penonton serta peminat harus membayar harga untuk menyaksikan lakonannya di layar perak.
Bukan mahu mendabik dada selepas menggenggam gelaran Pelakon Wanita Terbaik Asia Pasifik tetapi bagi Maya setiap artis itu harus menjaga nilai eksklusif masing-masing.
Rasional Maya sangat mudah. Dia tidak mahu peminat dan penonton tempatan berasa jemu dan muak dengan kelibatnya menerusi hasil karya yang tidak mampu untuk dibanggakan.
Itulah yang diluahkan Maya sewaktu menjalani sesi fotografi bersama Hits di Swasana Spa, Impiana KLCC Hotel & Spa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya, biarlah dia tidak menjadi bintang yang prolifik tetapi asalkan setiap filem yang dilakonkannya mampu memberikan impak besar kepada penonton.
Untuk itu juga jelas Maya, masanya belum tiba baginya untuk menyusutkan nilai eksklusifnya dengan muncul di layar kaca seperti mana rakan seperjuangannya, Erra Fazira.
Malah, ujar anak kelahiran Beyreuth, Jerman ini, setiap artis itu mempunyai hak dan pendirian demi kemajuan karier masing-masing.
"Saya percaya apabila sampai waktunya saya akan muncul juga di televisyen tetapi buat masa ini saya selesa dengan apa yang saya lakukan.
"Cuma, saya hairan apabila orang di sekeliling saya yang lebih risaukan saya apabila saya tidak muncul di televisyen mahupun dengan filem baru.
"Kalau mahu muncul di televisyen, saya mahu karya itu benar-benar berkualiti dan memberikan kepuasan kepada saya sebagai seorang pelakon dan juga penonton. Begitu juga dengan filem kerana saya percaya penonton dan masyarakat hari ini sudah bijak berfikir.
"Biarpun hanya muncul sebuah filem dalam tempoh lima tahun, itu bukan satu masalah untuk saya kerana kalau berlakon banyak filem sekalipun tetapi lakonan kita tidak mampu diingati peminat, tidak ada gunanya juga," katanya sambil memberikan contoh idolanya yang juga bintang tersohor Indonesia, Christine Hakim yang begitu menjaga nilai eksklusifnya.
Rindu ke lokasi
Bercerita tentang perkembangan kariernya pula, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 menerusi filem Anak Halal ini memberitahu, dia kini sedang meneliti beberapa buah skrip yang dilihatnya mampu memberikan satu cabaran baru buatnya.
Katanya dengan penuh teruja, ada sebuah skrip yang begitu menarik perhatiannya dan dia sendiri tidak sabar untuk kembali ke lokasi selepas kali terakhir membintangi filem Pisau Cukur bersama Fazura yang akan ditayangkan pada 5 November depan.
Tetapi, entah di mana silapnya, tawaran itu masih lagi tertangguh dan sedikit sebanyak ia menjejaskan momentum maya untuk menyelami watak berkenaan yang masih lagi dirahsiakan itu.
"Mungkin kerana masalah ekonomi global menyebabkan mereka perlu fikir semasak-masaknya untuk meneruskan projek filem ini," ujarnya dengan maksud yang mendalam.
Biarpun tidak sibuk dengan sebarang projek filem, namun jelas Maya itu tidak bermakna dia duduk diam dan hanya bersenang-lenang di rumah.
Katanya, masa terluang itulah diambilnya untuk melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mampu dilakukannya sebelum ini seperti bercuti, memasak, mengemas rumah serta meluangkan masa di kedai buku dan membeli bahan bacaan untuk dibaca ketika di rumah.
"Saya juga melayari Internet untuk mencari bahan berita terbaru untuk memperluaskan lagi pengetahuan am saya.
"Hampir berjam-jam saya mengadap komputer kerana setiap jam, pastinya akan ada benda baru," kata bekas graduan Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing yang sememangnya bijak berbicara ini.
Dalam pada itu, Maya turut memberitahu, dia juga kini sibuk di studio rakaman untuk rakaman single dan album ketiganya yang bakal memberikan sentuhan berbeza berbanding dua album terdahulunya, Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2004).
Anak dan perkahwinan
Rasanya seperti baru sahaja aktres jelita ini mendirikan rumah tangga bersama jejaka Inggeris, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali Abdullah.
Namun, realitinya usia perkahwinannya akan genap berusia setahun pada 15 Ogos depan. Merenung jauh ke dalam mata bundarnya itu, sememangnya Maya bahagia menjalani kehidupannya sebagai seorang isteri.
Sempat diusik tentang cahaya mata sementelah dia bakal menginjak usia 30 tahun tanggal 29 Oktober depan namun, dia hanya mampu tersenyum sahaja.
"Belum masanya lagi dan saya tidak mahu terlalu merancang. Siapa yang tidak mahu anak dan begitu juga dengan saya dan Steve. Buat masa ini, saya dan Steve bahagia dengan kehidupan kami berdua dan masih belum puas lagi kami menikmati kemanisan hidup berdua," ujarnya ringkas.
Saat diminta pendapatnya tentang kisah perceraian pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim, Maya hanya mampu menghela nafas panjang sambil merenung jendela.
Ujarnya, perkara itu sedikit sebanyak menakutkannya tetapi dalam masa yang sama, dia menjelaskan apa yang berlaku adalah ditakdirkan.
Tidak mahu merujuk kepada sesiapa, Maya meluahkan pandangannya.
"Saya percaya setiap perkahwinan memang ada pasang surutnya tetapi semuanya terpulang kepada pasangan itu untuk menyelesaikan masalah dengan bijak dan tidak hanya menyalahkan takdir semata-mata," tutur Maya lagi.
Cinta baru
Mengalih bicara kepada tugasnya sebagai wajah baru produk kopi terkemuka, Nescafe sememangnya Maya begitu teruja dengan saat ditawarkan dengan tawaran itu.
Masakan tidak, sewaktu remaja dia hanya mampu berimaginasi setelah menyaksikan iklan komersial dengan lagu temanya yang menangkap halwa telinga itu.
Apatah lagi, dia yang merupakan pecinta kopi itu menyifatkan peranannya bukan sekadar untuk 'menjual' wajah dalam melariskan produk.
Tetapi kata Maya, dia melalui pengalaman serta memperolehi ilmu yang cukup berguna sewaktu berpeluang melawat ladang kopi dan menjalani penggambaran iklan di Chiang Mai, Thailand.
"Apa sahaja pengalaman yang telah saya timba akan saya kongsi dengan masyarakat sewaktu promosi dan juga menerusi iklan. Mereka perlu tahu kopi juga mempunyai khasiatnya tersendiri di mana ia mengandungi anti oksida yang mampu melambatkan proses penuaan," ujarnya yang mengikat kontrak selama setahun bersama Nescafe.
Stailo itu subjektif
Maya sememangnya cukup dikenali sebagai antara artis yang bijak tampil dengan gaya yang cukup menawan.
Maka dengan itu, tidak hairanlah dia dikenali sebagai antara artis yang tidak pernah tewas dengan gaya yang cukup mempesonakan sewaktu menghadiri majlis anugerah.
Untuk itu juga duta L'Oreal ini berjaya membolosi senarai lima calon terbaik menerusi kategori Stylo Award dalam Anugerah Shout! yang bakal berlangsung pada 17 Julai ini.
Dalam kategori itu, Maya bakal bersaing hebat dengan empat calon hebat lain iaitu Dynas Mokhtar, Faizal Tahir, Marion Counter dan Sazzy Falak.
Terharu dan berterima kasih dengan pencalonan tersebut, walau bagaimanapun Maya enggan digelar sebagai seorang fashonista.
"Gelaran itu terlalu berat bagi saya kerana saya bukan seorang yang gemar berfesyen setiap masa. Pada saya, tampil ringkas dengan solekan nipis pun boleh dianggap sebagai stailo.
"Tetapi itu tidak bermakna saya tidak menitik beratkan penampilan diri. Biarlah kena pada tempat dan masa," katanya yang bakal ke Melbourne, Australia bulan depan bagi menghadiri persidangan alam sekitar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: