Tuesday, June 30, 2009

'Terkejut 'boyfriend' meninggal'


JIKA orang lain memuja Michael Jackson, 50, dari kejauhan, Datin Nora Shamsudin, 49, serta keluarga pula dapat berbual mesra dan bergambar dengan raja pop dunia itu ketika Michael datang mengadakan dua konsertnya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 dan 29 Oktober 1996.

Nora yang juga pelakon terkenal era 70-an berkata, dia sama sekali tidak menyangka dapat bertemu dengan megastar itu. Namun rezekinya apabila Pengarah Hotel Concorde Kuala Lumpur, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir (Jojo) berjaya menjemput Michael mengadakan konsertnya di sini.

Justeru, Nora yang membesar dengan lagu Michael terkejut apabila adiknya memberitahu Michael sudah meninggal dunia kerana masalah jantung pada Jumaat lalu.

"Oleh kerana saya peminat fanatik Michael, adik saya selalu merujuk Michael 'boyfriend saya' dan pagi itu dia beritahu, 'kak Nor, boyfriend kak Nor dah meninggal.'

"Terkejut saya kerana memang selama ini kehidupannya diselubungi kontroversi, namun saya yang pernah berjumpa dan berbual dengannya tidak menyangka beliau akan pergi buat selama-lamanya.

"Dapat bertemu Michael kenangan yang saya dan anak-anak tidak boleh lupakan. Bukan senang hendak merapatinya kerana dia sentiasa dikawal pengawal peribadi dan mereka yang menguruskan urusan hariannya.

"Sebelum konsert itu dapat diadakan di Stadium Merdeka, Jojo menghadapi masalah mendapatkan tempat.

"Suami saya (Datuk Abdul Rashid Maidin) dengan bantuan beberapa pihak akhirnya berjaya mendapatkan kebenaran mengadakan konsert itu Stadium Merdeka.

"Selama empat hari berada di sini, dia menginap di Hotel Concorde dan kerana suami juga terbabit dalam konsert itu, maka kami sekeluarga turut menginap di hotel itu di bilik setingkat dan sederet dengan bilik penginapan beliau.

"Walaupun hanya dapat berjumpa Michael sekejap-sekejap, tetapi seronok kerana bukan semua orang dapat peluang seperti itu. Hendak berjumpa dengannya susah, kena perlu melalui alat pengimbas.



"Saya tengok Michael baik orangnya dan dia bercakap dengan suara yang lembut, tetapi dia tidak pandang muka orang yang bercakap dengannya kerana dia pemalu. Dia penyayang terutama terhadap kanak-kanak dan mereka yang kurang bernasib baik.



"Dia melayan mereka seperti anaknya sendiri. Ketika itu penyanyi yang wajahnya cacat, Siti Musliha ada sama dan saya tengok dia sangat mengambil berat mengenai penyanyi itu.

"Anak saya yang nombor dua (Mohd Wahi) pernah bertanya mengenai hidungnya. Dia sedikit pun tidak marah, malah menjawab dengan baik yang hidungnya bermasalah. Ketika dia keluar dari hotel dan melihat anak kecil, dia pergi mendapatkan anak itu dan mendukungnya.

"Begitu juga ketika dia mengadakan persembahan. Apabila melihat pengawal mengawal ketat depan pentas dan tidak membenarkan kanak-kanak naik pentas, dia turun bertemu mereka.

"Saya tidak percaya apabila mendengar dakwaan dia mencabul kehormatan kanak-kanak. Orang macam dia, sesiapa saja akan mengambil kesempatan ke atasnya," katanya.

Dalam kemasyhurannya itu, jelas Nora, Michael sebenarnya kesunyian dan sangat merindui zaman kanak-kanaknya.

Jelas Nora, apabila keseorangan dia banyak termenung dan apabila dia tersenyum membayangkan raut wajahnya yang bermasalah.

Dia sebenarnya kesepian dan kehilangan sesuatu dalam hidupnya, katanya.

"Ada wang dan mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia, tetapi sebenarnya dia berada dalam dunianya sendiri. Waktu lapang dia suka bermain Play Station dan apa saja permainan kanak-kanak.

"Anak saya dapat bermain dengannya dan suka permainan tembak-tembak. Dia juga menghadiahkan anak saya dengan permainan yang dibeli di Toys 'R' Us.

"Populariti yang diraihnya sejak kecil membuatkan dia tidak dapat melalui zaman kanak-kanak dan remajanya seperti orang lain. Dia sangat baik, tetapi kehidupan dan gerak-gerinya dikawal ketat orang sekeliling.

"Sepanjang empat hari berada di sini juga, Michael menggunakan MPV Estima saya (BDR 4). Bumbung kenderaan itu boleh dibuka dan Michael teringin sangat untuk melihat peminatnya dari bumbung MPV itu, tetapi dihalang pengawal kerana bimbangkan keselamatannya.

"Ketika berada di hotel, Michael selalu berdiri di tepi tingkap biliknya di tingkat 18 untuk melambai tangan kepada peminat.

"Sehari selepas dia balik ke Amerika Syarikat, pendingin hawa kereta itu meletup kerana selama dia berada dalam kenderaan itu, pendingin hawa itu tidak pernah ditutup. Setahun selepas konsert itu diadakan, kami menjual kereta itu.

"Saya juga minta Den Wahab jahitkan sepasang baju Melayu hitam untuknya dan baju itu siap dalam masa sehari. Saya turut menghadiahkan dia selendang untuk dipadankan bersama baju itu," katanya.

Nora juga teringat Michael suka makanan Malaysia terutama tom yam.

Katanya, penyanyi yang popular dengan tarian robot dan moonwalk itu susah hendak tidur dan memerlukan doktor memberi suntikan ubat tidur kepadanya.

"Mengenai agamanya, saya tidak pasti, tetapi Jojo ada cerita yang Michael pernah berjumpa Yusuf Islam berbincang mengenai Islam, tetapi tiada yang memberi galakan kepadanya.

"Jojo pun banyak beri nasihat supaya dia memeluk Islam kerana melihatkan perwatakannya yang lemah-lembut, Islam paling sesuai dengannya. Saya berharap dia meninggal dalam Islam dan dikebumikan cara Islam," katanya.

3 comments:

  1. hahahahaaa.....gilo ko apo datin nih...

    ReplyDelete
  2. kau la yg gilo,,,x bolih nengok org sonang..bahalol

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: