KETIKA saat gemilang Farrah bersama dua rakannya, Jaclyn Smith (kiri) dan Kate Jackson dalam siri TV popular tahun 1970-an, Charlie's Angels. |
Farrah Fawcett, bintang yang popular menerusi siri televisyen Charlie's Angel, hembus nafas terakhir Khamis lalu
TIDAK sempat melafazkan ikrar perkahwinan, maut terlebih dulu menjemputnya lalu memisahkan kasih aktres berambut perang yang cukup popular di era 70-an, Farrah Fawcett dengan kekasih hatinya Ryan O’Neal.
Hasrat hati O’Neal untuk memperisterikan Farrah yang baru diluahkan awal minggu ini punah apabila wanita yang dikenali sejak awal 80-an itu menghembuskan nafas terakhir setelah dua tahun setengah bertarung melawan kanser dubur dan hati.
Meskipun Farrah kelihatan cukup kuat melawan penyakitnya itu, namun takdir sudah tertulis pelakon yang mula melonjak naik dalam dunia lakonan walaupun hanya semusim memegang watak Jill Munroe untuk siri televisyen penyiasatan popular tahun 1976, Charlie’s Angles itu mati pada usia 62 tahun, jam 9.30 pagi, Khamis lalu.
Farrah yang disahkan menghidap kanser dubur pada 2006 pernah dilaporkan sembuh pada awal 2007 selepas menjalani pembuangan tumor tetapi ia kembali berulang beberapa bulan selepas itu.
Farrah meninggalkan keluarga, kekasih serta satu-satu warisnya, Redmond O’Neal, 24, hasil cintanya bersama Ryan yang hadir dalam hidup mereka selepas tiga tahun menjalin hubungan intim. Namun, yang menyedihkan anak kesayangannya tidak berada di sisi ketika aktres itu menghembuskan nafas terakhir kerana Redmond sedang menjalani hukuman penjara berikutan melanggar syarat pemerhatian polis berhubung kesalahan dadah.
Farrah Fawcett ketika di puncak kejayannya sebagai pelakon. |
Redmond dibenarkan melawat ibunya pada 25 April lalu selama tiga jam. Ketika melawat ibunya, dia berpakaian penjara dan tangannya dilihat bergari serta dilihat menangis dalam dokumentari Farrah’s Story yang mengisahkan perjuangan Farrah memerangi penyakit yang disifatkan kekasihnya sebagai musuh dalam selimut itu.
Melihat keadaan ibunya yang semakin kritikal, Redmond menyatakan kebimbangan tidak mahu berada di penjara ketika ibunya menghadapi kematian, namun kebimbangan Redmond benar-benar menjadi kenyataan.
Ketika menghembuskan nafas terakhir, hanya Ryan dan sahabat baik Farrah, Alana Stewart yang juga penerbit dokumentari Farrah’ Story berada di sisi menghadapi berita yang paling menyedihkan itu.
“Setelah sekian lama bertarung memerangi kanser, Farrah akhirnya pergi meninggalkan kita. Walaupun ini adalah saat yang sukar buat keluarga dan teman-teman, namun segala kenangan manis bersamanya akan terus kekal dalam ingatan kami. Begitu juga kegembiraan yang dibawakan kepada peminatnya di seluruh dunia,” kata O’Neal.
Kenangan bersama Farrah pastinya tidak dapat dilupakan O’Neal, apatah lagi di saat akhir, Farrah menyatakan persetujuan untuk menjadi suri dalam hidup lelaki itu. Malah, O’Neal pernah menyatakan kebimbangannya kehilangan wanita dicintai pada Mei lalu.
“Seminggu lalu, Farah bertanya adakah dia akan pulih dan saya menjawab, ya! Sekiranya dia tidak pulih, saya akan pergi bersamanya,” begitu kuat kasih O’Neal terhadap wanita itu.
Pasangan itu berkenalan pada awal 80-an, namun hubungan mereka putus pada 1997. Bagaimanapun, selepas itu hubungan mereka pasang dan surut. Sebelum menjalin hubungan dengan lelaki yang mendapat gelaran simbol seks pada 1970, Farrah pernah berkahwin dengan aktor Lee Majors pada 1973 tetapi perkahwinan mereka hanya mampu bertahan sembilan tahun.
Alana Stewart yang berada di sisinya ketika Farrah menutup mata untuk selama-lamanya berkata, tiada kata dapat meluahkan kesedihan di atas kehilangan teman baiknya itu. Selama 30 tahun, Farrah bukan sekadar teman tetapi sudah dianggap seperti kakaknya.
“Walaupun saya akan merinduinya tetapi saya tahu Farrah akan sentiasa berada di sisi saya. Dia juga bagaikan malaikat yang sentiasa berada di bahu mereka yang menyayanginya.
“Farrah yang saya kenali adalah seorang yang sangat kuat semangat. Dia mahu sangat menghasilkan dokumentari mengenai kisah penyakitnya itu semata-mata untuk menyampaikan mesej kepada penonton supaya jangan mudah mengalah dan terus melawannya,” kata Stewart.
Program Farrah’s Story yang mula menemui penonton sejak 15 Mei lalu itu mencatat jumlah penonton yang cukup memberangsangkan iaitu sekitar sembilan juta penonton.
INFO:
- Mendiang Farrah Fawcett yang dilahirkan di Corpus Christi, Texas memulakan kerjayanya terlebih dulu sebagai model dan pelakon televisyen . Kejelitaan yang dimiliki wanita ini mula dikesan sejak bergelar pelajar di University Of Texas di Austin, di mana dia menuntut dalam bidang mikrobiologi dan kesenian apabila memenangi pertandingan ratu cantik anjuran kampusnya.
- Setelah tamat pengajian, Farrah yang berpindah ke Los Angeles mendapat pelbagai tawaran untuk banyak komersial televisyen termasuk ubat gigi Ultra Brite dan syampu Wella Balsam. Dia turut muncul sebagai penghias muka depan majalah sebelum kariernya dalam dunia lakonan bermula pada pertengahan tahun 60-an antaranya untuk siri I Dream Of Jeannie, The Flying Nun dan The Partridge Family.
- Pembabitannya dalam siri televisyen Charlie’s Angels akhirnya berjaya melonjakkan nama Farrah kerana kejelitaan serta keseksiannya. Baju mandi warna merah yang digayakan untuk sebuah poster menjadi satu fenomena hebat pada era 70-an yang turut melonjakkan nama Farrah. Keseksiannya itu menjadikan wanita ini kegilaan ramai lelaki. Tidak hairanlah poster baju mandi yang digayakan berjaya terjual sehingga jutaan salinan.
- Selepas tidak lagi membintangi Charlie’s Angles kerana memberi alasan mahu menumpukan perhatian kepada rumah tangannya bersama Majors kerana suaminya itu mahu dia berada di rumah menyambut kepulangannya selepas seharian bekerja keras di studio, kerjaya Farrah dalam bidang lakonan mula merudum. Pembabitannya dalam filem Somebody Killed Her Husband selepas itu juga tidak berjaya melonjakkan nama Farrah.
- Kerjaya bintang yang turut digelar simbol seks itu dalam dunia lakonan mengalami turun naik. Sekitar 80-an, nama wanita berambut perang yang menjadi ikutan ramai wanita itu kembali melonjak selepas membintangi telefilem, The Burning Bed, kisah isteri yang merancang pembunuhan suaminya ketika sedang tidur. Berikutan itu, dia menerima banyak pencalonannya dan salah satu darinya untuk Anugerah Emmy pada 1984.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: