|
|
SEORANG teman di Hotlink bertanya, siapa agaknya artis Indonesia paling sesuai mereka bawa ke Malaysia untuk menjayakan konsert mini sempena penghargaan syarikat telekomunikasi berkenaan kepada pelanggan mereka. |
Tanpa ragu-ragu, nama Rossa dan kumpulan Ungu dimaklumkan sebagai pilihan paling sesuai berdasarkan reputasi mereka sebagai penyanyi dan kumpulan pop paling popular di Indonesia ketika ini selain sambutan konsert mereka yang sering 'sold out.'
Perbualan kira-kira tiga bulan lalu terhenti setakat itu saja sehinggalah pada 22 Jun lepas, satu sidang media Konsert Mini Cerita Cinta Rossa anjuran Hotlink di Tun Lanang 1 Ballroom, Hotel The Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur diadakan.
Dan seperti dijangka, dengan bersandarkan nama hebat seperti Rossa, konsert anjuran Hotlink ini pastinya akan berjaya.
Ia terbukti apabila perkarangan KL Live, Life Centre Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, yang menjadi lokasi persembahan, mula dibanjiri ratusan peminat meskipun jam baru melewati 7.15 malam.
Sebahagiannya terpaksa berbaris di tangga bagi pemeriksaan tiket sementara yang berada di dalam lebih ramai. Rossa hanya muncul di pentas kira-kira jam 9 malam sebaik persembahan kumpulan Sofaz sebagai penyanyi jemputan.
Membuka persembahan dengan lagu Malam Pertama dan Seribu Malam, Rossa atau namanya sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 31, secara tiba-tiba sebak.
"Sungguh luar biasa! Apakah sebahagian orang di Kuala Lumpur semuanya berhimpun di sini untuk menyaksikan persembahan saya?.
"Biar apapun dugaan atau masalah yang saya sedang jalani, namun seperkara yang sentiasa membuatkan saya sentiasa bersemangat melakukan persembahan adalah kerana saya tahu peminat semua menyayangi saya.
"Saya berharap anda semua terus menyokong karier saya sampai kapan pun," kata Rossa yang terharu dengan kehadiran 3,000 penonton yang membanjiri konsertnya.
Persembahan diteruskan dengan dendangan lagu hit seperti Terlalu Cinta, Aku Bukan Untukmu, Hati Yang Terpilih dan Nada-Nada Cinta.
Sesuai dengan tema konsert, setiap lagu yang disampaikan mewakili pengalaman cinta berbeza-beza. Putus cinta, dilamun cinta, cinta terhalang, sedang ingin bercinta, jatuh cinta, mabuk cinta, cinta agung dan dendam kerana cinta, mana satu pengalaman cinta anda? Pokoknya, cinta itu memang 'universal'.
Semuanya dibawakan penyanyi mirip wajah Datuk Siti Nurhaliza dengan penuh 'feel' dan penceritaan cukup menarik menerusi 18 lagu popularnya sepanjang 12 tahun melayari dunia seni.
Antaranya, pengalaman cinta Rossa yang dikongsi bersama peminat sebaik dia melagukan Hati Yang Terpilih ciptaan Melly Goeslaw.
"Sekitar tahun 2000, saya berpacaran dengan seorang teman lebih lima tahun. Lelaki itu bukan Yoyo (suami Rossa) dan Irfan Gunawan juga bukan. Dia adalah teman lelaki saya sewaktu di kolej.
"Selepas lima tahun bercinta, kami memutuskan hubungan dan saya sayang amat sama dia. Justeru, saya minta Melly buatkan satu lagu mengenai dia supaya apabila dia dengar nanti dia akan tahu lagu itu sebenarnya ditujukan kepadanya.
"Tidak lama selepas itu, Hati Yang Terpilih menjadi lagu yang cukup popular dan kerap diputarkan di radio. Lalu saya pun menghubunginya dan bertanya sama ada dia sudah mendengar atau tidak lagu itu.
"Katanya, sudah namun jawapan yang diberi cukup pantas dan nada suaranya serius. Saya jadi pelik dengan sikapnya itu.
"Kemudian saya terdengar ada suara wanita di belakang memanggilnya 'yang ayuh makan siang.' Sejak dari itu saya tidak pernah lagi menghubunginya," kata Rossa disambut tawa penonton.
Kehebatan vokal penyanyi genit ini sememangnya diakui sejak kali pertama melebarkan karier seninya di Malaysia melalui album Tegar pada 1999 dan melalui album itu juga, kerjaya nyanyiannya terus maju di negara ini.
Pada malam itu, dia yang mengenakan tiga persalinan, turut membawa penonton mengimbau saat kali pertama hadir ke Malaysia melalui lagu Tegar yang disampaikan dengan cukup bertenaga.
Sesudah menyanyikan lagu itu, tiga peminat diundang naik pentas, tetapi siapa yang mampu menyanyikan lagunya saja dipilih untuk menari bersama.
Justeru, Rossa memilih Salahudin dan Ihsan yang mengiringinya menari ketika menyampaikan lagu Bila Salah.
Rossa yang diiringi enam pemuzik handalan termasuk seorang penyanyi latar, terus menghangatkan persembahan dengan lagu Cerita Cinta, Tegar dan Hati Yang Kau Sakiti.
Namun, saat menyampaikan lagu Hati Yang Kau Sakiti terbias emosi pada nyanyian penyanyi bersuara lantang ini yang tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.
Mungkinkah kerana terlalu menghayati lagu itu atau sebenarnya Rossa tersentuh dengan bait-bait lirik lagu itu yang menggambarkan kekecewaan sedang dialaminya ketika ini.
Apatah lagi seperti diketahui, peminat Rossa sedang berhadapan masalah rumah tangga dengan suaminya, Yoyo, pemain dram kumpulan Padi sehingga mengambil keputusan berpisah (tidak duduk sebumbung) sejak setahun lalu.
Pasangan ini berkahwin pada 13 Mac 2004 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Rizky Langit Ramadhan yang lahir 3 Oktober 2005.
Enggan emosi menguasai diri tambahan pula sebelum ini pernah memaklumkan kepada rakan media dia tidak mahu menangis sewaktu menjayakan konsert itu, meneruskan persembahan dengan lagu rancak, Hey Ladies, single terbaru yang semakin popular di Malaysia.
Lebih dari sebuah persembahan, Rossa turut menunaikan janjinya malam itu dengan membawa pasangan duetnya Pasha, vokalis kumpulan Ungu, berpadu suara melagukan Tercipta Untukku dan Terlanjur Cinta.
Saat penonton mendengar suara Pasha yang masih menyorot di belakang pentas, ruang legar Life Centre gamat dengan jeritan peminat.
Suasana bertambah bingit saat jari-jemari penyanyi digenggam Pasha yang akhirnya merangkul Rossa dalam dakapannya sebaik selesai menyanyikan lagu itu.
"Sebelum menjayakan persembahan di Kuala Lumpur, konsert Cerita Cinta Rossa terlebih dulu dipentaskan di Indonesia di tujuh buah kota.
"Namun, kami sering kali tidak berkesempatan membuat persembahan bersama kerana jadual Pasha sama bandnya Ungu terlalu padat. Maka, tempat Pasha itu selalunya digantikan penyanyi lelaki lain.
"Namun, peminat di sini cukup bertuah kerana malam ini dapat menyaksikan pasangan duet terbaik saya, Pasha menyanyi bersama saya di konsert ini.
"Gara-gara keserasian kami menyanyi, ada yang menggosipkan saya dan Pasha bercinta walhal kami sudah lama bersahabat," kata Rossa sambil memandang Pasha yang mengiyakan kata-katanya itu.
Lebih satu setengah jam berlalu, persembahan Rossa hampir sampai ke penghujungnya. Sebelum melabuhkan tirai tepat jam 11.30 malam menerusi lagu Sakura, dia terlebih dulu memperdengarkan vokal hebatnya buat kali terakhir dengan lagu Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Pudar.
Sementara itu, sehari selepas mengadakan persembahan Rossa, yang tiba di Malaysia sejak 22 Jun lalu, sempat meluangkan masa menyaksikan Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada malam ketiga, Ahad lalu. Sahabat baik Siti, Kris Dayanti juga terbang dari Jakarta untuk hadir memberi sokongan pada Siti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: