Filem Syurga Cinta yang ditayangkan baru-baru ini banyak memberikan pengalaman baru kepada para pendukung watak di dalamnya. Mereka dipertemukan kemudian membina satu kesatuan untuk menghidupkan keperluan lakon Syurga Cinta arahan Ahmad Idham.
Memang lumrahnya, setiap kali terlibat dalam sesuatu produksi sama ada filem atau drama, pelakon yang baik akan merasakan pengalaman mereka bertambah. Ini kerana setiap lakonan yang ditekuni ada perbezaan dengan yang sebelumnya.
Jadi, berlakon juga satu proses pembangunan diri dan karier sekiranya setiap pelakon mengambil berat kepada aspek-aspek kerjasama dan memahami watak yang mereka tangani.
Pelakon berusia 27 tahun yang terkenal dengan watak stereotaip, Awal Ashari misalnya sebelum ini belum pernah berlakon watak dalam seram.
Kemudian dalam filem Nyiang Rapik yang juga arahan Ahmad Idham boleh dijadikan kayu pengukur kepada Awal untuk menjadi versatil. Letih dengan watak perayu wanita lantas Awal mengambil langkah drastik untuk menjadi lebih hebat.
"Watak dalam filem seram memang susah. Saya kena kaji semua perkara bagi ia menjadi lebih realistik. Tak mahulah kalau orang cakap Awal ni kayulah, muka tiada perasaan dan macam-macam lagi benda negatif," katanya.
Bagaimanapun, Awal turut menafikan dia sudah menemui watak idamannya. Dia juga mengiyakan masih belum puas berlakon.
Dalam filem Syurga Cinta, Awal mengakui sedang mempelajari lebih mendalam tentang selok belok agama sebagai pengukuhan daripada apa yang dipelajari daripada seorang ustaz semasa penggambaran.
Awal memberitahu, dia sanggup untuk memikul tiga tugas pada satu masa asalkan lakonannya itu dapat memuaskan dirinya serta memberi kesan kepada penonton.
"Saya sanggup lakukan perkara itu. Asalkan ia benar-benar boleh mencabar dan memberi tekanan kepada diri saya. Sama ada untuk membahagikan masa atau apa sekali pun, saya yakin dapat melakukannya," jelas Awal yang sedang menjalani penggambaran drama 3 Serumah terbitan Astro Warna.
Awal juga menzahirkan kegembiraannya apabila digandingan bersama Nora Danish yang merupakan rakannya semasa berlakon dalam drama bersiri melakonkan watak Puteri tidak lama dahulu.
Selamat pagi cikgu
Anak pegawai polis ini sedang menjalani latihan mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah sejak 15 Jun lalu. Ia dilakukan selama tiga bulan bagi melengkapi keperluan bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dengan Sains di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ini juga merupakan latihan mengajar siri pertama sepanjang tempoh empat tahun menuntut pengajian di universiti itu. Ia perlu dilakukan dengan rapi agar penyelia dan guru pembimbing dapat memberi tunjuk ajar dan komen yang membina.
"Di sekolah itu, Heliza mengajar mata pelajaran biologi dan sains untuk pelajar tingkatan empat serta pendidikan moral (tingkatan tiga). Ini kerana kami perlu melengkapkan 12 jam kredit dalam tempoh seminggu," katanya.
Kata gadis berbintang Aquarius ini, dia perlu memastikan sasarannya untuk mendapat senarai dekan tercapai untuk semester ini yang mewakili sembilan jam kredit.
Heliza juga perlu memastikan persediaan untuk mengajar setiap hari sentiasa lengkap. Ia termasuk alat bantu mengajar yang digunakan sepanjang menyampaikan pengajarannya di kelas. Katanya, penyelia akan datang membuat penilaian secara mengejut.
Ditanya adakah di kalangan pelajar mengenalinya sebagai penyanyi, katanya, " Entahlah, Heliza pun tak pasti. Mana yang kenal, mesti dia tegur dan cakap Selamat Pagi Cikgu,."
Bercerita tentang telemovie Doa Ibu yang akan ditayangkan di Astro bulan depan, Heliza berpeluang untuk memegang watak heroin.
Katanya, gandingan bersama Jehan Miskin, Wan Maimunah dan Delimawati itu memang sedih.
"Saya bersyukur kerana ada penerbit yang percaya dengan bakat yang ada pada diri saya. Saya juga bersedia untuk menerima sebarang komen," katanya sambil menafikan sebarang gosip mengenai cinta di lokasi ini.
Bercakap tidak henti
Muhammad Hadziq Mohd. Hazem, 8, (Hadziq) yang bakatnya dicungkil menerusi program kanak-kanak, Tom Tom Bak sejak berusia empat tahun ini sememangnya tidak membosankan.
Kepetahan, sikap keanak-anakan dan tidak mengenal erti letih bercakap mencuit hati sesiapa sahaja.
Ibunya, Aqurina Azleen Azizul, 35, mengakui kadangkala tidak dapat mengawal tingkah laku anak sulungnya itu yang hiperaktif apabila nasihatnya tidak didengari.
Hadziq yang bijak itu kerap kali berubah-ubah minatnya bergantung kepada pengaruh terdekatnya.
"Hadziq rapat dengan Awal sejak berlakon bersama dalam filem Syurga Cinta dan sekarang dia adalah idolanya. Jadi sikit-sikit Abang Awal," katanya.
Diajukan soalan kepada Hadziq tentang cita-citanya apabila sudah besar nanti, dia mahu menjadi angkasawan kerana amat meminati Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: