Tuesday, June 30, 2009

Soseh Soseh: Giliran Damian, Nadia pula


TAHUN ini memang ramai artis tempatan memilih untuk menamatkan zaman bujang mereka terutama sepanjang Jun. Antaranya Catriona Ross, Maya Matahari, Nikki Palikat dan Dang Suria Zainordin.

Gitaris Meet Uncle Hussain (MUH), Taja pula melangsungkan pertunangan dengan Nafisah Mohd Khir, Jumaat lalu. SS difahamkan, mereka bertunang selama setahun.

Berita terbaru SS dengar, anggota kumpulan VE yang juga komposer terkenal yang pernah mencipta lagu rancak, Siti Situ Sana Sini yang dimuatkan dalam album Transkripsi Datuk Siti Nurhaliza, Damian Mikhail Seet, 31, dan pasangannya, Nadia Dayana Mohd Yahya (Nadia), 21, akan melangsungkan hari bersejarah mereka pada Oktober ini. Menurut rakan SS, pasangan ini akan mengadakan majlis resepsi mereka pada 3 Oktober ini di Tumasek Beach, Hotel Avillion, Port Dickson. Kata rakan SS, Damian dan pasangannya memilih konsep perkahwinan di tepi pantai pada hari bersejarahnya itu.

Damian juga dikatakan sudah membayar deposit yang juga sebahagian daripada kos majlis resepsinya di pusat peranginan terkemuka itu yang membabitkan kos RM30,000. Tidak cukup dengan itu, mereka sudah menempah 20 bilik termasuk chalet di atas air untuk saudara-mara terdekat membabitkan kedua belah pihak. Khabarnya, pasangan ini mengundang band khas untuk menghiburkan kira-kira 120 tetamu pada malam itu. Bagaimanapun, SS tidak dapat maklumat pula bilakah pasangan ini melangsungkan majlis pernikahan mereka sama ada di masjid ataupun di kediaman bakal pengantin perempuan di Kota Damansara.

Cuma yang SS tahu, Damian yang kini mempertaruhkan single terbaru solonya, Jelita sudahpun mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu yang juga bulan sama ketika dia memeluk agama Islam.

Apapun, sekalung tahniah warga SS ucapkan kepada Damian dan Nadia kerana bakal membina masjid yang diimpikan selama ini.

Selepas berita ini tersiar, SS harapkan, Damian akan melayangkan kad undangan perkahwinan mereka kepada warga SS supaya kami dapat merakamkan gambar hari bersejarahnya itu buat pembaca setia akhbar ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: