Tuesday, June 30, 2009

Gambaran malaikat dalam IYT


PIHAK penganjur, tenaga kerja dan para pelakon Intan Yang Tercanai selepas sidang akhbar teater itu di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SASTERAWAN Negara ke-7, Datuk Noordin Hassan tidak pernah berbicara kosong dalam setiap karya-karya hasil nukilannya dengan menyelitkan pelbagai mesej yang tersurat dan tersirat di sebaliknya.

Ia termasuklah juga menerusi skrip teater perdana Intan Yang Tercanai (IYT) tulisan beliau yang akan dipentaskan di Dewan Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur (KL) pada 8 hingga 12 Julai ini pukul 8 malam.

Teater yang akan diarahkan oleh aktivis teater, A. Wahab Hamzah itu misalnya, sarat dengan nilai-nilai erti kemanusiaan sejagat yang intipatinya cukup kuat dibaluti dengan elemen-elemen berunsur keagamaan di dalamnya.

Malah, bagi menguatkan lagi gaya penceritaan IYT, tiga watak malaikat yang dikenali sebagai Lembaga Suci 1, Lembaga Suci II dan Lembaga Suci III bakal dimunculkan menerusi teater terbitan DBP yang ke-53 itu.

A. Wahab ketika ditemui pada pelancaran IYT menjelaskan, kemunculan tiga watak malaikat yang akan dilakonkan oleh Fauziah Ahmad Daud, Juhara Ayob dan Norzizi Zulkifli itu merupakan suatu tafsiran berdasarkan naskhah tersebut.

"Dalam skrip IYT tiga watak itu disebut sebagai Lembaga Suci dan bukannya malaikat. Tetapi kita boleh tafsirkan tiga watak itu adalah malaikat. Ia merujuk kepada 'sodom wa gamurah' yang disebut dalam naskhah ini.

"Petikan itu mengaitkan kepada zaman Nabi Luth di mana ketika itu malaikat pernah menyamar sebagai manusia. Dalam naskhah Mana Setangginya, Cikgu Noordin juga ada menyentuh tentang zaman berlakunya peristiwa itu.

"Bagaimanapun ini bukannya tafsiran malaikat yang secara langsung atau tepat kerana kita pun tidak tahu bagaimana rupa mereka (malaikat) yang sebenar," katanya selepas sidang media IYT di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Difahamkan, tiga pelakon yang akan melakonkan watak malaikat itu akan muncul di pentas bersama dialog-dialog serta kostum masing-masing yang direka khas pada pementasan dengan kos mencecah RM200,000 itu.

Fauziah Ahmad Daud yang melakonkan watak Lembaga Suci I tidak menafikan berasa teruja dan mencabar apabila diberi peluang melakonkan watak itu biarpun ia bukanlah watak utama dalam teater lakonannya selepas Deejavu pada 2004.

"Saya menerima tawaran berlakon dalam IYT selepas membaca skripnya. Bukan itu sahaja, malah pengarah serta para pelakon yang terlibat juga membuat saya teruja.

"Malah, saya juga tidak dapat bayangkan bagaimana gambaran jemaah haji yang berdepan dengan maut ketika tragedi di Terowong al-Mu'aysim di Mekah yang cuba digambarkan dalam teater ini," komennya.

Fauziah atau Ogy menyifatkan watak-watak malaikat yang cuba ditonjolkan menerusi IYT merupakan salah satu rencah bagi mengumpil banyak mesej yang tersirat di sebalik naskhah karya Cikgu Noordin itu.

Kata anak seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud ini, mesej yang kebanyakkannya bertunjangkan agama itu secara tidak langsung turut mengaitkan isu-isu semasa yang masih berlaku dalam masyarakat hari ini.

"Contohnya, isu bomoh ataupun penggunaan susuk juga diselitkan dalam teater ini. Bagi saya, Cikgu Noordin peka dengan isu-isu semasa yang cuba dimuatkannya dalam naskhah ini. Semuanya saling kait mengait satu sama lain.

"Sebagai pelakon kami harus menggali maksud yang tersirat di sebaliknya. Proses penggalian masih terus berjalan, misalnya ketika latihan supaya watak yang berlakon dan bukannya pelakon yang berlakon," tuturnya penuh makna.

Tambahnya, IYT yang banyak mengetengahkan soal hubungan antara manusia dan Tuhan itu tidak seharusnya dilepaskan tontonannya begitu sahaja kerana ini merupakan karya terbaru Noordin selepas Mana Setanggi yang dipentaskan di Istana Budaya, KL pada 18 hingga 21 Jun lalu.

Selain Ogy, Juhara dan Norzizi, pelakon yang akan menjayakan pementasan IYT antaranya Mardiana Alwi menerusi watak Ungku Intan Anis, Arwindran Kalaivanan (Danial Sundaram), Geethanjali Gausillia Kathirvalu (Sandha) dan Rasdi Daud (Ustaz Fadzil).

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Termizi Abd. Aziz, Pengarah Jabatan Sastera DBP, Izzah Abdul Aziz dan para tenaga kerja di sebalik tabir pementasan teater tersebut.

Selaku Ketua Pengarah DBP pula, Termizi menyifatkan pementasan IYT seakan-akan berjalan seiring dengan dewan itu yang telah menyambut ulang tahun ke-53 penubuhannya pada 22 Jun lalu.

Ini kerana katanya, IYT merupakan pementasan teater ke-53 terbitan DBP biarpun pihaknya tidak mengaut keuntungan daripada pementasan yang diadakan itu kerana ia merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong bidang teater di negara ini.

"Kos untuk menerbitkan teater ini menelan belanja sehingga RM200,000. Sedangkan harga tiket RM20 yang kami kenakan sepanjang pementasan ini masih belum mampu menampung kos penganjuran teater ini.

"Apatah lagi dengan kapasiti di dewan Tun Syed Nasir yang hanya mampu menampung sekitar 400 penonton juga belum memadai untuk mengaut keuntungan daripada lima hari pementasan itu diadakan kelak," ujarnya.

Tiket untuk menyaksikan pementasan dengan durasi hampir dua jam ini berharga RM20 dan RM10 (untuk warga emas dan pelajar). Sebarang maklumat sila layari laman sesawang http://www.ticket2u.biz

Sinopsis Intan Yang Tercanai:

TEATER ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Ungku Intan Anis yang bukan sahaja bijak tetapi menawan.

Intan bersahabat dengan Danial Sundaram sejak di bangku sekolah dan terus akrab ketika mereka melanjutkan pelajaran di luar negara.

Danial tidak mempunyai fahaman agama yang jelas walaupun dia pernah mengarak kavadi semasa perayaan Thaipusam semata-mata memenuhi nazar ibunya.

Keperibadian Intan yang luar biasa termasuklah terlibat dalam kerja-kerja amal di Guatemala dan negara-negara Afrika telah menyentuh hati Danial. Sayangnya, sewaktu berkunjung ke Mekah, Intan telah hilang dalam tragedi di Terowong Al-Mu'aysim pada 1990 yang mengorbankan 1,426 jemaah haji. Tiada siapa yang tahu sama ada Intan terbunuh atau sebaliknya.

Tragedi itu telah mendorong Danial pergi ke Mekah untuk menjejaki Intan yang dikatakan pernah ditemui oleh Ustaz Fadzil di sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: