Monday, June 29, 2009

Tentangan - Dendam terap nilai 1Malaysia


Senator Heng Seai Kie (duduk, dua dari kiri), Ibrahim Yahya (duduk, tiga dari kiri), Vincent Lye (duduk, kanan) bersama pengarah, Tery Chan (duduk, kiri) dan barisan pelakon siri Tentangan - Dendam.


MUNGKIN agak canggung apabila ada drama atau filem tempatan yang berkisarkan latar serta kehidupan sesebuah komuniti bukan Melayu seperti masyarakat Cina ataupun India disampaikan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Namun, inilah realiti dan pembaharuan yang cuba dibawa dalam drama bersiri Tentangan - Dendam yang mula disiarkan di TV2 pada 26 Jun lalu, setiap Jumaat pukul 11.30 malam.

Mungkin ramai yang tidak tahu, siri Tentangan - Dendam sebenarnya merupakan kesinambungan kepada siri Tentangan, ilham daripada mantan Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin yang pernah disiarkan di RTM tidak lama dahulu.

Ia diselaraskan dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia, Datuk seri Najib Tun Razak, konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia melalui penggunaan bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu.

Rasionalnya, kebanyakan masyarakat tempatan yang berlainan kaum lebih cenderung menyaksikan drama-drama yang disiarkan dalam bahasa ibunda sendiri.

Menyedari hakikat tersebut, penghasilan drama-drama komuniti bukan Melayu dalam bahasa Melayu membantu menggalakkan penonton kaum lain menonton dan menghayati mesej yang cuba disampaikan dalam siri tersebut.

Barisan pelakon yang membintangi siri tersebut termasuklah Jason Chong, Alvin Wong, Gary Yap, Kenji Sawahii, Jolene Tan, Zoee Tan, Kelvin Lau, M. J. Tan, Joanne Chan dan Wilson Tan.

Hadir melancarkan siri tersebut, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Senator Heng Seai Kie.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu, selain menerapkan konsep 1Malaysia, drama tersebut turut memaparkan ciri-ciri positif masyarakat Cina yang dapat sama-sama dimanfaatkan oleh semua kaum di negara ini.

"Antara yang cuba dipaparkan ialah sikap rajin berusaha, suka membantu sesama manusia, pandai menguruskan perniagaan dan juga sifat tidak mudah menyerah kalah dalam dunia perniagaan.

"Harapan yang tinggi diberikan kepada siri ini dengan meletakkannya pada satu slot yang cukup baik iaitu selepas siri Gerak Khas yang mempunyai penonton seramai 1.5 juta dan potensi penonton ini diharapkan dapat melimpah ke slot seterusnya.

"Apa yang kita harapkan siri ini akan mencapai kejayaan dan dapat mencetus satu budaya baru dalam penerbitan drama-drama tempatan," kata beliau.

Berbeza dengan siri Tentangan yang lebih kepada pergolakan yang berlaku dalam keluarga bisnes, menurut penerbitnya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Systemvation, Datuk Vincent Lye, Tentangan - Dendam membawa penonton menyaksikan bagaimana kemelut pembalasan dendam antara beberapa individu yang terlibat dalam siri tersebut.

Selain dendam, siri tersebut turut memaparkan kegigihan keluarga Cina yang mengusahakan sebuah pusat peranginan berhadapan dengan persaingan serta masalah dalaman yang hampir memusnahkan seluruh perniagaan mereka.

"Siri Tentangan yang disiarkan tahun lalu mendapat maklum balas yang baik daripada penonton sehinggakan RTM membuat ulang tayang sebanyak dua kali. Kerana kepercayaan yang diberikan, kami menyambung penerbitan siri tersebut untuk Tentangan - Dendam.

"Drama ini mempunyai mesej yang penting selain jalan ceritanya yang cukup menarik. Kami percaya ia mampu meraih minat ramai penonton," katanya.

Pasarkan program ke luar negara

Kalau dilihat dari segi kepelbagaian program-program yang disiarkan di RTM, tidak dinafikan kebanyakannya mempunyai nilai tersendiri untuk dipasarkan ke luar negara.

Bukan sahaja rancangan-rancangan berbentuk dokumentari malah, drama dan juga hiburan yang pernah disiarkan di stesen berkenaan juga mempunyai daya tarikan tersendiri untuk tujuan tersebut.

Pada majlis yang sama, Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahya, memberitahu, pihaknya mempunyai rancangan untuk menjual program-program RTM untuk ke luar negara.

"Bagi siri Tentangan, saya difahamkan penerbitnya sendiri sedang dalam usaha membawa siri tersebut ke China.

"Ini memang hasrat kita, salah satunya ialah sebagai usaha menggalakkan peningkatan industri kreatif tempatan cuma sekarang ini, kita tengah pastikan pihak manakah yang mahu membeli.

"Untuk menggalakkan lagi perkembangan tersebut, kita menggalakkan penerbit-penerbit tidak kira drama mahupun program-program lain untuk menerbitkan produk-produk yang berkualiti dan bermutu untuk membolehkan ia di pasarkan ke luar negara," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: