TIADA yang lebih membahagiakan kepada akhbar kompak yang semakin popular, Kosmo! apabila majlis Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009 pada Jumaat lalu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 50 anak seni tempatan.
Berlokasi di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur sebagai lokasi, artis generasi baru mahupun golongan senior, masing-masing datang dengan satu tujuan iaitu demi meraikan transformasi akhbar berkenaan menerusi wajah baru seksyen rencananya, Kosmo! 2.
Pada waktu sama, mereka meraikan pelancaran dua set pewangi baru yang bertema hitam dan putih oleh rakan strategik Kosmo!, One Drops Perfumes.
Perasmian wajah terbaru Kosmo! 2 dilaksanakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin sambil disaksikan oleh 400 orang tetamu.
Pelancaran Men Set 3 dan Women Set 5 One Drop Perfumes pula dilakukan oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat One Drop Sdn. Bhd., Saffar Noor dan Pengarah Urusan Kumpulan itu, Josafri Johari.
Pertama kali menjadi tuan rumah untuk merealisasikan acara gilang-gemilang itu sudah pasti membuatkan bermacam-macam perasaan timbul.
Apatah lagi kami hanya mempunyai masa sekitar seminggu untuk menghulur jemputan kepada artis-artis berkenaan. Melihat jangka masa yang sebegitu suntuk, kami sendiri awalnya sukar untuk percaya bahawa hasrat mengumpulkan lebih 50 artis dalam acara berkenaan menjadi kenyataan.
Gementar, risau dan kelam-kabut sudah tentulah berlegar-legar dalam diri seluruh tenaga kerja yang terlibat demi memikirkan perjalanan majlis tersebut. Gemuruh bertambah rancak melanda jiwa apabila ia mula dihebahkan kepada khalayak menerusi Kosmo! dan stesen radio popular, Suria FM sejak seminggu yang lalu.
Kami juga mendapat kerjasama penuh daripada majalah hiburan paling popular dan tertua dalam negara, URTV bagi mempromosikan acara ini.
Maklumlah, majlis yang direncanakan itu bukan sembarangan atau berstatus picisan. Ia sebaliknya membawa harapan dan cita-cita tinggi menggunung untuk membawa nama Kosmo! dan One Drop Perfumes ke tahap yang lebih membanggakan. Itu sudah semestinya menjadi agenda utama kami.
Kebimbangan itu bagaimanapun surut apabila sekitar pukul 7.30 malam muncul gerombolan pembaca Kosmo! dan pengedar One Drop Perfumes yang terpilih di laluan karpet merah.
Ini kemudian diikuti oleh seorang demi seorang artis yang muncul mengikut tema hitam putih dalam gaya glamor santai.
Pada pukul 7.45 malam, penyampai radio paling popular di negara ini, Fara Fauzana menjadi artis pertama yang melalui karpet merah. Bahkan Fara yang ditemani adik perempuannya juga sempat ditemuramah oleh Nizam Kring-Kring dan Amyza Aznan yang bertindak selaku pengacara karpet merah.
Gandingan figura wartawan hiburan dan artis itu memang cukup bersesuaian dan punya keserasian tersendiri. Mereka tidak terkecuali 'mengenakan' artis yang melintasi karpet merah.
Pelbagai soalan nakal dan kisah panas peribadi artis yang cuba dikorek sambil disaksikan peminat. Gamat jugalah keadaan kerana para artis begitu terbuka menjawab setiap pertanyaan daripada dua hos berkenaan.
Antara artis yang menjadi 'mangsa' ialah Abby Abadi dan pasangannya, Zulkiffli Ariffin yang tidak habis-habis diusik dengan pertanyaan 'Bila nak kahwin?'. Ini termasuklah juruhebah popular Era, Linda Onn yang turut disakat apabila muncul dengan 'orang baru'nya.
Antara artis yang hadir pada malam itu ialah Liyana Jasmay, Dafi, Farish Aziz, Jay Jay, Tam, Serina Redzuawan, Ramlah Ram, Linda Onn, Chef Wan, Maya Karin, Faradhiya, Zizie Izette, Rebecca Nur Islam, Hunny Madu, Fahrin Ahmad dan Scha.
Tidak ketinggalan Remy Ishak, Fizz Fairuz, Ameng Spring, Raja Farah, Nine OIAM3, Amylea, Shidi dan Vee, Bienda, Winnie K, Hafiz AF7, Intan Ladyana, Ainul Aishah, Fizo Omar, Erry Putra, Syamsul Datuk Yusof, Sheila Abdull, Zoey, Ferhad, Faizal Ismail, Lisa Surihani, Dira Abu Zahar dan Kamal Adli.
Kehadiran si jelita Rozita Che Wan nampaknya memang meraih tumpuan 'luar biasa'. Apa tidaknya, peminat ingin melihat sendiri daripada dekat selebriti tinggi lampai itu yang sering menghiasi wajah muka depan Kosmo! sebelum ini.
Apakah kecantikan Rozita sama macam yang disaksikan dalam gambar-gambar siaran Kosmo!? Betul ke Rozita pakai bulu mata tiga tingkat? Jawapannya dapat diketahui sendiri oleh tetamu yang nampaknya cukup gembira bertemu dengan jurucakap One Drop Perfumes itu.
Selain Rozita, masing-masing selebriti datang dengan mengikut tema yang ditetapkan. Baik artis lelaki mahupun wanita, mereka tidak mahu kalah dengan busana indah yang dipilih khas untuk digayakan pada acara perdana Kosmo! itu.
Paling menarik, wajah-wajah yang hadir merupakan artis yang sedang mekar serta mengharum di laman seni. Malah mereka juga selalu menghiasi kaca televisyen di semua saluran yang ada di negara ini.
Walaupun sibuk dengan komitmen kerja yang tidak menentu, mereka tetap sempat meluangkan masa memberi sokongan kepada Kosmo! yang selama ini memang berperanan sebagai platform untuk mereka lebih dikenali sekali gus menempa populariti.
Di kesempatan yang ada selama setengah jam itu, kelihatan artis yang hadir tidak ketinggalan berkongsi cerita dan perkembangan terbaru dengan kenalan artis masing-masing.
Ada yang bercanda riang. Bahkan ada juga yang serius berbicara tentang karier mereka. Itulah yang menariknya tentang Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009.
Peminat yang hadir sudah pastilah menjadi insan yang paling teruja pada malam itu. Masakan tidak, mereka dapat duduk semeja dengan individu terkenal yang selama ini hanya mampu dilihat di televisyen dan layar lebar.
Tersenyum puas nampaknya mereka apabila dapat bercakap, bergelak tawa serta bergesel bahu dengan figura-figura terkenal dalam dunia seni dan bergambar dengan artis kesayangan mereka.
Walaupun persembahan yang energetik dan memukau disediakan untuk tatapan mereka tetapi peminat terus melakukan 'maraton' untuk mendapatkan autograf dan merakamkan gambar kenang-kenangan dengan artis yang hadir.
Si artis pula tanpa ada sebarang perasaan jemu terus mengikuti segala kemahuan dan telunjuk peminat. Paling penting, peminat yang hadir pada acara Kosmo! itu pulang dalam kegembiraan. Seronok!
Dalam perkembangan lain, Kosmo! 2 sebenarnya sudah memulakan tranformasinya sejak Januari lalu dengan memperkenalkan enam sisipan melalui 16 muka surat.
Antara ciri-ciri segar yang ditonjolkan melalui Kosmo! 2 itu termasuk perubahan kepada masthead, persembahan cerita dengan lebih kemas dan menarik serta lebih berinformasi.
Pembaharuan itu menampilkan sisipan Stailo yang berkisar tentang gaya dan kecantikan pada setiap Isnin, Gen-k iaitu berkenaan cara hidup generasi muda (Selasa) serta Infiniti mengenai gajet dan sains (Rabu).
Sisipan lain pula ialah Urban yang berkisar tentang rentak kehidupan kota (Khamis), Pesona khusus untuk wanita moden (Jumaat) dan Horizon mengenai liburan hujung minggu (Sabtu).
Manakala ruangan hiburan Hab Hib pula sentiasa bersedia menyajikan berita-berita hangat dan sensasi tentang dunia hiburan tempatan dalam dan luar negara.
Seluruh redaksi Kosmo! dan pengurusan One Drop Perfumes ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada artis dan tetamu yang terlibat.
Tanpa kemunculan kalangan artis yang glamor dan tetamu lain maka sudah pastilah acara kami tidak berjalan dengan lancar dan sempurna.
Sejuta kemaafan dipohon sekiranya terdapat kekurangan atau sebarang masalah yang tidak dapat dielakkan sepanjang majlis selama tiga jam itu diadakan.
Terima kasih daun keladi sekali lagi dilafazkan dengan sepenuh hati kepada rakan kongsi strategik kami, One Drop Perfumes dan sekalung budi juga buat radio rasmi parti kami, Suria FM dan majalah rasmi, URTV di atas kerjasama mereka.
Nantikan kehadiran Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes seterusnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: