Friday, June 12, 2009

Transformasi Diana Danielle


IMEJ baru... Rambut 'baru' Diana yang dipotongnya sendiri, pendek melepasi bahu.


SAAT melangkah pergi menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada pertengahan Mac lalu, dia mengalirkan air mata.

Bukan kerana takut dipulaukan atau menerima latihan keras seperti yang digembar-gemburkan tetapi kerana itulah kali pertama dia berpisah lama dengan ibunya, Norsiah Ramli.

Ironinya, selepas tiga bulan menjadi penghuni Kem Princess Haliza, Sepang, pemilik nama sebenar Diana Danielle Beeson, 18, itu mengakui ada 'hikmah' yang tersembunyi di sebalik perpisahan itu.

Mengakhiri latihan PLKN pada petang 7 Jun lalu, selain belajar menjadi remaja yang lebih bermotivasi, akui Diana dia turut mempelajari tentang 'erti' hidup berdikari.

Sebelum ini, bukan dia tidak pandai menguruskan diri sendiri, tetapi dalam banyak perkara, usia remajanya masih memerlukan perhatian dan jagaan daripada ibunya.

Ketika ditemui di Cozy Restaurant, Great Eastern Mall, Ampang baru-baru ini, keriangan jelas terpancar di wajah gadis kelahiran Houston, Amerika itu.

Mengenali Diana, ternyata terdapat beberapa perbezaan pada penampilan gadis ini sekembalinya dia dari program tersebut.

Kelihatan sedikit berisi, kata Diana jadual makan sebanyak enam kali sehari membuatkan dia tidak boleh mengelak.

"Saya memang tak boleh nak kawal, lagipun makanan yang disediakan semuanya sedap. Tengok badan saya, dah naik tujuh kilogram," kata Diana sambil berseloroh, ketika ditemui sehari selepas menamatkan PLKN.

Menurut Diana, dia membelanjakan hampir RM300 sebulan untuk membeli barangan keperluan di kedai berhampiran kemnya termasuk membeli mee segera untuk dijadikan penggalas perut ketika kelaparan di waktu malam.

Sekali imbas, memang tiada langsung cacat celanya pada penampilan gadis berambut perang itu.

Berbeza dengan penampilannya sebelum menyertai PLKN, kini rambutnya dipotong pendek melepasi paras bahu.

Dalam diam, rupa-rupanya ada cerita di sebalik rambut pendeknya itu.

"Saya potong sendiri rambut saya kak, belah tengah kemudian potong sama rata kiri dan kanan," cerita Diana sambil melakonkan aksi dia memotong rambutnya.

Tidak tahan dengan cuaca panas dan udara tepi laut, dia mencari keselesaan. Memotong rambut adalah keputusan yang paling tepat.

Kalau boleh, dia tidak mahu pergerakan serta aktiviti yang disertainya di kem tersebut terbatas kerana ketidakselesaan.

Dan bagi Diana sendiri, tiada salahnya berkorban rambut asalkan keseronokan menjalani aktiviti yang dianjurkan tidak terhalang.

Sayu tinggalkan rakan

Merisik perasaannya mengakhiri program tersebut, kata Diana, biarpun gembira dapat kembali meniti hidup bersama ibu tercinta, namun, jauh di sudut hatinya berasa sayu kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan.

"Rasa macam baru semalam saya menarik beg, menaiki bas dan meninggalkan mama selama tiga bulan untuk menyertai PLKN.

"Sepanjang menjalani latihan saya rasa seronok sebab tiada langsung pengalaman yang tidak baik.

"Kalau dulu saya menangis sebab terpaksa tinggalkan mama sendirian, tetapi kali ini saya menangis kerana terpaksa meninggalkan kawan-kawan.

"Tiga bulan bersama kawan-kawan kami dah jadi rapat. Sebab itu saya menangis, lagipun kawan-kawan banyak dari Sabah dan Sarawak jadi saya rasa peluang untuk jumpa mereka semula agak tipis," kata pelakon siri Air Mata Maria itu.

Setiba di rumah, cerita gadis cantik itu, perkara pertama yang dilakukan ialah mengemas kembali segala peralatan dan barangan yang dibawanya ke kem tersebut.

Melepaskan 'lelah' mengemas barang, Diana cuba untuk berbaring dan melelapkan mata.

Seperti sudah terbiasa dengan suasana di asrama PLKN, Diana mengakui sukar melelapkan mata apabila tidur di atas katil sendiri.

"Ingatkan bila dah lama tak dapat tidur untuk tempoh yang panjang, maka bolehlah nak ganti balik, tapi bila cuba tidur rupa-rupanya tak lena pula.

"Mungkin sebab beralih tempat atau sudah terbiasa dengan keadaan dan persekitaran di PLKN," kata Diana sambil mengukir senyuman manis.

Pahit, manis di PLKN

Berkongsi pengalaman menyertai PLKN, kata Diana, program tersebut tidak langsung mencorakkan kenangan pahit kepadanya.

Jika ada sekalipun hanyalah rasa tidak selesa akibat keletihan dan cuaca panas.

"Bila buat pelbagai aktiviti, mulalah badan rasa tak selesa. Kem Princess Haliza terletak dekat dengan pantai sebab itulah kalau panas kulit jadi tak selesa," kata Diana yang turut mendedahkan pernah mengalami demam beberapa hari selepas mendaftar di kem tersebut.

Berpijak di bumi nyata, siapa kata Diana yang sebelum ini sering dilabelkan sebagai anak manja tidak mampu menjalani aktiviti lasak di PLKN?

Menguatkan lagi spekulasi itu, penangguhan menyertai sesi kemasukan Disember 2008 ke PLKN kerana khabarnya terikat dengan kontrak filem menimbulkan reaksi berbeza, baik dan buruk dari pelbagai pihak.

Bagaimanapun, gelaran Timbalan Penghulu Wirawati dan menerima Anugerah Khas Komandan di kem tersebut membuktikan bahawa Diana bukan sambil lewa menyertai aktiviti tersebut.

Kepercayaan yang diberi disambut baik olehnya kerana baginya itulah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang menyertai program tersebut.

Malah, menerima Ahli Kehormat, Kem Princess Haliza yang membolehkan dia ke sana pada bila-bila masa untuk menjalani penggambaran dan sebarang aktiviti lakonan antara penghormatan terbesar buatnya.

Diana sambung belajar

Dalam perkembangan lain, Diana mengesahkan bakal menyambung pengajian di Universiti Nottingham cawangan Semenyih, bulan depan.

Katanya, dia bakal menjalani pengajian sepenuh masa dalam bidang biosains selama satu tahun setengah sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah selama tiga tahun di universiti yang sama.

Sejajar dengan kemantapan kerjaya seninya ketika ini, kalau boleh dia tidak mahu ketinggalan terus dalam bidang pendidikan.

Ketika ditemui baru-baru ini, Diana bersama ibunya baru sahaja pulang dari universiti tersebut menyelesaikan urusan pengajian dan penempatannya.

Bimbang Diana tidak dapat berulang-alik antara Ampang dan Semenyih kerana mungkin terbatas dengan jadual pengajian, ibunya turut mendaftar penempatan untuk kemudahan tempat tinggal anaknya itu.

Bertanya tentang perkembangan aktiviti lakonannya, kata Diana: "Mengenai bidang seni saya tidak boleh kata apa-apa sebab jadual saya masih belum dapat.

"Bagaimanapun, saya akan tetap meneruskannya dan tidak akan tinggalkan kerjaya saya begitu sahaja," kata Diana yang bakal muncul dengan filem terbaru antaranya Kecoh Betul, Bohsia dan Magika.

Semalam (Khamis, 11 Jun), Diana bertolak ke Indonesia selama empat hari untuk merakamkan lagu duet bersama Andra & Backbone yang dijangka bakal dipersembahkan pada Pesta Malam Indonesia 3 yang bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 Jun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: