Friday, June 12, 2009

Ayuh, kita berpuisi di IB


kopratasa


Malam Puisi Utusan (MPU) muncul lagi. Kepada semua peminat dan pencinta seni tanah air jangan ketinggalan untuk datang ke Istana Budaya pada 12 Jun ini. Acara ini terbuka secara percuma kepada orang ramai.

Bertempat di Laman Santai, Istana Budaya (IB), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur acara berkenaan akan dimuatkan dengan deklamasi puisi oleh penyair baru dan tersohor serta tokoh korporat dan nyanyian oleh artis popular.

MPU merupakan salah satu daripada pengisian sempena acara Minggu Sastera anjuran Kumpulan Utusan.

Selain acara berkenaan turut menghiasi kalendar ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dan Wacana Sastera.

Penganjuran MPU sebetulnya meneruskan kegemilangan Kumpulan Utusan dalam usaha mengangkat karya kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan.

MPU juga bakal menyaksikan kebolehan di kalangan tokoh dan personaliti daripada pelbagai bidang mendeklamasikan puisi dan menyanyikan lagu puisi.

Ini merupakan kali ke-12 MPU dianjurkan dan kali ini mendapat kerjasama dari tiga organisasi terkemuka iaitu Astro sebagai penyiar rasmi, Istana Budaya sebagai penaja lokasi dan juga ExxonMobil sebagai penaja utama.

Kemuncak acara deklamasi puisi pada malam ini pastinya akan tertumpu pada kehadiran barisan artis tersohor tanah air yang akan membuat kemunculan istimewa pada malam ini.

Mereka yang tersenarai ialah Datuk Siti Nurhaliza, kumpulan Hujan, kumpulan Kopratasa, Mila serta juara baru Akademi Fantasia, Hafiz.

Kehadiran nama-nama besar dalam industri hiburan ini sudah tentu akan menarik perhatian ramai warga kota untuk membanjiri Laman Santai pada malam ini.

Kalau nama-nama itu belum cukup memuaskan hati anda, Kumpulan Utusan juga turut mendapat persetujuan daripada Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khalid yang juga akan mendeklamasikan puisi pada malam ini.

Stesen penyiar rasmi Minggu Sastera, Astro pula akan diwakili oleh pembaca berita Gala TV menerusi Astro Awani, Syazwan Zakariah.

Pelengkap kepada acara pembacaan puisi sudah tentu daripada mereka yang arif dalam gelanggang pembacaan puisi.

Mereka yang dimaksudkan pastinya penggiat sastera termasyhur tanah air yang diketuai oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Turut mengesahkan kehadiran pada acara MPU malam ini ialah Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob, Prof. Rahman Saari, Zaen Kasturi dan Khalid Salleh.

Tidak ketinggalan barisan penyair seperti Syukri Abdullah, Marjan S, Marsli N.O serta penyanyi lagu dikir barat popular, Halim Yazid.

Dua personaliti terkenal tanah air, Sabri Yunus dan Nik Sayyidah pula bakal menceriakan acara pada malam ini sebagai pengacara majlis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: