Tuesday, June 9, 2009

Tomok taja kakak


TAHUN ini boleh dianggap paling gemilang dalam sejarah hidup dua beradik ini, siapa lagi kalau bukan Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 24, dan Ismaliza Ismail atau Isma, 30.

Meskipun, misi si kakak untuk bergelar juara Akademi Fantasia 7 (AF7) tidak kesampaian walaupun berada di kedudukan teratas selama beberapa minggu sebaik episod AF7 bermula, sekurang-kurangnya kejayaan si adik selaku juara One In A Million (OIAM) musim ketiga sedikit sebanyak dapat mengubat kekecewaan.

Isma sentiasa tak lekang dengan senyuman memulakan bicara, ternyata cukup berbangga dengan pencapaian adik kesayangannya itu yang kini bergelar jutawan segera.

"Saya amat berbangga dengan Tomok. Dia sudah melalui banyak episod duka sepanjang bergelar artis, dihina dan dicaci namun semangatnya tidak pernah luntur memperjuangkan seni. Semuanya kerana minat yang terlalu mendalam.

"Setiap hari, dia tidak pernah jemu memperbaiki kekurangan dan sentiasa berusaha demi kemajuan diri serta masa depan kariernya. Kemenangan itu, saya anggap sebagai ganti atas hasil kerja kuatnya selama ini.

"Meskipun saya tidaklah bernasib baik seperti Tomok, saya tetap berbangga dengan pencapaian sepanjang berada di AF7, apatah lagi menjadi satu-satu peserta wanita layak beraksi di peringkat akhir.

"Bukan mudah untuk bertahan apatah lagi, melangkah ke peringkat akhir. Ditambah pula status saya sebagai ibu beranak lima namun, penonton mengetepikan semua faktor itu dan masih memberikan peluang serta kepercayaan kepada saya membuktikan kemampuan," katanya.

Kekalahan Isma bagi Tomok tidak dapat dinafikan sedikit mengecewakannya apatah lagi, sepanjang mengikuti perkembangan kakaknya yang sentiasa berada di tangga teratas berbanding peserta lain.

"Agak mengejutkan dalam dua konsert terakhir kedudukan Isma berubah begitu drastik daripada tangga pertama berada di tangga terakhir. Sedangkan, pada pemerhatian saya, kedua-dua persembahannya pada konsert akhir bagus.

"Pujian ini bukan kerana dia kakak saya, tetapi jika dibandingkan dengan gaya persembahan dan kemampuannya sebelum ini.



"Tapi hendak buat macam mana, segala keputusan terletak 100 peratus di tangan pengundi. Apapun, perkara ini harus berbalik pada rezeki," katanya.



Akui anak keempat dari enam bersaudara ini, dia paling rapat dengan Isma yang juga anak kedua dalam keluarga. Pernah sedikit masa lalu, ketika dirinya dilanda kontroversi di rumah Ismalah dia mendapatkan ketenangan.

"Isma seorang kakak yang tenang, baik hati serta pendengar yang baik. Jika tidak emak, kakaklah orang yang paling saya selesa berkongsi rahsia.

"Bahkan, sewaktu mengikuti uji bakat OIAM Ismalah yang menghantar saya. Sebenarnya saya ada mengajak dia turut serta dalam uji bakat itu, tetapi dia menolak kerana tidak bersedia.

"Jadi saya pesan pada kakak, kalau ada uji bakat AF7 nanti, jangan lupa pergi kerana tahu sudah lama dia simpan hasrat untuk jadi penyanyi. Tidak sangka dia mendengar saranan saya dan bangga dia berjaya menjadi pelajar sehingga mara ke akhir," katanya.

Celah Isma pula, barangkali persamaan minat iaitu menyanyi membuatkan mereka rapat apatah lagi sebelum menjadi artis sering menjayakan persembahan bersama-sama.

Misalnya, tahun lalu Tomok pernah mengiringi persembahan sewaktu bulan puasa.

"Kalau ikutkan saya rapat dengan semua adik-beradik kerana saya kakak sulung. Mungkin yang membuatkan saya dan Tomok rapat sebab kami berkongsi minat menyanyi. "Tidak dinafikan adik-beradik lain juga suka menyanyi, tetapi tidaklah sampai menjadikan nyanyian bidang yang serius.

"Sebaliknya Tomok dan saya serius. Sejak dulu lagi kami sering menjayakan persembahan berdua termasuk menyertai pertandingan bersama-sama

"Disebabkan itu saya tidak pernah menjadikan status atau usia saya sebagai penghalang. Saya yakin dengan bakat yang ada belum terlambat untuk mencipta nama.

"Mungkin Tomok terlebih dulu berjaya dalam bidang seni melalui kumpulannya New Boyz, tetapi projek album solo selepas kemenangan di OIAM boleh dianggap 'kelahiran baru Tomok.'

"Apakah peminat dapat menerima perubahan imej dan muzik Tomok, semuanya tergantung pada album itu nanti," katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Isma memaklumkan, sudah pasti dia ingin memiliki album sendiri bagaimanapun semuanya tergantung pada perancangan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).

Sementara itu, Tomok ditanya sama ada dia sudi menggunakan wang kemenangannya untuk menaja pembikinan album kakaknya memandangkan keadaan pasaran dan jualan album yang tidak menentu lima tahun kebelakangan ini, Tomok jelas tidak keberatan.

"Tidak ada masalah untuk membantu selagi bajet yang diperlukan itu bersesuaian dengan kemampuan saya. Mungkin untuk pembikinan album penuh memakan belanja yang tinggi, mungkin saya boleh bantu kakak terbitkan single atau album mini terlebih dulu. Selain bercadang merakamkan lagu duet dengannya," katanya.



>Profil

Nama sebenar: Shah Indrawan Ismail

Umur: 24 tahun

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Tarikh lahir: 17/5/1984

Zodiak: Taurus

Profession : Penyanyi, komposer, produser

Status: Bujang

Genre muzik: Pop rock & rock

Kejayaan: Memiliki lima album bersama kumpulan New Boyz, album pertama bersama kumpulan itu pada usia 15 tahun, Juara One In A Million musim ketiga



>Profil

Nama sebenar: Ismaliza Ismail

Tarikh lahir: 21/5/1979

Umur: 30 tahun

Status: Berkahwin dengan vokalis Zul 2BY2 serta mempunyai lima anak

Pengalaman: Bergelar finalis AF7

3 comments:

  1. Saya sangat menghargai keputusan yang d ambil Tomok..karena bahagian keluarga lah yang paling utama,,selagi kita masih bisa bantu mereka apasalah nya ,,,
    kita pasti seneng liat saudara kita ikut bisa meraih keinginannya,,
    Selamat sekali lagi Buat Tomok...

    ReplyDelete
  2. saya sanagt menghargai keputusan yang di ambil Tomok..karena bahagia nya keluarga lah yang paling utama..
    selagi kita masih bisa bantu mereka apasalah nya..kita pasti seneng liat saudara kita ikut bisa meraih keinginannya
    selamat sekali lagi buat Tomok,,
    q fans nya qm dari inonesia
    Fr...rini_bi.3112@yahoo.co.id

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: