Tuesday, June 9, 2009

Artis Konsert Sudirman lesu


LAGU Allahyarham Sudirman Haji Arshad memberikan kenangan tersendiri dan menyentuh jiwa penonton yang menyaksikan Konsert Untukmu Sudirman di Istana Budaya, Kuala Lumpur, selama tiga hari bermula 4 Jun lalu.

Bagaimanapun, konsert yang dianjurkan Bintang Emas Pictures (M) Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya (IB) kurang tarikan sehingga difahamkan penjualan tiket agak perlahan.

Persembahan malam pertama juga boleh dikategorikan sebagai konsert yang biasa saja. Ia dicacatkan dengan persembahan artis yang dikatakan kurang persediaan selain tidak dapat menghafal lagu dengan baik dan menyanyi bersandarkan kepada lirik lagu.

Mujur kepincangan itu berjaya ditutup dengan kemunculan Mila, Iqwal, Atilia, Adibah Noor, Haziq dan Rahim Maarof.

Pelbagai reaksi timbul daripada penonton yang hadir menyaksikan persembahan yang turut membabitkan beberapa artis tanah air seperti Kazarudin Saisi, Achong Sweet Child, Andy Flop Poppy, MK dan Kelvin Lau.

Persembahan dimulakan dengan penampilan juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila menerusi beberapa lagu popular yang pernah disampaikan Sudirman yang diiktiraf penghibur nombor satu Asia dan penyanyi pertama Malaysia memenangi Anugerah Penyanyi Terbaik Asia pada 19 Mac 1989 di Royal Albert Hall, London.

Ternyata, lagu-lagunya menyentuh rasa lagi malar segar. Lagu seperti Aku Dan Duniaku, Pulang Dari Kampung, Mat Disco, Kulit dan Merisik Khabar disampaikan dengan penuh bertenaga dan menghiburkan oleh Mila.

Begitu juga persembahan bakat remaja, Iqwal beraksi rancak bersama lagu berbentuk patriotik dan berunsur nasihat seperti Hoore Hoore, Balik Kampung, Toyol dan Gerimis Di Lautan.

Penyanyi Adibah Noor meluahkan perasaan bangga dan bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian artis yang menjayakan persembahan bagi mengenang Allahyarham Sudirman itu.

“Saya berasa bertuah kerana dipilih sebagai antara artis yang menyampaikan lagu arwah Sudirman. Ini adalah penghormatan cukup besar kepada saya untuk menyampaikan lagu-lagu terbaiknya,” katanya.



Adibah menyanyikan lagu Hujan, Antara Hujan dan Air Mata, Indahnya Alam dan Sepetang Di Pinggir Bukit manakala duet bersama Haziq dengan lagu Seri Langkat/ Mak Inang Kampung dan Terasing.



Bagi Kazarudin Saisi yang menyampaikan beberapa lagu medley duet bersama Achong Sweet Child persembahan itu berjalan lancar begitupun dia mengakui kurang bersedia menyebabkan terpaksa menyanyi berpandukan lirik.

“Saya hanya sempat menjalani latihan tiga hari untuk persembahan ini. Selain berdepan jadual yang ketat, saya juga terbabit dalam penggambaran drama. Tidak dinafikan saya sukar menghafal lirik lagu berbanding artis lain yang menjayakan persembahan ini. Ia mungkin disebabkan faktor usia yang semakin meningkat,” katanya.

Kaza menyampaikan lagu Bila Wajah Mu Ku Bayangkan, Anak Gembala, Sepetang Di Pasar Minggu serta Basikal Tua. Sementara duet bersama Adibah Noor dengan lagu Bercanda Di Tepian Pantai dan Milik Siapakah Gadis Ini.

Persembahan turut disaksikan kakak kepada arwah Sudirman, Datin Rodziah Arshad yang mengakui terhibur dengan persembahan oleh barisan artis pada malam itu, malah dia sentiasa mengingatkannya dengan pelbagai saat pahit serta manis ketika arwah masih ada.

“Kadangkala, saya sebak dan tiba-tiba tanpa disedari air mata sudah berlinangan ketika khusyuk mendengar lagu yang disampaikan. Boleh dikatakan setiap lagu mempunyai memori yang tersendiri. Saya mengucap syabas dan kagum melihat kesungguhan kru dan artis yang berusaha menjayakan konsert ini.

“Saya bersyukur kerana karya arwah Sudirman masih dihargai dan diingati sehingga ke hari ini. Sebagai kakak kandungnya saya tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada sumbangannya dalam dunia seni.

“Asalkan peminat mengingatinya ia sudah memadai buat saya. Kalau dapat penghargaan memang bagus, namun apalah ertinya jika artis tanpa peminat,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan Pengarahnya, Eja Ibrahim mengakui terdapat beberapa kelemahan dalam aspek teknikal begitupun dia berharap penonton terhibur menyaksikan konsert itu.

“Untuk konsert ini kita memang tidak mahu klon Sudirman disebabkan itu pemilihan artis berdasarkan keupayaan dan keistimewaan mereka sendiri.

“Sebagai contoh, Andy menyampaikan lagu dengan rentak pop rock, Haziq sudah tentu kepada lagu-lagu asli manakala Adibah dan Atilia yang bersandarkan kekuatan vokal.

“Begitu juga MK dan Kelvin yang pernah bekerjasama dengan kita. Penampilan mereka menyampaikan lagu-lagu Melayu juga menarik perhatian.

“Pemilihan Kaza disebabkan sebelum ini dia pernah mempopularkan lagu Milik Siapakah Gadis Ini menerusi filem Hambali Seorang Jeneral.

“Di samping pemilihan lagu popular arwah Sudirman, konsert ini juga menggunakan teknik pencahayaan terbaik. Justeru setiap artis ada karakter masing-masing,” katanya yang memaklumkan menyimpan impian selama lima tahun untuk melaksanakan konsert berkenaan.

Sambil mengakui kagum kepada karya Sudirman, Eja memaklumkan lagu berunsur nasihat dan penceritaan Sudirman cukup menarik dan diminati ramai.

Untuk persembahan itu, pihaknya menyediakan 56 lagu pilihan dan popular Sudirman.

Di samping persembahan nyanyian penonton turut dihiburkan dengan penampilan istimewa pelakon, Que Haidar yang muncul bercerita mengenai perjalanan seni penghibur popular tanah air itu.

Selain persembahan penutup oleh penampilan khas Rahim Maarof yang menyanyikan lagu Dir iaitu yang ditujukan khas buat Sudirman.

Lebih menyentuh perasaan apabila barisan artis menyanyikan antara karya terakhir Sudirman iaitu Salam Terakhir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: