|
|
CINTA yang disemai sejak dua tahun lalu berakhir di jinjang pelamin apabila bintang yang dicungkil menerusi program realiti popular Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Muhammad Nur Aswad Jaafar (Aswad) memilih gadis pilihan hati, Nur Illina Mohd Tahir (Elly) sebagai pasangan hidupnya. |
Dengan sekali lafaz, tepat jam 4.40 petang 5 Jun lalu, Aswad, 29, dari Bayan Baru, Pulau Pinang sah menjadi suami kepada Elly, 23, dengan majlis akad nikah dilakukan bapa Elly sendiri, Mohd Tahir Doon.
Sambil disaksikan Kadi Daerah Bukit Mertajam, Radzi Senapi, Jaafar Othman dan Pauzi Yaakob sebagai saksi, Aswad bersama rombongan pengantin lelaki membawa mas kahwin sebanyak RM1,001, sebentuk cincin, wang hantaran RM9,000 dengan 19 dulang hantaran yang dibalas 21 dulang oleh pihak perempuan.
Aswad yang sinonim dengan tagline Line Clear bertunang dengan Elly pada 11 Oktober tahun lalu.
Selepas lapan bulan bertunang, pasangan ini sepakat untuk diijabkabulkan dalam majlis meriah tetapi sederhana, Jumaat lalu.
Majlis persandingan mereka berlangsung keesokan harinya di teratak pengantin perempuan di Jalan Pengkalan, Bukit Tengah, Seberang Prai Tengah (SPT) dengan dihadiri hampir 4,000 tetamu.
Kedua-dua mempelai tampil segak dan manis berpakaian songket keemasan yang ditaja oleh butik Impian Kasih yang terletak di Prai, Seberang Prai Utara (SPU).
Tepat jam 3 petang, rombongan pengantin lelaki tiba tanpa kehadiran ibu bapa tercinta, Jaafar Salleh dan Ramlah@Maimunah Baiman yang sudah meninggal dunia.
Sejak itu, Aswad hanya mendapat kasih sayang yang dicurahkan dari abang dan kedua kakaknya
Ketika ditemui selepas majlis persandingannya, Aswad berkata, dia yakin sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam kehidupan berumahtangga.
“Soal kahwin bukannya perkara main-main kerana banyak cabaran yang ditempuhi sepanjang tempoh percintaan dan pertunangan kami dulu.
“Apapun, inilah saat paling bahagia dalam hidup kami berdua. Saya juga akan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami yang baik dan pada masa sama mengharapkan perkahwinan ini berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Aswad berkata, dia memilih Elly sebagai isteri kerana terpikat dengan sifat kewanitaannya yang sejati.
“Saya juga tertarik dengan segala yang ada pada dirinya. Saya yakin Elly adalah pilihan yang terbaik buat saya.
Saya berharap kami dapat melayari alam perkahwinan ini dengan penuh kejujuran, kesetiaan dan keikhlasan.
“Sebenarnya, saya sendiri tidak dapat membayangkan bergelar suami hari ini kerana sehari sebelum majlis akad nikah, saya cukup berdebar kerana bimbang untuk memikul tanggungjawab yang besar ini.
“Akhirnya, berkat doa dan restu keluarga segalanya berjalan lancar.
“Insy-Allah, majlis persandingan pihak lelaki akan diadakan pada Julai atau Ogos depan di Bayan Baru dan saya berharap semoga peminat mendoakan kebahagiaan kami berdua,” katanya.
Bagi Elly yang bekerja di syarikat guaman berkata, dia tidak pernah mengimpikan untuk bergelar isteri kepada artis mahupun selebriti sebelum ini.
“Bagaimanapun, sifat bertanggungjawab, jujur dan mengambil berat yang ada pada dirinya akhirnya membuka hati saya untuk membina mahligai bahagia bersamanya.
“Saya juga tertarik dengan Aswad kerana kumis di wajahnya itu dan senyumannya yang menawan.
Sebagai isteri, saya sedar tanggungjawabnya berat kerana Aswad, anak yatim piatu.
“Apapun, saya berjanji memberikan kasih sayang sepenuhnya sebagai isteri. Pada masa sama, saya berusaha untuk menunaikan tanggungjawab sebagai isteri sebaik mungkin termasuk memasak masakan kegemarannya sambal tumis telur,” katanya.
Mengenai bulan madu pula, Aswad berkata, mereka memilih untuk ke Bandung, Indonesia.
“Namun, tarikhnya masih dalam perancangan kerana masing-masing sibuk dengan komitmen yang perlu diselesaikan terlebih dulu.
“Jika nak diikutkan, saya berhasrat membawa isteri berbulan madu ke Australia dan Eropah kerana kedua-dua lokasi itu menjadi impiannya sejak kecil lagi,” katanya.
Tambah Aswad lagi, dia juga mengimpikan anak kembar lelaki dan perempuan.
“Bagi saya, mempunyai dua anak iaitu lelaki dan perempuan sudah memadai, tapi jika ada rezeki lebih kami tidak menolaknya pula,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: